Maut filem dakwah, papar babak dalam neraka

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Antara babak menarik dalam filem Maut adalah babak dalam neraka.
Antara babak menarik dalam filem Maut adalah babak dalam neraka.

DI SAATberhadapan dengan ajal apakah yang mampu kita lakukan? Lebih menakutkan apabila dosa-dosa silam mula menghantui kita, persoalan tersebut menjadi intipati cerita yang dikupas dalam filem Maut, karya terbaru pengarah berkaliber, Bade Hj Azmi.

Setiap insan yang bernyawa pasti berhadapan dengan kematian, satu perkara yang diakui mana-mana penganut agama sekalipun. Cerita yang dimulakan dengan mengibaratkan kehidupan manusia umpama sepohon pokok.

Setiap kali daunnya jatuh, satu nyawa manusia akan diambil. Malaikat akan mengambil daun tersebut dan menjalankan tugas mengambil nyawa manusia, seperti yang tertera pada daun tersebut.

Masalah berkaitan dengan roh, menjadi intipati cerita yang digarap dalam filem bercorak ‘thriller’ karya pengarah yang terkenal dengan filem berat seperti Syaitan sebelum ini.

Mengetengahkan masalah sosial yang menyelebungi masyarakat bandar beragama Islam nyata Bade bijak mengeksploitasi teknik penggunaan kamera dengan baik dalam filem ini.

Antara persoalan yang difokuskan dalam filem ini adalah apakah balasan apabila seseorang Islam itu hidup bermandikan arak dan mempraktikkan pergaulan bebas serta tidak percayakan kesucian kitab suci Al-Quran?

Adakah balasan itu akan diterima ketika hayat masih dikandung badan dan bagaimana pula balasan sewaktu di alam barzakh mahupun akhirat?

Itulah persoalan yang cuba dipaparkan oleh Bade yang merupakan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia, filem Maut yang terperap selama 2 tahun ini.

Meskipun jauh berbeza daripada genre aksi, sebelum ini suami kepada pelakon Erma Fatima ini mempunyai pandangannya tersendiri.

Mengenangkan usianya yang semakin meningkat, pengarah berkaliber ini mahukan karya ciptaannya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Menurut Bade, ini filem pertama yang dihasilkan menjurus kepada soal keagamaan. Sebelum ini, kebanyakan naskhah yang diterbitkannya lebih kepada genre aksi untuk hiburan semata-mata.

"Sebenarnya, saya mahu menampilkan satu cerita yang berbeza. Sebab itu, saya memilih jalan cerita dengan konsep yang sarat dengan mesej untuk dijadikan renungan semua.

"Lagipun, memandangkan usia saya yang semakin meningkat, konsep keagamaan seperti yang dipaparkan dalam Maut turut menjadi peringatan buat diri saya.

"Sebab itu, saya mahukan penonton turut sama menerima mesej yang cuba disampaikan ini," jelasnya.

Meskipun hiburan dengan tayangan layar lebar tidak dapat dipisahkan, tidak bermakna ilmu, pengalaman dan pengajaran tidak dapat dipaparkan.

Sebelum inipun, pelbagai filem yang sarat dengan mesej ditayangkan. Begitupun, mungkin bagi Maut ia sedikit berbeza.

Tambah Bade, sekalipun pelbagai filem yang membawa mesej kepada penonton dipaparkan, Maut punya pengajaran yang tersendiri.

Dibintangi nama-nama terkenal dan popular ketika ini, Maut boleh disifatkan sebagai 'filem dakwah' Bade yang menjurus kepada hal-hal Islamik khususnya soal kepercayaan, manusia yang ingkar serta taubat.

Kata Bade, cabaran awal yang dihadapi apabila menghasilkan filem ini ialah apabila judul asalnya yang terpaksa ditukar daripada Malaikat Maut menjadi Maut.

"Ia ditukar atas nasihat pihak Lembaga Penapisan Filem selepas saya selesai menyiapkan filem ini. Saya memang telah bersedia menerima sebarang kemungkinan filem ini ditapis tidak kira daripada tajuk hingga ke syot-syotnyakerana banyak perkara sensitif tentang agama cuba saya sentuh.

"Saya hanya akur dengan nasihat yang diberikan oleh mereka yang arif kerana bimbang ia boleh menimbulkan persepsi menyimpang terhadap beberapa perkara seperti malaikatul maut dan bentuk siksaan kubur, neraka dan alam akhirat.

"Saya sebagai pengarah hanya mahu menyampaikan sebuah pengajaran, bukan sekadar filem seram dan ini adalah tafsiran saya sendiri terhadap balasan yang diterima oleh orang yang ingar dan gambaran itu datang dalam bentuk halusinasi dan dialami ketika manusia sedang koma dan nazak," jelasnya.

Tidak dinafikan filem ini mampu menimbulkan keinsafan di kalangan penonton kerana ketakutan terhadap dosa-dosa.

Ia dapat dirasai menerusi dialog dan babak mendebarkan terutama perlambangan malaikat yang datang menjemput manusia apabila tibanya ajal.

Filem ini menonjolkan 3 cerita pendek yang masing-masing berlaku daripada bulan Sya'ban, Ramadhan dan Syawal.

Setiap episod bermula dengan sehelai daun gugur dari sebatang pokok yang rimbun dan seterusnya memaparkan drama kehidupan 3 manusia iaitu Sue (Liyana), Farah (Sabrina Hassan) dan JJ (Que Haidar).

Babak dalam neraka

Antara babak menggerunkan ialah ketika Farah, seorang pramugari, bermimpi rambunya dijilat api 'neraka', memakan daging busuk , dipatuk ular yang sangat besar serta minum lahar panas menggelegak, gara-gara dia suka meneguk arak.

Biarpun menggunakan tenkik janaan komputer (CGI), babak ini mampu menghidupkan jalan cerita dalam filem ini.

Begitu juga babak kemalangan jalan raya membabitkan JJ (yang menidakkan kesahihan Al-Quran) dan rakan-rakan black metalnya berlaku dengan penuh ngeri dan azab.

Plot cerita yang perlahan

Namun lakonan Liyana Jasmay sebagai Su, pelajar universiti yang kebetulan dihantui roh seorang remaja yang mati dirogol, seakan-akan hambar.

Melihatkan plotnya, kisah itu mampu menjadi sesuatu yang menarik untuk ditonton. Entah mana silapnya, ia sedikit tawar. Watak digalas Liyana dalam cerita ini juga kurang menyerlah.

Masalah audio

Lebih membosankan apabila masalah audio yang tidak sekata bakal mematikan mood penonton.

Audio yang sekejap kuat dan sekejap perlahan dapat dirasai sebaik filem ini bermula, namun menurut Bade masalah tersebut terjadi akibat penyuntingan yang terpaksa di buat oleh mereka.

“Saya akui dan saya rasakan masalah audio yang saya hadapi dalam filem ini yanbg paling teruk sekali.

“Kami terpaksa akur dengan LPF, bila mereka meminta kami memotong syot-syot dalam babak tertentu menjadikan susunan audio agak kucar-kacir. Akhirnya kami terpaksa sesuaikan level audio tersebut dengan babak dalam filem ini,”ujar Bade dalam nada kecewa.

Lakonan mantap Que Haidar

Sekalipun sedikit kecewa dengan dua cerita pertama, watak Que Haidar sebagai Jamil atau JJ kembali mengembalikan `mood' penonton.

Kisah terakhir yang menceritakan mengenai sekumpulan remaja yang taksub dengan kepercayaan dan pemujaan black metal mencapai matlamatnya.

Jika penonton mencari keindahan sinematografi, Maut mungkin bukan pilihan terbaik. Teknik penggambarannya kurang menyerlah.

Begitupun, untuk percubaan pertama buat Bade beralih daripada genre aksi kepada drama dan `thriller', Maut tidak terlalu menghampakan.

Filem menarik taruhan Tayangan Unggul ini menampilkan Liyana Jasmay, Sabrina Hassan, Que Haidar, Diana Danielle, Emy Nadia, Eja, Hasnul Rahmat, Nana Era FM, Reza Era FM, Fouziah Gous, Sherry Ibrahim, Awal Ashaari, Danny X-Factor serta disokong Fauziah Nawi, Ridzuan Hashim dan Hamidah Wahab.

Filem terbaru karya Bade ini dijangka mendapat sambutan hangat daripada peminat-peminat filem tempatan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan filem Maut dipawagam-pawagam berdekatan mulai 15 Januari ini.

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan