Erema sedia bergelar janda pada usia muda

Diterbitkan: Selasa, 13 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Erema anggap penceraiannya dengan Seri Bayu kerana mereka sudah tiada jodoh. -foto NITA
Erema anggap penceraiannya dengan Seri Bayu kerana mereka sudah tiada jodoh. -foto NITA

JIKA ditanya kepada mana-mana wanita, tiada sesiapa pun yang ingin memegang status janda. Namun, bagi penyanyi Erema, dia sudah bersedia untuk menempa gelaran tersebut pada usia muda jika kehidupannya akan berubah lebih baik pada masa akan datang.

“Siapa yang nakkan rumah tangga bercerai-berai. Tetapi nampaknya jodoh saya hanya sampai setakat ini sahaja.

“Soal janda ni, saya nak buat bagaimana lagi. Jadi, saya kena terima juga. Saya rasa dah banyak perkara yang saya belajar sehingga dewasa kini.

“Saya sudah bersedia dari awal lagi untuk berhadapan dengan pelbagai anasir jahat dan orang yang membuat fitnah terhadap saya selepas ini kerana semua itu sudah saya lalui sebelum ini.

“Pada awalnya, memang saya tak larat untuk menerima semua tohmahan dan fitnah orang. Saya akui susah untuk hadapi setiap fitnah orang.

“Tetapi, sekarang saya dah faham dan latih diri supaya sentiasa bersabar,” jawab Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 26.

Keperitan yang dilalui dalam tempoh melalui proses penceraian ini memberikan suatu petanda yang suaminya, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 44, enggan menceraikannya.

Bagaimanapun, Erema tetap dengan pendiriannya yang nekad untuk memohon penceraian tersebut dan hanya berserah kepada keputusan pihak mahkamah kelak.

“Saya akui tempoh untuk menyelesaikan kes penceraian ini mengambil masa berbulan-bulan dan agak lama juga.

“Saya berharap supaya kes penceraian ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini kerana tidak mahu hal ini berlarutan sehingga semua perkara diketahui oleh orang ramai.

“Saya akan teruskan permohonan kes penceraian ini walaupun dia tak nak lepaskan. Saya berhak dilepaskan.

“Apa pun keputusan mahkamah, saya terima seadanya. Saya tetap akan teruskan hidup ini dan tak boleh terus kecewa.

“Alhamdulillah, sekarang kehidupan saya lebih baik dari segala-galanya. Saya juga merasai ketenangan.

“Yang penting, saya tahu batas sebagai isteri orang sebelum bergelar janda,” luah Erema ketika ditemui selepas perbicaraan kes tersebut di luar mahkamah, di sini, semalam.

Erema hadir di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya bersama rakannya, penyanyi Sharifah Azizah Syed Zain atau Rifa kira-kira pukul 9 pagi semalam manakala Seri Bayu gagal menghadirkan diri kerana masalah kesihatan.

Oleh itu, Hakim Syarie Ghazali Ahmad, semalam memutuskan untuk membawa kes penceraian Seri Bayu dan Erema pada 11 Mac depan, pukul 2 petang.

Terima mesej ugutan daripada Seri Bayu

Sehari sebelum kes penceraian penyanyi Erema dan suaminya, penulis lirik Seri Bayu dibicarakan, dia telah menerima mesej berbaur ugutan oleh suaminya itu semalam.

Menurut Erema, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) itu berkata: “Awak tengoklah esok (hari ini), siapa yang fitnah siapa.”

Minta cerai bukan kerana pengaruh

Jika dilihat dalam industri seni sekarang, pasangan ini merupakan antara pasangan selebriti yang mendapat liputan meluas mengenai kes penceraian mereka.

Bagaimanapun, Erema tidak menganggap kes cerai ini merupakan trend golongan artis yang mendirikan rumah tangga.

"Saya tidak bersetuju apabila mengatakan penceraian ini kerap kali berlaku di kalangan artis kerana semuanya bergantung kepada jodoh.

"Saya tak pernah terfikir pun sebelum ini yang hubungan kami akan berakhir dengan penceraian.

"Memang saya tak tahan lagi hidup dengannya sejak Hari Raya Pertama Aidilfitri lalu.

"Saya dah banyak bersabar. Saya tak boleh terima dia apabila dia memburuk-burukkan saya dan apa yang saya lakukan sudah tidak dihargai lagi," tegas Erema.

Tahu kesihatan suami melalui keluarga

Apabila ditanya sama ada dia mengetahui tentang keadaan dan kesihatan suaminya sebelum ini, Erema berkata dia ada mendengar berita tentang kesihatan suaminya itu melalui keluarganya.

“Keluarga saya ada memberitahu saya yang Abang Seri Bayu beransur sihat dan sudah boleh bergerak sedikit demi sedikit dengan sendiri. Alhamdulillah..,” kata Erema.

Erema menambah, kini dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya kerana suaminya dijaga oleh keluarga angkat.

Namun, Erema berkata kadangkala mereka ada juga berhubung melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Abang Seri Bayu ada juga menghantar SMS kepada saya seperti bertanya khabar dan ucapan Selamat Tahun Baru baru-baru ini.

“Saya juga menghantar mesej meminta dia lepaskan saya dengan cara yang baik kerana dia akan memfitnah saya yang bukan-bukan apabila terlalu sakit hati dan tertekan.

“Saya faham sangat dengan perangai dia tetapi tak boleh cakap apa-apa,” kata Erema yang masih bekerja sebagai penyanyi kelab.

Yang paling meninggalkan kesan terhadap Erema, apabila Seri Bayu berkata: “Jangan harap aku akan lepaskan kau.”

Erema memfailkan kes cerai tersebut pada awal bulan November tahun lalu. Seri Bayu bernikah dengan Erema, yang berasal dari Kuching Sarawak pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur.

Ia perkahwinan kedua buat Seri Bayu selepas bercerai dengan isteri pertamanya pada 2002. Hasil perkahwinan pertama, Seri Bayu dikurniakan lima anak berusia antara 7 hingga 15 tahun iaitu Muhamad Akmal, 13, Muhamad Aiman, 12, Muhamad Aizam , 9, Ally Farjana, 7, dan Muhamad Adham, 5.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan