'Malam Demimu Palestin' ekspresi buat rakyat Palestin

Diterbitkan: Sabtu, 24 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Yusuf Haslam (kanan) dan anaknya, Syamsul menyampaikan puisi pada Malam Demimu Palestin di Laman Santai, Istana Budaya malam tadi --fotoUTUSAN
DATUK Yusuf Haslam (kanan) dan anaknya, Syamsul menyampaikan puisi pada Malam Demimu Palestin di Laman Santai, Istana Budaya malam tadi --fotoUTUSAN

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Bersatu memerangi keganasan. Itulah yang dilontarkan dalam bait-bait puisi yang disampaikan oleh para kenamaan, cendekiawan mahupun warga seni di negara ini pada 'Malam Puisi Demimu Palestin' yang dianjurkan oleh Kumpulan Utusan di Laman Santai Istana Budaya, malam tadi.

Kira-kira 2,000 tetamu yang hadir pada majlis terbabit seakan dapat merasai keperitan yang ditanggung oleh masyarakat Palestin dengan mendengar lontaran puisi indah yang penuh makna dibacakan 21 orang penyair yang mengambil bahagian.

Jelas terpancar rasa sayu dan hiba di wajah mereka yang hadir. Kesannya menusuk di jiwa dan sukar untuk dihujahkan kecuali kepada mereka yang menyusuri ciptaan manusia yang agung ini.

Masing-masing bertekad agar keamanan yang dirampas secara rakus daripada rakyat Palestin dikembalikan. Kekejamanan yang dilakukan oleh regim Zionis terhadap masyarakat yang tidak berdosa sememangnya perlu dihentikan segera.

Majlis yang bermula tepat jam 9 malam itu dihadiri oleh Menteri Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KEKWA), Datuk Seri Shafie Apdal, Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abu Ghoush serta isteri, Iman Abu Ghoush serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Makaruddin.

Turut hadir mencemar duli pada majlis tersebut ialah Kerabat-kerabat Diraja, ‘The Caring Royals’ dan bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin turut sama menunjukkan tanda sokongan mereka kepada usaha murni yang dijalankan oleh pihak Utusan.

Malam Demimu Palestin, anjuran Kumpulan Utusan ini berperanan sebagai manifestasi rakyat Malaysia membantah tindakan kejam tentera Israel yang menindas warga Palestin.

Trio kumpulan Harmoni membuat persembahan pembukaan dengan menyampaikan lagu puisi bertajuk Balada Seorang Gadis Kecil dan Tuan Presiden.

Majlis yang diacarakan oleh personaliti popular, Aznil Nawawi nyata ‘hidup’ dengan celoteh yang bersahaja, berjaya meruntun perasaan sayu dihati penonton yang membanjiri laman Istana Budaya, ketika dia menyampaikan puisi bertajuk ‘Adik’.

Namun agak mengecewakan buat sifu, M.Nasir apabila penghibur tersohor itu lupa lirik dua kali ketika menyampaikan lagu Masirah.

Tidak adil untuk menyalahkan penyanyi tersohor terbabit semata-mata kerana semuanya berlaku gara-gara masalah audio yang tenggelam timbul ditengah-tengah persembahannya

Ternyata sifu, M.Nasir berjaya menutup kecacatan yang berlakuapabila beliau menyampaikan lagu Cermin Mimpi secara ‘accapella’. Lagu tersebut mengembalikan nostalgia peminat-peminatnya yang hadir.

Persembahan yang berlansung selama tiga jam itu diakhiri dengan persembahan pantomin oleh kumpulan teater Bingkas Kebayan.

Apa yang dapat dilihat acara deklamasi puisi Demimu Palestin bukanlah sekadar satu aktiviti menghimpunkan beberapa penyair dan seniman daripada pelbagai bidang tetapi mampu memberikan sesuatu kepada khalayak.

Setiap individu yang mendeklamasikan puisi mereka turut sama meluahkan perasaan benci dan amarah yang membuak-buak akibat kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk di Palestin.

Puisi yang disampaikan malam tadi membawa mesej tersendiri serta menyediakan satu landasan untuk menginterpretasi kerakusan tentera Zionis yang tidak berperikemanusiaan.

Selain majlis membaca puisi oleh tetamu kenamaan, penggiat sastera dan budaya serta artis popular tanah air, majlis turut menggabungkan aktiviti kutipan derma bagi mengisi Dana Kemanusiaan Palestin (Dakap) yang telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM500,000 sehingga kini.

Lebih istimewa apabila Menteri Kekwa, Datuk Seri Shafie Apdal tampil menyampaikan puisi istimewa hasil nukilan isterinya Datin Seri Shuriyani Shuib,yang bertajuk Untukmu Palestin.

Malam Puisi Demimu Palestin yang diadakan di Laman Santai, Istana Budaya ini turut menghimpunkan penggiat-penggiat sastera tersohor tanah air.

Antaranya ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Dr. Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, Shukri Abdullah, Puzi Hadi dan Rahimidin Zahari.

Tidak ketinggalan dua produser filem popular, Datuk Yusof Haslam dan David Teo serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez turut mendeklamasikan puisi masing-masing.

Selain Pengurus Besar Suria FM, Engku Emran dan sifu M. Nasir, nama-nama hebat personaliti hiburan yang lain seperti Meet Uncle Hussain, Fauziah Ghouse, kumpulan Kopratasa dan Suhaimi Meor Hassan turut menjayakan acara kemanusiaan itu.

Malam Puisi Demimu Palestin yang dianjurkan oleh pihak Utusan mendapat kerjasama daripada Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Luar.

Komen-komen pembaca puisi

Datuk Yusof Haslam

"Terus-terang, saya bukannya pandai mengarang dan membaca puisi, tetapi kerana simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin, saya berusaha untuk mencurahkan idea dan menzahirkan sepenuh perasaan saya semasa menyampaikan puisi itu tadi.

"Ia merupakan tanda sokongan saya kepada usaha murni seperti ini yang membabitkan kemanusiaan," jawab Yusof ringkas.

Shamsul Yusof

Bagi anak teruna pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam, Shamsul Yusof pula, dia punya pandangannya tersendiri dalam penyertaan sulungnya dalam majlis seperti ini.

"Dengan pembabitan generasi baru seperti saya, saya dapat lihat majlis ini dapat menarik lebih banyak perhatian daripada anak-anak muda.

"Harapan saya agar usaha yang dilaksanakan pada malam itu akan mendapat keberkatan dari-Nya," ujar Shamsul yang menyampaikan puisi bertajuk Air Mata Palestin bersama ayahnya.

Erra Fazira

"Ini merupakan usaha yang sangat baik daripada sebuah organisasi media untuk mencetuskan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai penderitaan rakyat Palestin," kata Erra Fazira.

Engku Emran

"Puisi yang saya sampaikan tadi menceritakan perasaan kasih dan sayang serta harapan yang tinggi seorang bakal bapa kepada anak yang bakal dilahirkan.

"Saya berpendapat, puisi itu cukup relevan dalam konteks krisis kemanusiaan yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat kekejaman dan kerakusan tentera Israel,'' ujar Engku Emran.

Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez

"Malam Demimu Palestin ini mampu meningkatkan kesedaran penduduk di seluruh dunia untuk bangun, lantas menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan penindasan.

"Saya menyedari pihak tentera Israel yang bertindak kejam menyerang Gaza, buta daripada segi moral. Bahkan, mereka tidak bijak dalam membuat satu-satu keputusan.

"Sekurang-kurangnya dengan penganjuran Malam Demimu Palestin, seluruh manusia di muka bumi ini punya sikap bertanggungjawab untuk membantu insan-insan yang memerlukan.

Zubir Ali (Trio Harmoni)

"Puisi Tuan Presiden yang saya cipta itu berkisar protes saya terhadap sikap Presiden AS dalam menangani krisis yang berlaku di Palestin.

"Ketika puisi ini ditulis, Presiden AS ialah Bill Clinton. Jadi, sekarang ini, saya tujukan puisi itu kepada George W. Bush dan Barrack Obama.

"Sayangnya, saya tidak sempat menyalurkan puisi itu kepada Clinton ataupun Bush. Harap-harap kali ini Obama akan mendapat mesej daripada puisi kami itu," katanya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan