Mas dilarang jumpa kekasih, wad Neuro jadi kecoh!

Diterbitkan: Khamis, 5 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kekasih Mas,yang lebih dikenali sebagai Rock kecewa tidak dibenarkan bertemu dengan Mas.Foto The Star Oleh: RAYMOND OOI
Kekasih Mas,yang lebih dikenali sebagai Rock kecewa tidak dibenarkan bertemu dengan Mas.Foto The Star Oleh: RAYMOND OOI

[SEMASA] KUALA LUMPUR:Usaha Ketua Pegawai Operasi Maestro Freddie Fernandez dan kekasih Mas, Shahrul Azman untuk bertemu bintang realiti itu yang kini ditempatkan di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menemui kegagalan, setelah dihalang oleh pihak hospital tersebut sehingga menimbulkan kekecohan.

Menurut Shahrul atau dikenali sebagai Rock, pertemuan hari ini sebenarnya telah diatur atas kehendak Mas, namun perkara sebaliknya berlaku apabila pihak hospital tidak membenarkan sesiapa pun melawatnya kononnya atas permintaan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kedua (AF2) itu sendiri.

Perkara tersebut akhirnya menimbulkan kemarahan Rock sehingga berlaku ketegangan antaranya dan pihak hospital.

"Dalam pertemuan dengan Mas semalam, dia yang minta saya bawa Freddie berjumpa dengannya, salah satu sebabnya untuk minta bantuan beliau keluarkannya dari sini. Tiba-tiba hari ini, pihak hospital pula tidak membenarkan kami masuk menemuinya dengan alasan Mas sendiri yang enggan berjumpa dengan sesiapa.

"Saya rasa mereka (pihak hospital)tipu," ujar Rock dalam nada marah.

Ujar Rock, ketika menemui kekasihnya itu semalam, keadaan Mas stabil dan banyak kali penyanyi itu merayu untuk dikeluarkan dari situ.

"Berkali-kali Mas minta dilepaskan dan beritahu dia tidak gila. Dia memberitahu saya yang dia tidak selesa dengan keadaan di situ. Saya hanya mampu memujuk dan berjanji akan membawa Freddie hari ini," katanya.

Dengan kekecohan yang timbul itu, Rock terus menghubungi bapa Mas di Tawau, Sabah, Ghani dan menceritakan tentang keadaan Mas yang sedang di tahan di hospital tersebut.

Menurut Rock, itu adalah kali pertama dia menghubungi bapa Mas setelah insiden tersebut dan mengakui bapanya cukup terkejut dengan berita tersebut.

"Bapanya memang ingin datang segera setelah saya sampaikan berita itu tadi. Tapi masalahnya, bapanya ketika ini sedang menghadapi masalah kewangan dan tidak tahu nak buat apa," luah Rock yang sudah hampir setahun menyulam cinta dengan Mas.

Dalam pada itu, Freddie berkata, pihak Maestro akan cuba membawa ibubapa penyanyi itu ke sini secepat mungkin untuk menyelesaikan perkara itu.

"Saya akan bawa mereka berjumpa dengan pihak hospital untuk bincang tentang keadaan Mas dan cuba bawa dia keluar dari hospital ini. Perkara ini melibatkan maruah Mas dan keluarganya serta akan turut memberi impak terhadap reputasinya sebagai artis.

"Mungkin kita akan usahakan dari segi kewangan untuk bawa keluarganya ke sini," kata Freddie yang juga sangat kecewa tidak dapat bertemu dengan anak buahnya itu.

Turut hadir bersama Freddie ialah Joe Wings yang merupakan penerbit album Mas.

Mas atau Asma Ghani, 28, ditahan di Wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana dikatakan mengalami tekanan jiwa.

Bintang realiti berstatus janda serta mempunyai dua orang anak itu dikatakan mengamuk di balai polis gara-gara disaman selepas memandu tanpa lesen dan membuat pusingan ‘U’ di tempat yang dilarang.

Sumber itu juga menambah, ini merupakan kali kedua Mas membuat hal dan mengamuk di balai polis.

Mas adalah ibu tunggal kepada Nurfadilah, 10, dan Mohd. Fadzil, 8.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan