Erema terima mesej berbaur ugutan oleh Seri Bayu

Diterbitkan: Isnin, 12 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

[SEMASA] PETALING JAYA: Sehari sebelum kes penceraian penyanyi Erema dan suaminya, penulis lirik Seri Bayu dibicarakan, dia telah menerima mesej berbaur ugutan oleh suaminya itu semalam.

Menurut Erema, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) itu berkata: “Awak tengoklah esok (hari ini), siapa yang fitnah siapa.”

Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 26, hadir di mahkamah bersama rakannya, penyanyi Sharifah Azizah Syed Zain atau Rifa kira-kira pukul 9 pagi tadi manakala Seri Bayu atau Jamaludin Sulik gagal menghadirkan diri kerana masalah kesihatan.

Walaupun penulis lirik berusia 44 tahun itu masih berdegil dan enggan melepaskan isterinya, Erema bagaimanapun nekad dan berharap agar kes penceraian mereka akan menemui titik noktah dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap supaya kes penceraian ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini kerana tidak mahu hal ini berlarutan sehingga semua perkara diketahui oleh orang ramai,” luah Erema ketika ditemui selepas perbicaraan kes tersebut di luar mahkamah, di sini, hari ini.

Namun, pihak Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini memutuskan untuk membawa kes penceraian Seri Bayu dan Erema pada 11 Mac depan, pukul 2 petang.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad membenarkan permohonan peguam syarie Halipah Abdul Manaf yang mewakili Erema untuk memasukkan penyata pindaan bagi memastikan tuntutan penceraian lengkap dan menguatkan tuntutan permohonan.

Sementara itu, peguam syarie Noorafizah Abdul Aziz yang mewakili Seri Bayu pula menyatakan beliau tidak mempunyai bantahan untuk plaintif (Erema) mengemukakan hujahan itu. Pihak mereka akan menyatakan penyataan pembelaan pada tarikh tersebut.

Apabila ditanya sama ada dia mengetahui tentang keadaan dan kesihatan suaminya sebelum ini, Erema berkata dia ada mendengar berita tentang kesihatan suaminya itu melalui keluarganya.

“Keluarga saya ada memberitahu saya yang Abang Seri Bayu beransur sihat dan sudah boleh bergerak sedikit demi sedikit dengan sendiri. Alhamdulillah..,” kata Erema.

Erema menambah, kini dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya kerana suaminya dijaga oleh keluarga angkat.

Namun, Erema berkata kadangkala mereka ada juga berhubung melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Abang Seri Bayu ada juga menghantar SMS kepada saya seperti bertanya khabar dan ucapan Selamat Tahun Baru baru-baru ini.

“Saya juga menghantar mesej meminta dia lepaskan saya dengan cara yang baik kerana dia akan memfitnah saya yang bukan-bukan apabila terlalu sakit hati dan tertekan.

“Saya faham sangat dengan perangai dia tetapi tak boleh cakap apa-apa,” kata Erema.

Erema memfailkan kes cerai tersebut pada awal bulan November tahun lalu. Seri Bayu bernikah dengan Erema, yang berasal dari Kuching Sarawak pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur.

Ia perkahwinan kedua buat Seri Bayu selepas bercerai dengan isteri pertamanya pada 2002. Hasil perkahwinan pertama, Seri Bayu dikurniakan lima anak berusia antara 7 hingga 15 tahun iaitu Muhamad Akmal, 13, Muhamad Aiman, 12, Muhamad Aizam , 9, Ally Farjana, 7, dan Muhamad Adham, 5.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan