Keluarga beri 'lampu hijau' hubungan Norman-Memey

Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Memey buat kemunculan pertama di kaca televisyen setelah dua bulan 'menghilang'
Memey buat kemunculan pertama di kaca televisyen setelah dua bulan 'menghilang'

[SEMASA] CUKUP 'hangat' keadaan di set program Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 siang tadi apabila pelakon muda yang cukup kontroversi ketika ini, Suhaiza Suhaimi atau mesra disapa Memey ini muncul buat pertama kalinya di kaca televisyen setelah lebih dua bulan 'bersembunyi' ekoran insiden ditangkap berkhalwat dengan aktor popular, Norman Hakim pada 30 Oktober lalu.

Ternyata, pelakon berusia 20 tahun ini cukup tenang saat ditemubual oleh dua hos program itu, Azura Azizul Azman dan Siti Hasfizza meskipun tidak terlepas menerima panggilan 'beracun' oleh seorang penonton.

Sesekali, riak wajahnya dilihat sedikit gelisah apatah lagi bila kehadiran wartawan di set tersebut turut melontarkan beberapa soalan 'panas'.

Namun begitu, satu demi satu soalan dijawab dengan cukup profesional bermula dari kes insiden tersebut sehinggalah status hubungannya dengan bekas suami aktres Abby Abadi itu.

Memey yang kelihatan anggun dengan baju kurung berwarna merah jambu itu meluahkan satu persatu isi hati yang tersimpan selama lebih kurang dua bulan mendiamkan diri.

Bagi pelakon kelahiran Kota Tinggi Johor ini, cukuplah tohmahan yang dilempar masyarakat terhadap dirinya ketika dia cuba berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes tersebut termasuklah gelaran 'perampas' dan 'pemusnah' rumahtangga orang dilabelkan kepada dirinya.

Ketika ditemubual mStar Online Ahad lalu, Memey berkali-kali memohon maaf kerana enggan berdepan dengan pihak media di awal kes tersebut. Bukan cuba melarikan diri, tetapi kata tuan empunya diri, dia terpaksa berbuat demikian untuk meredakan keadaan yang cukup 'hangat' pada ketika itu.

Dalam temubual terbabit, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Farah Syakirah ini turut meminta maaf secara terbuka kepada Abby atas insiden tangkap khalwat itu dan akui perasaan bersalah terbuku di dalam dirinya apabila melihat keruntuhan rumahtangga aktres itu dan Norman yang berkecai gara-gara kes tersebut.

Namun, menerusi laporan sebuah akhbar semalam, Abby enggan menerima kemaafan bintang muda itu dan menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Memey itu sekadar untuk meraih simpati masyarakat.

"Saya insan biasa. Saya sedar saya buat kesilapan. Sama ada maaf saya diterima atau tidak, itu terpulang kepada dia (Abby). Saya tahu, dia masih dalam keadaan marah. Jadi, saya terima jika dia tidak boleh maafkan saya.

"Malah, andai kata ada peluang untuk saya bergandingan dengan Abby di dalam mana-mana drama, saya tetap akan terima dan melihat tawaran itu dari sudut profesional.

"Mungkin dari situ, akan ada peluang untuk saya cuba berbaik dengannya dan selesaikan masalah yang berlaku ini," luah Memey menerusi program tersebut.

Kata anak ketiga daripada enam beradik ini, ketika rumahtangga pasangan itu sedang bergolak hebat berikutan kes tersebut, dia sendiri ada berbincang dengan Norman agar perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya dan Norman pernah bercakap tentang hal itu kerana saya tidak mahu jika mereka bercerai, lagi teruk orang akan buat tohmahan pada saya. Tetapi, itu adalah kehidupan mereka dan saya tidak mahu mencampuri hal itu.

"Saya hanya memberikan pandangan saya kepada Norman, tetapi apa yang terjadi antara mereka ketika ini ialah atas keputusan mereka sendiri," tutur Memey berikutan perceraian pasangan tersebut bulan lalu.

Gosip dirinya mempunyai hubungan dengan Norman sebenarnya telah tercetus sebelum mereka ditangkap berkhalwat lagi. Khabar angin hubungannya dengan aktor drama Gerak Khas itu mula bertiup awal tahun lalu apabila mereka dikatakan mula rapat setelah membintangi drama bersiri Pasrah.

Malah, mereka juga dikatakan sudah bernikah secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand, namun, kedua-duanya menafikan hal tersebut.

Berikutan itu, rumahtangga Norman dan Abby dikatakan bergolak apatah lagi Abby kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan tahun lalu.

Namun, aktor berusia 32 tahun itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya selepas Hari Raya Aidilfitri dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Namun, kes khalwat yang membabitkan Norman dan Memey telah mengeruhkan keadaan apabila Abby nekad untuk menuntut cerai daripada suaminya itu.

Ditanya apa yang akan dilakukannya jika dia sendiri berada di dalam situasi Abby, dalam nada tenang, Memey menjawab:

"Andai kata ditakdirkan satu hari nanti saya turut ditimpa nasib yang sama, sebagai insan biasa saya akan menerima. Mungkin nampak senang bila bercakap sedangkan bukan saya yang lalui sendiri, tetapi apa yang telah terjadi ini adalah satu pengajaran besar dalam hidup saya.

"Saya harap, pengajaran yang saya terima ini akan menjadikan saya seorang yang tenang andai kata nasib saya juga ditentukan seperti itu kelak.

Cuma, saya ingin tegaskan di sini, apa yang terjadi ini adalah di luar jangkaan saya," katanya.

Jelas Memey lagi, dia juga sedar perkara ini akan turut memberikan impak besar buat anak-anak Norman dan Memey, namun dia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan rasa kesal yang mendalam.

"Saya juga seorang perempuan, ada hati dan perasaan. Saya sedar, jika saya berada di tempat Abby, saya juga tidak mahu perkara sedemikian berlaku pada saya.

"Sebagai anak, sudah tentu saya juga tidak mahu keluarga saya pecah-belah. Tetapi, saya tidak pernah rancang untuk jadinya benda ini. Apa yang boleh saya katakan, saya sedar kesilapan saya dan saya hanya mampu memohon maaf," jelas Memey yang gagal menahan sebak.

Mengimbas kes insiden ditangkap khalwat di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang itu, kata Memey, apa yang terjadi pada malam itu sebenarnya cukup mendadak buat dirinya.

"Saya tak boleh fikir apa-apa ketika itu. Saya terkejut dan amat sedih sebenarnya. Bila serbuan dibuat, saya terus hubungi ibu dan ceritakan apa yang berlaku sebab saya tidak mahu keluarga mendapat berita ini daripada pihak lain terlebih dahulu.

"Mereka memang terkejut, tetapi setelah dijelaskan, mereka faham situasi sebenar. Saya juga ingin menafikan dakwaan ramai yang mengatakan saya sebenarnya telah menginap di pejabat Norman itu selama lapan bulan.

"Itu tidak benar. Saya sebenarnya tinggal dengan adik dan bapa saudara saya. Cuma saya kerap ke pejabat dia kerana membantu Norman melakukan kerja-kerja 'admin' apatah lagi ketika itu seorang pekerjanya sudah berhenti.

"Mungkin daripada situ, orang melihat saya seolah-olah tinggal terus di pejabat itu," kata Memey yang juga sehingga kini masih membantu Norman di syarikat aktor itu, MDH Trading & Services.

Untuk menjernihkan namanya, Memey sanggup memberikan kerjasama yang baik dengan pihak JAIS dan bersedia untuk menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 20 Januari depan untuk perbicaraan kes khalwatnya itu.

"Memang gementar untuk berdepan dengan kes itu, tetapi inilah yang perlu saya lalui. Apapun, saya sudah bersedia. Dan saya memang tidak sabar untuk selesaikan perkara ini dengan segera," tutur Memey.

"Hubungan saya dan Norman memang rapat"

Tatkala menyepikan diri selama dua bulan, selain sokongan padu keluarga, Memey akui Norman juga turut memberikan kata-kata semangat agar dirinya terus tabah menjalani kehidupannya.

"Sebagai orang baru di dalam bidang ini, saya memang terfikir untuk terus berdepan dengan pihak media pada awal kes ini untuk jelaskan hal yang sebenar.

"Tetapi, sebagai seorang lelaki yang matang, Norman memberikan 'points' dan menyarankan agar saya berdiam diri dulu," kata Memey.

Ditanya mengapa Norman yang menjadi lelaki "pilihannya", Memey sambil tersenyum berkata, dia sendiri tidak menyangka hubungan persahabatan yang terjalin itu bertambah rapat.

"Pada awalnya, saya dan Norman hanya sebagai rakan artis yang mana dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya yang masih baru dalam bidang ini. Tetapi hubungan kami semakin rapat atas dasar kerja.

"Saya akui, hubungan kami memang rapat. Terpulanglah kepada penilaian masyarakat. Dia seorang lelaki dan kawan yang baik. Saya nampak dia juga seorang yang prihatin dan bijak.

"Memang kami masih lagi berjumpa sekarang ini, tetapi tidaklah selalu," kata Memey yang menambah, dia masih belum pernah dibawa bertemu dengan anak-anak aktor tersebut.

Ditanya adakah keluarga tidak menghalang andai kata Norman melamarnya, Memey dalam nada ceria berkata, keluarganya tidak pernah menghalang dirinya untuk terus berkawan dengan Norman meskipun selepas berlakunya insiden itu.

Malah, khabar angin yang mengatakan Norman dan keluarganya pernah berkunjung ke rumah keluarga Memey di Johor baru-baru ini dan kelibat Memey yang dilihat turut berada di rumah keluarga Norman di Kuantan selepas itu juga tidak dinafikan oleh pelakon muda ini.

"Memang kunjungan ada dibuat, tetapi semua itu untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan menjelaskan perkara sebenar atas apa yang terjadi. Dan apa yang saya lihat, hubungan Norman dan keluarga saya memang baik.

"Begitu juga dengan keluarga Norman yang dapat menerima apa yang berlaku seadanya. Mereka tidak menyalahkan mana-mana pihak pun atas apa yang terjadi. Apa yang boleh saya katakan, kedua-dua keluarga berhubungan baik.

"Memang kalau sudah ditakdirkan jodoh dengan dia, saya tidak akan menolak. Tetapi soal kahwin tidak ada langsung dalam perancangan saya ketika ini. Saya sendiri tidak mampu meramalkan apa yang bakal terjadi kelak," kata Memey.

Harap tidak diboikot penerbit

Sebaik terjebak dengan kes khalwat itu, nasib Memey di dalam dunia lakonan dikatakan turut 'terjejas'. Meskipun Memey dilihat sebagai antara bintang baru yang cukup menyerlah, namun begitu episod hitam itu ternyata memberi 'kesan' negatif buat karier seninya.

Gara-gara kes tersebut, nama Memey pernah digugurkan daripada sebuah produksi dan digantikan dengan pelakon lain untuk sebuah drama. Namun begitu, kata Memey, dalam tempoh dua bulan mendiamkan diri, masih ada penerbit drama yang terus percaya akan bakatnya dan menawarkannya untuk membintangi drama-drama terbitan mereka.

Tetapi, Memey sendiri menolak semua tawaran tersebut untuk 'berehat' seketika memandangkan keadaan ketika itu cukup 'tegang'.

"Saya akui, saya 'tergelincir' dalam pendakian menuju ke puncak karier saya. Dan inilah masanya untuk saya kembali dengan impian saya selama ini. Saya harap masih ada peluang untuk saya terus mengukir nama dalam bidang ini dan tidak sampai ke tahap diboikot.

"Saya mempunyai matlamat sendiri dalam bidang ini. Saya harap, perkara ini dapat berakhir dengan baik dan kalau boleh, biarlah saya dikenali selepas ini kerana bakat saya," katanya yang bakal menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Skop Productions berjudul Roda-Roda Kuala Lumpur pada Februari ini.

Kembali berbaik dengan Darling

Umum sedia maklum bahawa karier seni Memey banyak dibantu oleh ibu saudaranya yang juga merupakan produser dan pelakon popular, Darling Ngasri.

Namun begitu, tidak lama dulu timbul cerita bahawa Memey seolah-olah 'besar diri' dan lupa akan jasa yang ditaburkan oleh Darling.

"Memang dulu saya ada masalah dengan dia. Tetapi rasanya tidak perlulah saya beritahu apa yang terjadi. Lagipun perkara itu sudah lama berlalu.

"Tetapi sebaik berlakunya insiden baru ini, saya ada berjumpa dengan Darling dan apa yang boleh saya katakan, hubungan saya dan dia kembali pulih.

"Cuma mungkin kami tidak serapat dulu kerana masing-masing perlu menguruskan karier sendiri," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan