Effendy berani bikin 'Talentime' kerana Yasmin

Diterbitkan: Selasa, 27 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong Ven Tee merupakan teraju utama filem Talentime.
Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong Ven Tee merupakan teraju utama filem Talentime.

PERTAMA kali menggalas tanggungjawab sebagai produser filem, Eksekutif Produser Chilli Pepper Films Sdn. Bhd., Mohd. Effendy Harjoh, 31, yang menerbitkan filem 'Talentime' arahan Yasmin Ahmad tidak pernah merasakan buah tangan pertamanya itu suatu yang sukar untuk dilunaskan.

“Alhamdulillah, dengan bantuan rakan-rakan produksi, jabatan audio visual, isteri dan keluarga, saya dapat melakukannya dan semua ini bukan datang daripada saya seorang tetapi daripada semua orang. Allah juga telah mempermudahkan perjalanan kerja saya,” luah Effendy.

Jika tersilap langkah, mungkin Effendy akan berhadapan dengan risiko. Bagaimanapun, semua itu ditolak tepi lantas menerima tawaran yang diberikan tanpa ragu-ragu.

“Saya bukanlah seorang yang memilih dan menganggap tawaran yang diberikan sebagai rezeki oleh Allah.

“Rezeki saya dah sampai di sini. Apabila Mak (Yasmin) datang kepada saya untuk membikin filem Talentime, saya terus memberikan persetujuan kerana sebelum ini saya telah membikin separuh daripada komersial TV arahannya.

“Saya memang sudah lama mengimpikan untuk membuat filem namun sebelum ini tidak mendapat peluang.

“Jadi, saya buatlah apa yang termampu. Setiap pengalaman yang saya timba sebelum ini, saya curahkan dalam filem itu dan dalam masa yang sama saya juga masih mempelajari selok-belok tentang pembikinan sesebuah filem,” beritahu Effendy mengenai filem yang sedang melalui proses ‘check print’ sebab kita akan menyemak semula warna dan kesan lain yang terdapat dalam filem itu.

Cerita kemanusiaan

Secara peribadi, Effendy sendiri menganggap filem Talentime ini berkisarkan tentang kemanusiaan, masyarakat berbilang bangsa yang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Maknanya di dalam filem ini, kita gambarkan di kalangan bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa lain, ada yang baik dan sebaliknya.

“Talentime menyentuh tentang semangat persahabatan antara semua bangsa.

“Apa yang saya perhatikan, Talentime agak berbeza daripada filem-filem yang pernah diarahkan oleh Yasmin kerana ia disampaikan dalam bentuk muzikal sesuai dengan ceritanya yang menyentuh tentang uji bakat.

“Alhamdulillah, Mak telah menghasilkan skrip yang bagus,” ujar Effendy yang mensasarkan filem ini kepada generasi muda seperti budak sekolah.

Filem ini mengangkat kepelbagaian kaum di Malaysia yang mengisahkan keperitan terpaksa dilalui peserta pertandingan bakat sekolah serta kisah percintaan membabitkan dua bangsa dan agama berbeza.

Kali ini, Mahesh Jugal Kishor dan Pamela Chong Ven Tee menerajui Talentime bersama pelakon berpengalaman seperti Harith Iskander, Azean Irdawaty, Adibah Noor dan bintang Mukhsin, Mohamad Syafie Naswip.

Filem ini juga menarik kerana mengundang ramai pelakon jemputan. Antaranya Azean Irdawaty sebagai ibu Hafiz, Jaclyn Victor (Bhavani), Harith Iskander (Ayah Melur), Elza Irdalynna Khairil Anwar (Mawar), Mislina Mustaffa (Ibu Melur), Adibah Noor (Cikgu Adibah), Ida Nerina (Datin Kalsom) dan ramai lagi pelakon lainnya, Sukania Venugopal, Sherrina L Krishnan, Mohamed Redzuan Adamshah, Howard Han Kahoe, Lok Weng Sung, Melkinn Chee Ka Sheng, Amelia Thripura Henderson, Tan Mei Ling, Susan Ann Chong, Athilia Harun, Tan Yew Leong dan Anthony Michael Savarimuthu.

Minggu lalu, tayangan amal Talentime telah dilakukan untuk mengumpul dana kepada mangsa serangan Gaza melalui Mercy Malaysia.

Belum terfikir pasarkan ke luar negara

Menurut Effendy, filem Talentime belum tentu akan dipasarkan di luar negara atau tidak kerana setakat ini mereka belum berbincang dan terfikir sejauh itu.

“Mak (Yasmin) selalu mengingatkan saya supaya membuat filem kerana Allah. Kita bikin filem ini bukan sebab-sebab lain. Jika ditanya sama ada Talentime akan dipasarkan ke luar negara, saya rasa tidak kerana saya tidak mempunyai ‘intension’ itu.

“Kita buat filem ini juga bukan untuk keuntungan semata-mata tetapi berharap supaya filem ini akan berjaya,” kata Effendy.

Effendy telah bergiat di dalam industri seni sejak lapan tahun lalu. Sebelum ini beliau pernah menghasilkan komersial TV seperti McDonald, Petronas, Air Asia.

Penglibatannya tidak terhad dalam pembikinan komersial TV tempatan sahaja, malah Effendy turut membikin untuk komersial TV luar negara seperti India dan beberapa buah negara lain.

Selain itu, Effendy juga telah menerbitkan siri Ejen 016 yang disiarkan di televisyen.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan