Merempuh Karma: filem aksi berelemen dakwah

Diterbitkan: Selasa, 20 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Tiga tonggak utama filem Merempuh Karma, pelakon Rosyam Nor, Que Haidar dan Liyana Jasmay.
Tiga tonggak utama filem Merempuh Karma, pelakon Rosyam Nor, Que Haidar dan Liyana Jasmay.

BELUMPUN filem pertamanya, Gentayangan memasuki pawagam, kini Secondlife Picture Sdn. Bhd. telah bersedia menghasilkan filem kedua bergenrekan aksi, Merempuh Karma.

Menurut penerbitnya, Datuk Dr. Zubir Yahya, filem Gentayangan sedang menjalani proses suntingan dan CGI kerana teknik tersebut terpaksa memakan masa yang agak lama. Filem ini akan menemui peminat filem Melayu pada pertengahan tahun ini.

Berbalik kepada filem Merempuh Karma, ia merupakan sebuah filem bergenre aksi, memaparkan realiti kumpulan kongsi gelap dan kegiatan jenayah ala ‘Mafia’ di Malaysia sendiri.

Dengan membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Ahmad Yatim, Sidi Oraza, Fauziah Nawi, Rosyam Nor, Faizal Hussien, Hasnol Rahmat, Que Haidar, Liyana Jasmay, Raja Farah, Kamal Adli dan beberapa pendatang baru, filem arahan Azhar Yunus ini dijangka memberikan satu persepsi baru dalam industri perfileman tanah air.

Filem menelan belanja sekitar RM1.8 juta ini bakal menjalani pengambaran selama 60 hari bermula 18 Mac depan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Kota London.

Kata Datuk Dr. Zubir, beliau sendiri berasa pelik apabila membaca sekali imbas skrip filem Merempuh Karma.

“Saya tengok skrip Merempuh Karma ni pelik sedikit. Sebelum saya memberikan komen, saya lebih suka mendengar komen daripada setiap pelakon terlebih dahulu.

“Saya akan bersetuju jika pelakon kata skripnya bagus. Selepas mereka bersetuju, saya tengok semula skrip filem ini, saya rasa ia mempunyai jalan cerita yang menarik kerana mempunyai aksi-aksi gaduh yang tidak terdapat di dalam filem tempatan.

“Oleh sebab itu, kita pilih Kota London sebagai salah satu lokasi pengambaran filem ini. Misalnya, kita akan lakukan adegan bergaduh di dalam LRT serta babak mengikat dawai kawat dan menjerut tengkuk,” kata Datuk Dr. Zubir ketika majlis beramah mesra bersama para pelakon Merempuh Karma baru-baru ini.

Ikuti temubual selanjutnya bersama pengarah Azhar Yunus yang mempunyai pengalaman bergelar pembantu pengarah dan pengarah seni bagi lima buah filem iaitu Anaknya Sazali (2000), Orang Minyak (2007), Nadia (1992), Awas (1995) termasuk bergelar salah seorang krew filem Perancis, Dust Of Life (1994) arahan pengarah tersohor Rachid Bouchareb.

Selain itu, Azhar mempunyai pengalaman selama 20 tahun mengarah puluhan drama antaranya Larut, Salsa dan banyak lagi.

Boleh tak ceritakan sedikit gambaran sebenar mengenai filem Merempuh Karma?

“Jika kita hendak ceritakan tentang asal-usul filem ini, ia merupakan filem dakwah yang hendak mengangkat martabat seorang ibu. Mesej yang cuba kami ingin sampaikan adalah di akhir cerita ini saya inginkan penonton pulang dan meminta maaf dengan ibu masing-masing.

“Dari mesej itu, kita tidak mahu menampakkan jalan ceritanya yang ‘direct’, jadi kita masukkan tarikan komersial agar lebih menarik perhatian penonton.

“Jadi, filem ini sebenarnya berasal daripada 17 babak filem pendek dan dikembangkan sehingga menjadi filem yang agak beraksi ganas.

“Kita akan tonjolkan aksi pergaduhan tetapi di dalam masa yang sama, kita akan kekalkan elemen-elemen dakwah dan nilai-nilai agama.

“Bagaimanapun, filem ini turut dibelasah dengan skil hubungan perempuan sesama perempuan dan elemen yang menarik.

“Kita tengok dialog dan jalan ceritanya, walaupun menentang karma, orang itu ada sisi gelapnya pada masa lalu dan secara zahirnya dia akan bertukar menjadi insaf tetapi antara orang itu sempat atau tidak.

“Saya ingin tekankan di sini, filem ini bergenre aksi dan disuntik sedikit elemen dakwah.”

Kenapa hendak mengarah filem ini?

“Setiap pengarah itu, mesti bercita-cita untuk mengarah sebuah filem. Dalam masa yang sama, saya dan penulis skrip filem ini selalu bekerjasama, berbual dan berbincang dengan mengeluarkan idea lain dari yang lain.

“Dalam masa setahun, kami memikirkan idea filem pendek itu yang juga menggunakan judul yang sama sehingga kami ingin membuat filem cereka tetapi ideanya mula berubah menjadi sedikit berlainan daripada filem asalnya.”

Kenapa pilih filem bergenre aksi?

“Bukan kerana kami memilih genre itu tetapi disebabkan idea itu datang mengikut kesesuaian ceritanya dan wujudnya elemen-elemen aksi. Jadi, kita bukan sengaja hendak membuat filem aksi. Genre aksi itu datang dalam pembentukan skrip itu.”

Mungkinkah ia mempunyai persamaan dengan mana-mana filem Hollywood?

“Kita menggunakan beberapa elemen filem Godfather serta pengaruh daripada pengarah terkenal Hollywood iaitu Oliver Stone dan beberapa buah filem lain.”

Sejauh mana keyakinan skrip yang ditulis boleh divisualisasikan?

“Saya rasa 100 peratus yakin semua skrip yang ditulis itu boleh divisualisasikan. Dari segi teknikal, saya yakin boleh. Misalnya, kita sudah rancang untuk membuat aksi bergaduh di dalam LRT bergerak dan campurkan dengan sedikit babak di dalam LRT yang tidak bergerak serta mencampurkan elemen-elemen CGI seperti kaca berterbangan dan letupan api.

“Selain itu, kita akan cuba lakukan babak aksi secara ‘real’ dengan menggunakan khidmat pelakon ‘stunt’ dan pelakon itu sendiri misalnya kita ada menggambil pelakon ekstra dari kumpulan seni bela diri seperti silat, taekwondo, dan ‘kick boxing’.

“Dari segi aksi lasak, saya akan dibantu oleh guru silat, Azi yang mempunyai studio latihan seni bela diri di London.”

Tambah Azhar, filem ini masih di dalam proses pra-produksi dan akan memulakan pengambaran sekitar Mac depan. Filem ini dijangka akan menemui penonton pada tahun depan.

Lancar cando.com.my

Tahun 2009 ini bukan sahaja melakar sejarah bagi Secondlife Picture dengan penerbitan filem Merempuh Karma juga tayangan filem Gentayangan. Pada Februari 2009, sebuah laman web portal hiburan terbaru juga bakal dilancarkan.

Laman web portal berinformasi yang juga menyediakan transaksi perniagaan dalam talian ini bakal memberi satu fenomena baru bagi pencari-pencari maklumat di internet juga untuk usahawan-usahawan teknologi yang ingin mencari peluang perniagaan lebih besar.

Menjadi laman web pertama di Asia menggabungkan hiburan dan perniagaan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Tekun Nasional yang telah menyediakan modal bagi mereka yang berminat dalam menceburi bidang ini.

Berpengalaman dalam menguruskan perniagaan berasaskan internet dan telefon bimbit melalui Mobile Income Resources Sdn. Bhd, idea penghasilan cando.com.my ini akan diterjemahkan lagi melalui 1,000 buah nukleus atau kiosk dikenali ‘Kroni CanDo’ bermodalkan RM10,000.

Untuk permulaan, pihak Secondlife telah memilih beberapa artis popular seperti Raja Farah menjadi duta Kiosk CanDo Secondlife manakala Khaty Azean dan Rosyam Nor telah menerima tawaran menjadi duta beberapa produk utama yang akan dipasarkan menerusi kiosk tersebut.

Peserta juga diwajibkan menghadiri kursus 2 hari 1 malam meliputi aspek membina minda yang kreatif selain latihan pengendalian Kiosk CanDo Secondlife pada bulan Mac depan.

Ia terhad kepada 1,000 peserta sahaja. Penginapan, makan, minum serta latihan akan diberi, pendaftaran kursus sebanyak RM1,000 sahaja.

Menurut pengasas Secondlife Picture, Datuk Dr. Zubir, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan memberikan ucaptama manakala pakar motivasi Datuk Dr. Fadilah Kamsah akan dijemputkan memberikan ceramah di dalam kursus tersebut.

Bagi mereka yang berminat merebut peluang perniagaan ini bolehlah berdaftar di pejabat ini; 231 C, Jalan Bandar 13, Taman Melawati, Kuala Lumpur atau hubungi Shariman Wahap di talian 0173066332.

Delly dan Farel ‘CanDo Sahaja’

Konsep penggabungan media menjadi sebahagian daripada industri hiburan bernilai berbillion ringgit, dan konsep ini telah melahirkan satu kumpulan penyanyi baru iaitu ‘CanDo sahaja’.

‘CanDo Sahaja’ dianggotai oleh dua orang remaja berbakat, Delly dan Farel. Bakat nyanyian mereka telah dicungkil oleh penulis lirik Adinda Amiro pada penghujung tahun lalu. Sedang menjalani proses rakaman serta kelas vokal intensif, ‘single’ dari kumpulan ‘CanDo Sahaja’ bakal dinikmati oleh peminat-peminat bidang seni suara pada awal Februari depan.

Lagu-lagu nyanyian mereka hanya boleh didapati secara eksklusif melalui laman web portal cando.com.my bermula pertengahan Februari nanti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan