Saida dan Saerah tampil album duo

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Saida tidak mahu dicop menumpang populariti adiknya, Datuk Siti Nurhaliza.
Saida tidak mahu dicop menumpang populariti adiknya, Datuk Siti Nurhaliza.

SELEPAS kemunculan album Lentera Timur nyanyian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, syarikat Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd (SNP) akan menerbitkan sebuah album duo menampilkan kakak dan adik kepada penyanyi tersohor itu iaitu Siti Saida dan Siti Saerah.

Selesainya program realiti Akademi Fantasia 6 tahun lalu, Saida tidak terus membisu tanpa merencanakan karier seninya.

Diam tak diam, Saida yang kini sudah tampil dengan single pertama, Sedalam Cinta sedang melalui proses mengumpul material untuk album pertamanya itu.

Selain itu, Saida berkata pada masa yang sama, dia masih sibuk dengan kerjanya di pejabat SNP dan mempromosikan single pertamanya itu.

Menurut Saida, setakat ini dia belum dapat pastikan butiran lanjut mengenai album duo itu.

“Saya tak pasti berapakah jumlah lagu yang akan dimuatkan di dalam album itu nanti tetapi yang saya tahu album penuh ini akan memuatkan lagu duet dan solo antara saya dan Saerah. Kami merancang untuk menerbitkan album ini dalam tahun ini juga.

“Selepas album Lentera Timur Siti berada di pasaran, kini kami mengumpul lagu-lagu untuk album terbaru ini pula.

“Mengenai genre, pelbagai genre dan rentak lagu seperti balada dan pop akan dimuatkan di dalam album ini,” ulas Saida mengenai album duonya bersama Saerah.

Bukan ambil kesempatan

Saida akui kemunculannya di dalam arena seni ini agak lambat dan seolah-olah menumpang populariti adiknya, Datuk Siti Nurhaliza.

“Saya tahu yang Siti sudah 13 tahun di dalam industri ini sedangkan saya pula baru nak berjinak-jinak di dalam bidang ini.

“Walaupun saya baru, tidak bermakna saya nak mengambil kesempatan dengan apa yang diraih oleh Siti. Saya anggap penglibatan saya di dalam industri ini sebagai suatu bisnes keluarga.

“Sebelum saya masuk AF6, memang saya tak merancang untuk bergelar artis. Saya sendiri tak sangka pula dapat menyertai AF6. Selepas itu, saya fikir tak salahkan untuk memeriahkan industri ini,” olah Saida.

Menurut Saida, pengalaman terlibat sama di dalam pengurusan karier Siti sedikit sebanyak memberikan tunjuk ajar dan panduan kepadanya tentang cara untuk bergelar seorang artis berjaya seperti adiknya itu.

“Dulu, saya selalu melihat cara Siti menguruskan kariernya dan apa yang sudah dilaluinya sebelum ini. Apabila saya bergelar selebriti, pengalaman yang dilaluinya turut dialami oleh saya pula.

“Sesibuk mana saya bergelar artis, saya masih bekerja dengan Siti. Saya akui apabila bergelar artis ni, tanggungjawab saya semakin berat tetapi nasib baik saya mempunyai keluarga yang memahami terutama suami yang banyak membantu.

“Jika ada show, saya akan bawa anak-anak sekali dan ketika mengikuti aktiviti Siti, anak-anak saya sudah terbiasa mengikut saya ke mana sahaja kami pergi.

“Jadi, saya rasa mereka tidak mempunyai masalah untuk mengikuti saya menghadiri show atau aktiviti seni pada masa akan datang,” ujar Saida yang semakin pandai bergaya.

Pada masa akan datang, dia merancang untuk membuat nyanyian trio bersama Saerah dan Siti jika mempunyai kelapangan masa.

Sentiasa nasihati Siti dalam selok-belok rumahtangga

Sekadar berkongsi kebahagian hidup berumahtangga, Saida berkata dia tidak lokek menasihati Siti dalam mengharungi asam garam kehidupan lebih-lebih lagi apabila bergelar artis.

“Saya akui banyak dugaannya apabila seseorang artis itu mendirikan rumahtangga. Seperti Siti, kehidupannya sentiasa diperhatikan peminat dan dia sendiri tidak lari daripada dikritik.

“Apa yang saya dapat katakan, hal ini membuatkan Siti lebih kuat dan tabah dalam menghadapi kehidupannya bersama suami, Datuk Seri Khalid.

“Saya ada juga nasihat Siti supaya bersabar dengan apa yang ditempuh dalam alam rumahtangga ini kerana ada yang suka dan tidak suka dengan kita.

“Selain itu, saya juga memintanya supaya banyakkan doa kepada Tuhan, sentiasa berkomunikasi dengan suami dan jangan lakukan sesuatu perkara yang suami tidak izinkan kerana restu daripada suami itu sangat penting dalam membina keluarga bahagia,” jelas Saida yang sentiasa menyokong setiap perkara yang mendatangkan kebaikan kepada Siti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan