Scha bengang digosipkan dengan juruterbang MAS

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Scha kesal gambar yang tersebar di internet mampu mencalar imejnya sebagai selebriti.
Scha kesal gambar yang tersebar di internet mampu mencalar imejnya sebagai selebriti.

GOSIP dirinya dikaitkan dengan juruterbang MAS seperti yang tersebar di internet sekarang membuatkan aktres baru, Scha tidak dapat duduk diam sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati di dalam dirinya.

Bayangkan, pelakon yang baru hendak mencipta nama di dalam persada seni tanah air ini terpaksa berhadapan dengan situasi ini.

Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir tidak menyangka hal ini berlaku dengan pantas dan disebabkan beberapa keping gambar itu boleh menjejaskan imejnya sekelip mata.

Semalam, aktor Fahrin Ahmad yang juga dikaitkan dengan dirinya telah melunaskan jawapan bahawa Scha bukanlah kekasih kepada juruterbang MAS yang dimaksudkan.

Fahrin juga tidak mengiyakan mahupun menidakkan yang Scha adalah kekasihnya.

Ketika meminta penjelasan gadis berusia 26 tahun ini sendiri, dia juga menafikan gosip juruterbang MAS itu adalah kekasihnya.

“Pada mulanya saya nak tinggalkan gosip ini dengan teka-teki. Saya tak nak layan sangat sebab orang sekarang lebih pentingkan gosip daripada berita.

“Sudah ramai yang membuat spekulasi itu dan ini. Tetapi, terus-terang saya katakan juruterbang MAS itu bukan kekasih saya.

“Kami hanya kawan..Gosip ni memang buat saya marah!,” tegas Scha mengenai gambar yang dirakamkan pada awal tahun 2008 itu.

Apabila ditanyakan tentang hubungannya dengan Fahrin, Scha turut memberikan jawapan yang sama seperti mana hubungannya dengan juruterbang MAS itu.

“Saya dan Fahrin tak bercinta. Dia kawan baik saya,” jawab Scha ringkas sekaligus tidak menyembunyikan statusnya yang masih ‘single’ tetapi tidak ‘available’ itu.

Akui gugup mengacara Sehati Sejiwa

Mengenai kehadiran Fahrin semasa dia mengacarakan program Sehati Sejiwa pada Rabu lepas, Scha berkata, "rakan baiknya" itu hanya menolong apa yang patut memandangkan dia baru pertama kali diberikan peluang untuk mengacara sesebuah program televisyen secara langsung selama satu jam.

“Memang saya yang meminta Fahrin hadir untuk membantu saya pada hari itu. Saya akui rasa sedikit gugup ketika mengendalikan program tersebut kerana kedua-dua belah pihak sama ada dari pihak saya mahupun pihak penerbitan tidak membuat persediaan rapi ketika program itu berlangsung.

“Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik pada masa akan datang kerana dah nampak dan tahu sedikit sebanyak tentang program itu.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penerbit, Hasliza kerana memberikan kepercayaan dan memilih saya sebagai hos program ini.

“Peluang yang diberikan ini tidak akan saya sia-siakan,” ulas Scha yang akan menemubual pasangan penyanyi Nora dan suaminya, komposer Johan Nawawi dalam program tersebut hari ini.

Program Sehati Sejiwa bersiaran secara langsung mulai pukul 3 petang ini di RTM1.

Menurut Scha, dia turut mengacarakan segmen Chopp di TV9 selama lima minit.

Selain itu, pelakon filem Histeria dan drama bersiri Awan Dania ini akan terlibat dengan pengambaran filem Evolusi KL Drift mulai bulan Februari depan.

“Saya memegang watak Alyya iaitu seorang peminat kereta lumba. Dari minat, saya belajar bermain kereta lumba. Jika nak tahu lebih lanjut, nantikan majlis pelancaran filem ini pada 22 Januari depan ya,” kata Scha mengakhiri perbualan.

Scha merupakan finalis Dewi Remaja 2006 dan perjalanan seninya bermula sekadar suka-suka.

Daripada suka-suka, ia bertukar menjadi minat dan seterusnya kini dia selesa untuk mengekalkan bidang ini sebagai sumber kewangannya.

Scha juga pernah bergelar seorang pramugari selama setahun kemudian beralih kepada bidang ‘modeling’ sehinggalah menyertai pertandingan Dewi Remaja dan memenangi pertandingan itu.

Scha mula dikenali menerusi drama bersiri Bella oleh TV3. Dia seterusnya menerima tawaran lakonan seperti filem Antoo Fighter, Histeria dan drama bersiri Awan Dania yang dijangka akan memasuki musim kedua nanti.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan