Malam sejarah muzik indie

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Meet Uncle Hussein buktikan muzik indie mula menguasai industri muzik tempatan
Meet Uncle Hussein buktikan muzik indie mula menguasai industri muzik tempatan

SETELAH kumpulan Estranged dinobatkan sebagai pemenang di Anugerah Juara Lagu tahun lalu, sekali lagi muzik indie diangkat sebagai juara pada Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL23) menerusi Lagu Untukmu dendangan kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussein (MUH).

Kemenangan MUH sememangnya bukan satu kejutan apatah lagi nama band ini memang disebut-sebut bakal memberikan saingan sengit buat seorang lagi finalis hebat pada malam itu, Faizal Tahir yang mempertaruhkan dua buah lagu nyanyiannya, Cuba dan Sampai Syurga.

Meskipun gagal dinobatkan sebagai juara keseluruhan, Faizal tetap 'menang besar' apabila lagu Sampai Syurga merangkul hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi kerana menjuarai kategori Balada manakala penyanyi itu juga turut memenangi RM10,000 bagi Vokal Terbaik dan RM10,000 lagi bagi Persembahan Terbaik.

Juara Etnik Kreatif pula berjaya dimenangi oleh lagu Persoalan Cinta ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman/ Izza Rosley nyanyian Farawahida yang turut berjaya menggondol hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi.

Ternyata pihak penerbitan TV3 akur dengan 'trend' muzik masa kini yang mana muzik 'underground' sudah mula mendapat tempat di hati peminat-peminat muzik tempatan dan sekaligus berjaya mewarnai persada muzik tanahair.

Jika beberapa tahun dulu, MUH, antara pelopor muzik indie di negara ini mungkin sangsi dengan halatuju muzik yang mereka perjuangkan, tetapi kini mereka sudah boleh menarik nafas lega.

Tuah Lagu Untukmu yang dihasilkan kira-kira tiga tahun lalu oleh anggota kumpulan ini sendiri iaitu Taja, Tass dan Lan akhirnya menempah kegemilangannya tahun ini apabila dijulang sebagai Juara Lagu ke-23!

MUH membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM25,000 serta trofi bagi kemenangan utamanya malam tadi serta turut meraih RM12,000 dan trofi apabila turut muncul sebagai juara kategori Pop Rock.

Mengulas mengenai kemenangan mereka itu, vokalis kumpulan tersebut Norazlan Yuslee atau Lan melahirkan rasa syukur apabila muzik yang mereka ketengahkan itu mendapat pengiktirafan barisan juri yang mengadili AJL23 ini.

"Dengan kemenangan yang diraih oleh Estranged tahun lalu, kami memang tidak jangka tahun ini akan dimenangi oleh band lagi. Tetapi nampaknya industri muzik tanahair sudah mula boleh menerima muzik indie.

"Sejujurnya, kami rasakan Faizal yang akan muncul sebagai juara keseluruhan apatah lagi bila melihat dia menang besar pada malam ini. Bagi kategori Pop Rock pula kami sebenarnya jangkakan lagu Kalis Rindu nyanyian Elyana yang akan menang kerana melodi ciptaan Aidit Alfian itu cukup segar," kata Lan pada sidang media sejurus berakhirnya AJL23, malam tadi.

Tutur gitarisnya, Taja, pula, wang kemenangan yang diperoleh itu akan digunakan oleh mereka sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi karier seni MUH.

Namun begitu, kata Taja, dia akui 'expectation' peminat terhadap kumpulan ini pastinya lebih tinggi selepas ini setelah memenangi AJL, termasuklah penghasilan lagu-lagu mereka kelak.

"Perkara ini memang 'pressure'. Walaupun kami ditakdirkan kalah pada AJL ini, tekanan tetapi kami rasakan terutamanya dalam aspek mengumpulkan material lagu.

"Tetapi, kalau kita lihat, ada karya-karya yang bagus itu sebenarnya dicipta dalam keadaan spontan saja," kata Taja.

Dalam pada itu, ketua juri AJL23, Azmeer akui, saingan sengit jelas dilihat antara MUH dan Faizal Tahir menerusi lagu Sampai Syurga. Namun, ternyata tuah lebih menyebelahi MUH apabila barisan juri menyifatkan Lagu Untukmu mempunyai kelainan dan muziknya yang lebih terkini.

"MUH perjuangkan muzik yang segar dan jika dilihat persembahan mereka pada malam ini cukup bersahaja tetapi tetap memukau. Juri menilai berdasarkan beberapa aspek seperti melodi, lirik dan susunan muzik.

"Dan berdasarkan aspek itu, MUH berjaya mengalahkan Sampai Syurga. Tetapi, markah yang diberikan kepada kedua-dua finalis ini tidak jauh bezanya," kata Azmeer.

Selain komposer terkenal itu, barisan juri AJL23 ini terdiri daripada Acis, Adibah Noor, Hazami, Dr. Wan Zawawi, Saharudin Musthafa, Mohariz Yaakup, dan Helen Yap.

Secara keseluruhannya, tambah Azmeer, persembahan yang dipamerkan oleh semua finalis pada malam tersebut memang cukup menarik.

Meskipun penilaian untuk lagu terbaik telah dibuat oleh pihak juri sebelum berlangsungnya malam kemuncak itu, persembahan setiap finalis turut memainkan peranan bagi penentuan keputusan tersebut.

"Dalam pertandingan seperti AJL ini, memang cukup sukar untuk menentukan juara kerana kebiasaannya, finalis akan mempamerkan persembahan yang hebat pada malam itu.

"Tidak dinafikan, persembahan yang memukau dan mampu menaikkan bulu roma penonton serta juri akan menjadi elemen penting untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu, bukan sekadar dinilai dari aspek teknikal," jelasnya.

Begitu juga bagi ketegori Etnik Kreatif yang dimenangi oleh lagu Persoalan Cinta nyanyian Farawahida yang dirasakan juri menampilkan elemen etnik yang cukup berbeza dengan menyelitkan muzik Erhu di dalamnya.

"Usaha penciptanya, Julfekar menyelitkan elemen Cina di dalam lagu tersebut memang lain dari yang lain. Sebelum ini, lagu-lagu yang memasuki Etnik Kreatif sering diselitkan dengan elemen muzik Arab dan India, tetapi belum pernah muzik Cina ditampilkan.

"Malah, persembahan Farawahida pada malam ini juga memberikan markah yang banyak kepada dirinya kerana penggunaan pentas yang baik," kata Azmeer.

Faizal 'balas dendam' AJL tahun lalu

Tiga kemenangan yang diraih oleh Faizal pada AJL23 ini ternyata diibaratkan seperti "balas dendam" setelah penyanyi itu gagal beraksi pada AJL tahun lalu.

Meskipun kejayaan tidak berpihak kepada sebuah lagi lagu dendangannya yang layak ke peringkat akhir, Cuba, tetapi Faizal masih boleh menarik nafas lega apabila lagu ciptaan Audi Mok dan Ahmad Izham Omar serta lirik oleh dirinya sendiri, Sampai Syurga berjaya membawa kemenangan besar buatnya.

Selain vokal yang mantap, Faizal mempamerkan persembahan yang cukup kreatif menerusi lagu Sampai Syurga dan berjaya menggamatkan suasana yang dipenuhi kira-kira 15,000 penonton di Stadium Bukit Jalil, semalam.

"Bagi saya, ini bukan balas dendam atau sebagainya. Saya sudah tunggu peluang ini sejak tahun lepas. Andai kata saya berjaya beraksi di AJL tahun lalu dan menang, tidak bermaksud tahun ini saya akan buat sambil lewa saja.

"Bagi saya, persembahan yang saya buat itu tidak pernah saya tampilkan di mana-mana persembahan saya sebelum ini," kata Faizal.

Menurutnya, idea persembahan 'unik' Sampai Syurga itu memang dicetuskan olehnya sendiri.

"Memang itu semua idea saya sambil dibantu oleh Audi dan rakan-rakan. Saya memang jenis yang suka berfikir 'out of the box'. Pada awalnya, saya ingat mungkin persembahan saya tidak 'menjadi'.

"Tetapi, saya hanya buat yang terbaik dan saya ambil pendirian 'apa nak jadi, jadilah'," kata Faizal bercerita tentang idea persembahannya itu.

Tambah Faizal lagi, memang sengaja dia membuat persembahan yang berlainan pada lagu Sampai Syurga berbanding Cuba memandangkan lagu Cuba yang juga ciptaan Audi itu mempunyai kekuatan yang berbeza.

"Cuba lebih kuat dari segi susunan muzik, sebab itu saya fokuskan kepada vokal saja untuk lagu tersebut," tuturnya.

Ditanya tentang kekalahannya kepada MUH, kata Faizal, dia memang dari awal sudah meramalkan band tersebut akan mengungguli AJL kali ini.

Walaupun diumumkan memenangi tiga kategori, Faizal tetap yakin MUH akan membawa pulang gelaran utama tersebut.

"Memang dari awal lagi saya cukup yakin MUH akan menang. Bagi saya, band ini telah menunjukkan ke mana halatuju industri muzik kita. Lagipun, saya sendiri memang meminati lagu-lagu mereka," kata Faizal.

Perkara tersebut turut dipersetujui oleh Audi Mok yang merasakan MUH memang layak dinobatkan sebagai pemenang pada AJL kali ini menerusi lagu yang mereka pertaruhkan itu.

"Sudah tentu saya akan gembira kalau Sampai Syurga yang menang. Tetapi, tidak ada kelainanlah pada industri muzik kita. Apa yang dikecapi oleh MUH sekaligus membuktikan bukan hanya lagu balada saja yang mampu menang AJL, tetapi kategori lain juga," kata Audi.

Faizal turut berhasrat untuk menyumbangkan sedikit daripada wang kemenangan tersebut untuk tabung bantuan mangsa Gaza.

Percubaan pertama yang bermakna buat Farawahida

Penggunaan elemen Cina dengan menyelitkan instrumen Erhu di dalam lagu Persoalan Cinta ternyata membawa tuah buat komposernya, Julfekar, penulis liriknya Ku Seman dan Izza Rosley serta penyanyinya sendiri, Farawahida.

Kelainan yang ditampilkan telah memberi kemenangan kepada lagu tersebut apabila dinobatkan sebagai juara Etnik Kreatif menewaskan dua buah lagu lain iaitu Dusta Berkalang nyanyian Aiman dan Doa Dalam Lagu dendangan Heliza dan Zahid.

"Saya cuba buat kelainan dalam persembahan saya yang berkonsepkan oriental dengan penggunaan Erhu. Bagi saya, alang-alang kali pertama masuk AJL, biarlah buat sehabis baik.

"Lagipun, sebelum ini belum pernah ada lagu yang bertanding di AJL mengenengahkan elemen Cina," kata Farawahida yang akui lagu itu cukup mencabar vokalnya.

Malah, jika ditanya pendapatnya, lagu Dusta Berkalang dilihat oleh penyanyi ini mempunyai kekuatan untuk bergelar juara.

"Lagu nyanyian Aiman itu cukup 'kuat' bagi saya. Sebab itu saya tidak fikir sangat untuk menang dan lebih memikirkan tentang persembahan saja," tuturnya.

Bagi komposernya, Julfekar, pengiktirafan tersebut membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk menyuntik elemen-elemen lain bukan saja menerusi lagu-lagu etnik, malah yang berentak pop dan balada juga.

"Zaman sudah berubah, kalau kita tidak kayakan elemen etnik kita, tiada siapa yang akan dengar. Bagi saya, jika ada unsur yang boleh diketengahkan dalam lagu, apa salahnya kita buat.

"Selepas ini, saya akan masukkan elemen Borneo pula untuk lagu baru ciptaan saya," kata Julfekar

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan