Keikhlasan Yacob tawan hati Wani Wendy Wong

Diterbitkan: Isnin, 26 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wani bersama suaminya, Yacob
Wani bersama suaminya, Yacob

SUKAR untuk menggambarkan perasaan pelakon dan penerbit Wendy Wong atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah dengan kehidupan barunya kini. Bukan saja sudah bergelar saudara baru Islam, malah hidup Wendy yang kini selesa disapa Wani ini lebih bermakna apabila dia kini sah menjadi isteri kepada kekasih hatinya, Yacob Chik, 58, setelah selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu.

Hanya sekali lafaz, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri setelah tiga tahun menyulam cinta. Majlis yang serba ringkas di Dewan Perdana Felda Jalan Semarak, Kuala Lumpur itu menjadi saksi penyatuan cinta mereka yang sebelum ini tidak pernah didedahkan oleh Wani.

Wani yang kelihatan anggun dengan baju rekaan Andrew Gan itu menerima mas kahwin RM 80 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran yang mempunyai terjemahan di dalam bahasa Mandarin.

Pihak pengantin pula perempuan membalas sebanyak tujuh dulang hantaran antaranya jam tangan, minyak wangi, dompet dan kerusi urut jenama Ogawa. Namun, tiada wang hantaran diberikan oleh pihak lelaki atas permintaan Wani.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Antara rakan artis yang hadir ialah penulis lirik Habsah Hassan, Louisa Chong, Rubiah Suparman dan Ahmad Tarmimi Siregar.

Sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 3.45 petang, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama.

Hanya lafaz syukur mengiringi bicara Wani ketika ditanya perasaannya yang sah bergelar isteri kepada lelaki yang telah berjaya menambat hatinya itu.

Sambil mengakui dirinya tertarik dengan sifat prihatin Yacob, kata Wendy, suaminya itu juga adalah salah seorang yang banyak mengajarnya tentang agama Islam.

"Dia melamar saya selepas Hari Raya tahun lalu. Pada awalnya, saya sendiri tidak tahu untuk buat keputusan apatah lagi ramai kawan mengatakan dia terlalu tua untuk saya.

"Tetapi, hati saya terbuka untuk dia kerana dia berjaya membuatkan hati saya cukup tersentuh di dalam banyak perkara. Bagi saya, tidak perlulah cari yang kaya dan 'handsome', asalkan hatinya baik dan boleh menjaga saya dengan baik.

"Tetapi, pada masa yang sama saya juga agak risau setelah memikirkan keturunan saya yang menghidap penyakit genetik kanser.

"Saya tanyakan padanya, adakah dia sanggup kahwin dengan saya jika saya juga disahkan menghidap penyakit kanser. Tetapi jawapannya cukup ikhlas dan dia beritahu saya semua itu ditentukan oleh Allah dan dia rela menjaga saya sampai bila-bila.

"Saya membuat pemeriksaan kesihatan selepas itu dan akhirnya laporan menunjukkan kesihatan saya cukup baik. Selepas itu baru saya yakin untuk menerima lamaran dia dan rancang untuk majlis perkahwinan kami," kata Wani yang gembira berjaya menamatkan zaman bujangnya meskipun sudah berusia 40an.

Mengimbas awal pertemuan mereka, kata Wani, mereka mula mengenali antara satu sama lain menerusi rakan.

"Kami bertemu pun kerana rakan-rakan saya juga turut bersahabat dengan dia. Malah, kami jarang keluar berdua...selalunya pasti akan keluar bersama rakan-rakan lain.

"Tetapi dua tahun lalu, saya banyak menghabiskan masa di luar negara kerana menjalani rakaman program travelog terbitan saya. Waktu itu, kami hanya mampu menghubungi antara satu sama lain menerusi telefon dan hantar SMS saja.

"Malah, saya tidak dapat berhari raya dengannya dan rakan-rakan di sini selama dua tahun. Saya lihat dia ikhlas berkawan dengan saya dan saya bukan saya selesa berada dengannya, malah dengan keluarganya juga.

"Saya masih ingat sewaktu dia membawa saya ke rumah abangnya, Jaafar, di Ipoh. Saya ada meluahkan hasrat untuk ke sebuah rumah keluarga yang kurang bernasib baik yang pernah saya paparkan di dalam sebuah program terbitan saya sendiri.

"Saya ke sana dengan niat untuk memberikan wang sumbangan. Tetapi saya gagal jumpa rumah tersebut dan terpaksa menyerahkan wang itu kepada abangnya.

"Tidak sangka pula abangnya bersungguh-sungguh membantu saya mencari tempat tersebut. Dari situlah saya dapat rasakan cukup selesa berada bersama mereka.

"Malah, keluarga saya juga gembira dengan pilihan saya kerana mereka tahu saya adalah seorang yang cukup selektif. Saya bagitahu mereka, Yacob seorang yang baik dan mereka tidak menghalang," kata Wani

Menurutnya, Yacob melamarnya selepas dia memeluk Islam pada 28 November tahun lalu. Namun, niatnya memasuki agama ini juga sebenarnya sudah lama dipendamkan dalam dirinya.

"Sejak 10 tahun lalu, ramai kawan Melayu saya mengajak saya memeluk agama ini. Saya memang ramai rakan Melayu, malah ketika masih aktif dalam bidang lakonan, saya kagum melihat mereka sanggup berhenti kerja seketika dan pergi menunaikan sembahyang.

"Saya juga selalu terikut-ikut cara mereka seperti cakap 'Assalammualaikum'. Saya turut kagumi budaya Melayu," katanya.

Status duda yang dipegang oleh Yacob juga tidak menjadi isu buat dirinya. Ini merupakan perkahwinan yang kedua buat Yacob setelah bercerai 10 tahun yang lalu. Yacob mempunyai tiga orang anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.

"Anak-anaknya kini menetap di London. Saya ada bertemu dengan mereka pada minggu terakhir puasa dan mereka menyambut baik keputusan kami berkahwin," kata Wani.

Yacob pernah berkahwin dengan warga asing dan merupakan seorang jurutera Petronas sebelum bersara dan membabitkan diri di dalam bidang perniagaan bersama abangnya.

Jelas Wani lagi, majlis perkahwinan mereka mungkin nampak dibuat terburu-buru oleh banyak pihak apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah mewar-warkan kepada media.

"Saya mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara yang tinggal di merata-rata negara. Hanya bila Tahun Baru Cina, baru semua dapat berkumpul.

"Jadi, saya mahu mereka dapat hadiri majlis saya ini, jadi inilah masa yang paling sesuai kerana mereka juga pulang untuk menyambut Tahun Baru Cina.

"Jika tidak dilangsungkan tahun ini, kenalah buat pada Tahun Baru Cina yang seterusnya pula," katanya yang turut menginginkan cahaya mata secepat mungkin jika ada rezeki.

Dalam pada itu, 'tea ceremony', satu adat yang mengikut tradisi Cina akan turut dilakukan oleh pasangan ini sehari selepas majlis pernikahan mereka.

Ditanya destinasi bulan madu pilihannya, kata Wendy, dia dan suami akan ke Barcelona, Sepanyol untuk menaiki 'cruise' menjelajah beberapa perairan Eropah seperti Morocco dan akan berada di sana selama tiga minggu.

"Lepas pulang dari bulan madu, saya dan suami akan berangkat mengerjakan umrah pada 15 Mac depan," kata Wani.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan