Siti nafi sudah banyak berubah

Diterbitkan: Khamis, 15 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wajah ceria Datuk Siti Nurhaliza sewaktu majlis pelancaran album Lentera Timur di ibu kota semalam. -foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN
Wajah ceria Datuk Siti Nurhaliza sewaktu majlis pelancaran album Lentera Timur di ibu kota semalam. -foto The Star oleh KAMAL SELLEHUDDIN

SELANG seminggu selepas penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhd. Jiwa mengadakan sidang media menafikan gosip perkahwinan mereka di ambang penceraian, sejak dua hari lalu berturut-turut mereka menerima sedikit gangguan daripada orang yang tidak dikenali sehingga terpaksa membuat laporan polis.

Menurut Datuk Seri Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, lelaki itu memekik terlolong memanggil nama Siti di luar kediaman mereka yang terletak di Bukit Antarabangsa sehingga mereka tidak teragak-agak menghubungi pihak polis untuk mengawal keselamatan mereka sekeluarga.

Bukan itu sahaja, Datuk K juga berkata, ada peminat perempuan yang fanatik terhadap Siti datang ke rumah pada pukul 11 malam kelmarin untuk melihat keadaan sebenar hubungan beliau dan isterinya.

“Sekarang, saya risaukan keadaan Siti dan keluarga. Jadi, kami tidak akan teragak-agak untuk berpindah rumah jika perlu,” kata Datuk K di majlis pelancaran album Lentera Timur Siti Nurhaliza di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Siti pula berkata, kejadian tersebut merupakan antara insiden yang melibatkan keselamatan mereka sekeluarga jadi tidak mustahil jika mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang tidak dikenali itu.

“Dalam hal ini, keselamatan itu penting. Dulu pun saya pernah diancam dengan pisau dan kini rumah saya pula yang menjadi tumpuan.

“Lagipun keadaan orang itu agak mencurigakan. Jadi, kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

“Tetapi, tiadalah sampai hendak berpindah rumah,” jawap Siti yang sedikit terkejut dengan persoalan tersebut.

Siti yang menyambut Hari Jadinya ke-30 pada 11 Januari lalu turut menafikan apabila diminta memberi komen tentang perubahan dirinya yang ketara dilihat semakin terbuka bercakap tentang soal rumah tangga.

“Tiadalah. Mana ada. Ada ke? Itu hanya tentang sambutan Hari Jadi saya ke-30 baru-baru ini,” jelas Siti sambil tersenyum.

Prihatin terhadap rakyat Palestin

Dalam majlis pelancaran album ke-13 Siti itu, penyanyi yang masih mengekalkan popularitinya sehingga kini itu turut menyampaikan sumbangan untuk membantu warga Palestin.

Sumbangan tersebut disalurkan oleh syarikat milik Siti, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) kepada dana kemanusiaan Palestin yang ditubuhkan oleh Kumpulan Utusan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

“Melalui SNP, kami memang sudah mewujudkan satu tabung amal sejak setahun yang lalu untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Jadi, kali ini kami berhasrat untuk membantu saudara Islam kita di Gaza kerana merasakan mereka lebih memerlukan.

“Kami hanya membantu seikhlas mungkin. Insya-Allah, saya dan suami juga akan memberikan sumbangan secara peribadi pula nanti.

“Bukan itu sahaja, saya juga akan mengadakan sebuah konsert amal untuk membantu rakyat di Gaza pada hujung bulan ini anjuran Yayasan Nurjiwa,” kata Siti.

Yayasan Nurjiwa merupakan yayasan kebajikan yang ditubuhkan oleh Siti dan suaminya.

Tambah Siti, beliau turut menyokong cadangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk memboikot barangan keluaran Amerika sebagai tanda protes.

Tidak mungkin berhenti menyanyi

Dalam pada itu, menyentuh tentang isu Siti akan meninggalkan dunia seni disebabkan gosip yang melanda beliau dan suami, Siti berkata beliau tidak mungkin akan berganjak dari industri seni suara ini setelah berfikir panjang dan berbincang semula dengan suaminya.

“Saya akui waktu membuat keputusan itu, keadaan suami saya agak tertekan sehingga membuatkan saya mengeluarkan kenyataan tersebut tanpa berfikir panjang. Sebagai orang yang saya cintai, saya turut merasai tekanan yang dialaminya.

“Dulu, kami pernah juga dilanda kontroversi dan disebabkan oleh pengalaman itu membuatkan kami berasa ‘kebal’ sekarang. Jadi, selepas berbincang, saya rasa tak patut pula hendak berhenti menyanyi.

“Saya rasa mungkin saya akan berhenti juga suatu masa nanti. Jika saya nak berhenti pun, tak semestinya disebabkan kontroversi,” ulas Siti yang mensasarkan jualan album Lentera Timur mencapai 100,000 unit.

10,000 unit Lentera Timur telah terjual

Lentera Timur merupakan album kontemporari tradisional Siti yang telah berada di pasaran sejak 26 Disember lalu.

Antara 11 buah lagu yang dimuatkan dalam album tradisional keempat Siti itu adalah Di Kayangan Kita, Bintang Malam, Cinta Ini, Ada Masa Mata dan Bulan Yang Mesra di mana sembilan buah lagu dihasilkan menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP- Berirama Malaysia Bersama Siti Nurhaliza pada 14 Januari tahun lalu manakala dua buah lagu lagi dipilih ciptaan Katon Bagaskara dan Pak Ngah.

Sembilan buah lagu tersebut dicipta dalam tempoh tiga hari oleh beberapa komposer dan penulis lirik ternama negara antaranya M. Nasir, Johan Nawawi, Habsah Hassan dan Fauzi Marzuki.

Namun, sebuah lagu ciptaan Aidit Alfian yang dipilih oleh Siti terpaksa diketepikan atas perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Pada mulanya, memang saya memilih untuk memasukkan sebuah lagu ciptaan Aidit Alfian dan kemudian hendak menggantikan dengan lagu ciptaan Radhi OAG ke dalam album ini tetapi kedua-duanya tiada rezeki pula.

“Insya-Allah, saya mahu album ini mencapai sasaran jualan sebanyak 100,000 unit dalam tempoh enam bulan. Setakat ini, sudah 10,000 unit sudah diedarkan dan album itu akan dicetak lagi.

“Namun, saya faham dengan keadaan ekonomi sekarang ini. Kalau dapat jual dalam 50,000 unit pun, Alhamdulillah. Tetapi kalau dapat 100,000 unit, ia merupakan kejayaan yang membanggakan.

“Untuk mencapai hasrat tersebut, saya akan mempergiatkan promosi melalui stesen radio, stesen tv dan akan turun padang bertemu peminat. Sidang media hari ini pun merupakan salah satu cara meuar-uarkan mengenai album ini.

“Saya harap album ini dapat menaikkan industri muzik tempatan,” luah Siti yang tidak menganggap lagu-lagu kontemporari tradisional sukar mendapat tempat untuk diputarkan di corong radio.

Jelas Siti, walaupun lagu-lagu dalam album ini berentak tradisional tetapi susunan muzik dibuat mengikut citarasa zaman kini iaitu mendapat sentuhan muzik moden.

Namun jatidiri muzik dan penggunaan alat muzik tradisional amat dititikberatkan dalam penghasilan tiap lagu.

“Lagu kontemporari tradisional tidak terlalu berat dan susunan berbeza jika dibandingkan dengan lagu-lagu di dalam album terdahulunya, Sanggar Mustika.

“Saya rasa lagu-lagu di dalam album Lentera Timur ini tidak mempunyai masalah untuk diputarkan di corong radio kerana ia bukanlah irama tradisional semata-mata.

“Jika ada yang inginkan rentak R&B, perdengarkan lagu Di Kayangan Kita ciptaan Johari Teh dan lirik oleh Keon, manakala yang menggemari irama rambong, kita ada lagu Ada Masa Mata ciptaan M. Nasir dan lirik oleh Ad Samad,” kata Siti yang mengalu-alukan bengkel anjuran MACP itu diadakan lagi selepas ini.

Siti berpendapat dengan mengetengahkan muzik kontemporari tradisional, beliau bukan sahaja dapat mengajak peminat baru atau remaja untuk mencintai muzik tradisional malah dapat memberikan sesuatu yang baru dalam lagu-lagu Melayu masa kini.

Menurut Siti, album itu juga telah mengabulkan impiannya untuk menggunakan live strings bagi semua lagu.

“Selepas ini, mana tahu saya akan buat lagu-lagu menggunakan orkestra pula,” seloroh Siti yang merasakan semua lagu dalam album tersebut adalah kesukaannya kerana setiap satunya mempunyai kelainan mood tersendiri.

Kesemua lagu dalam album tersebut juga boleh dimuat turun dalam bentuk nada dering, caller ringtone, lagu penuh menerusi perkhidmatan digital yang diusahakan oleh SN Mobile Digital Sdn. Bhd.

Bagi peminat yang ingin memuat turun lagu-lagu yang terdapat dalam album ini perlu menaip SN dan hantar ke 33777.

Siti juga telah selesai menjalani pengambaran klip video lagu Cinta Ini sebagai usaha mempromosikan album ini sebelum mengeluarkan album Lentera Timur versi karaoke sebelum bulan April nanti.

Dalam perkembangan lain, Siti juga merancang untuk mengadakan konsert besar-besaran dalam tahun ini.

“Saya idamkan konsert besar-besaran seperti yang saya buat dulu. Sekarang ini, kertas kerja sudah siap cuma sedang menunggu lampu hijau daripada pihak penaja pula,” akhiri Siti yang berhasrat untuk mengadakan konsert berkonsepkan himpunan lagu irama tradisional, pop rock dan balada.

Sebelum ini, Siti telah menjayakan Konsert Royal Albert Hall (2006), Konsert Salam Akhir Siti Nurhaliza - Untukmu Sudir (2002), Konsert Mega Siti Nurhaliza, Bukit Jalil (2001), dan Konsert Live Siti Nurhaliza (1999).

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan