Kemunculan 'istimewa' Ina Naim di resepsi Mawi-Ekin

Diterbitkan: Ahad, 11 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ina bersuami suami, Suhaimi dan anak mereka hadir memeriahkan majlis resepsi Mawi dan Ekin - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG
Ina bersuami suami, Suhaimi dan anak mereka hadir memeriahkan majlis resepsi Mawi dan Ekin - foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

SERI KEMBANGAN: Nordiana Md Naim atau Ina Naim mencuri perhatian ramai apabila muncul di majlis resepsi bekas tunangnya, Asmawi Ani atau Mawi, 27 dengan Nor'Ashikin Rahmat atau Ekin, 29, yang berlangsung meriah dengan konsep Timur Tengah, di Palace of the Golden Horses, di sini, malam tadi.

Menurut Ina yang hadir bersama suaminya, penyanyi nasyid Mohd. Suhaimi Saat dan anak sulungnya Ehmad Hadie El Fardie, 8 bulan, kehadirannya di majlis resepsi ketiga pasangan pengantin itu adalah sebagai memenuhi undangan dan melaksanakan janjinya yang pernah mengeluarkan kenyataan akan hadir ke majlis bersejarah mereka andai kata diundang oleh pasangan tersebut.

"Hari ini saya dan suami hadir sebagai tanda sokongan dan untuk meraikan kedua mempelai. Lagipun, orang dah jemput, tak eloklah kalau tak datang," kata Ina.

Sementara itu, Suhaimi pula berkata, dia mendoakan Mawi dan Ekin akan memperoleh kebahagiaan sehingga akhir hayat serta tabah menghadapi dugaan dan cabaran di hari mendatang.

"Saya doakan mereka bahagia dan dapat lahirkan anak-anak yang soleh dan solehah," kata Suhaimi yang juga bekas anggota kumpulan nasyid In-Team.

Selain pasangan ini, antara selebriti yang tidak melepaskan peluang meraikan majlis persandingan Raja SMS ini adalah pengarah terkenal Aziz M.Osman, Julie Dahlan, Jay Jay, Linda Jasmine, Que Haidar, Linda Onn dan Iqram Dinzly.

Tetamu-tetamu kenamaan yang turut menyerikan majlis adalah Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Al-Haj dan isteri, Pengerusi Measat Broadcast Network Systems, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan isteri serta Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan isteri.

Sesuai dengan gelaran ’Wedding of the Year’, pasangan merpati dua sejoli ini terus mencipta sejarah tersendiri di majlis resepsi ketiga mereka apabila kedua mempelai diarak dengan menaiki kereta kuda serta diiringi lima orang pengiring berkuda ke perkarangan hotel Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan pada majlis malam tadi.

Beberapa gimik turut disusun oleh pihak hotel sebagai kejutan antaranya acara menaiki bot cruise mengelilingi tasik sekitar hotel berkenaan turut berlangsung pada majlis persandingan Raja SMS ini.

Cukup terpukau sebaik sahaja melangkah masuk ke dewan persandingan apabila tetamu disajikan dengan pemandangan indah singgahsana kedua mempelai yang dihias dengan lampu-lampu menarik bagi memenuhi tema Arab yang dipilih.

Pelamin indah tersebut merupakan rekaan ’wedding planner’ Yamin yang telah menyatukan elemen kontemporari.

Tetamu kenamaan dan pihak media juga tidak melepaskan peluang mengabdikan kenangan bersama pasangan Raja Sehari, Mawi dan Ekin di singgahsana mereka.

Majlis resepsi yang menggabungkan konsep 1001 Malam ini diikuti dengan persembahan menghiburkan daripada artis-artis seperti Anita Sarawak, Yassin, Idayu, Heliza, Akma, Marsha, Amylea, Zahid, Riz dan Rabbani.

Ibaratnya, pada majlis persandingan yang bermula jam 8 malam tadi, Mawi umpama seorang pemerintah dari Tanah Arab.

Ekin dan Mawi tampil bergaya menyarungkan busana bercirikan Arab berwarna putih sedondon rekaan pereka terkenal Rizalman manakala bagi upacara memotong kek pula, Ekin kelihatan cukup jelita dengan menggayakan gaun berwarna merah hati rekaan pereka dari Indonesia, Yamin.

Difahamkan baju tersebut menggunakan fabrik Lace Marco Lagatolla Italian Beaded Swarosky dengan kombinasi Crepe Morrocan Italian Harvey beserta Satin Shamus Rivoli French Chiffon bernilai RM65,000.

Sementara Mawi tampil segak dengan memakai sut rekaan berwarna putih dari pereka terkenal Bon Zainal, denga kain jenis, Italian Linen Emernegzildo Zegna dan Dutches Satin Valentino yang bernilai RM15,000.

Majlis persandingan ketiga ini disusuli sebaik persandingan pertama di Johor Bahru pada 21 Disember dan majlis sambut menantu pada 28 Disember lalu.

Kira-kira 1500 tetamu VVIP dan rakan artis hadir pada majlis resepsi gilang-gemilang pasangan selebriti ini turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104).

Pasangan sama cantik sama padan yang telah bernikah pada 21 Disember lalu ini memilih untuk menghabiskan masa selama seminggu di Korea sebagai lokasi bulan madu mereka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan