Ziana akur bakat muda kuasai industri muzik

Diterbitkan: Jumaat, 9 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Ziana ingin tampilkan persembahan yang terbaik pada malam AJL23 nanti - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL
Ziana ingin tampilkan persembahan yang terbaik pada malam AJL23 nanti - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL

MENJADI penyanyi paling senior yang bakal berentap di pentas Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) pada 18 Januari ini di Stadium Putra Bukit Jalil sememangnya agak menggusarkan Ziana Zain yang akan mempertaruhkan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Azalea menerusi lagu Dingin.

Saat manis yang diperoleh Ziana ketika kemenangan lagu Menadah Gerimis pada tahun 2002 memang masih utuh di dalam ingatannya, namun itu tidak membuatkan ibu kepada dua orang cahaya mata ini meletakkan harapan yang tinggi pada AJL kali.

Enam tahun tidak beraksi di acara gilang-gemilang itu membuatkan Ziana hanya berserah kepada penjurian juri terhadap lagu yang dirasakan layak dinobatkan sebagai Juara Lagu tahun ini walaupun merasakan lagu ciptaan Azlan itu tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Dingin terpilih untuk bersaing bersama 13 buah lagu lagi yang dipertandingkan menerusi tiga buah kategori; Etnik Kreatif, Pop Rock dan Balada.

Tiga buah lagu daripada Etnik Kreatif, enam menerusi kategori Balada dan lima buah lagu di dalam kategori Pop Rock akan berentap bagi merangkul gelaran Juara Lagu Ke-23 sekaligus bakal meraih wang tunai sebanyak RM25,000.

Bagi kategori Etnik Kreatif, tiga buah lagu yang layak ke peringkat akhir AJL23 ialah Persoalan Cinta nyanyian Farawahida, ciptaan Julfekar dan lirik oleh Ku Seman dan Izza Rosley, Dusta Berkalang nyanyian Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) dan Doa Dalam Lagu nyanyian Mawi dan Heliza (Ajai/Loloq) yang mana Zahid akan menggantikan Mawi pada malam tersebut.

Bagi kategori Balada pula, selain Dingin, lagu yang layak ialah Bila Nak Saksi oleh Spider (Tam/Loloq), Hanya Di Mercu nyanyian Ayu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan), Cuba nyanyian Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir), Lagu Kita nyanyian Aizat (Aizat) dan Sampai Syurga oleh Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir).

Lima buah lagu yang dipertandingkan menerusi kategori Pop Rock pula ialah Kalis Rindu dendangan Elyana (Aidit Alfian/Ad Samad), Lagu Untukmu oleh Meet Uncle Hussein (Taja, Tass, Lan/Taja, Tass), Yang Pernah nyanyian Estranged (Estranged/Estranged), Aku Stacy nyanyian Stacy (Intan Norul Azlin/Intan Norul Azlin, Layla Ismail) dan Bukan Di Sini oleh Sofaz (Zimi, Ameer/One).

"Sejujurnya, saya lihat semua lagu ada kekuatan masing-masing. Sama juga dalam kategori Balada, setiap lagu yang dipertandingkan ini cukup berbeza, tidak macam era saya ketika beraksi di Juara Lagu dulu.

"Jika dulu, kalau lagu yang bertanding dalam kategori Balada sebagai contoh, pastinya lagu-lagu itu kedengaran sama saja. Tetapi sekarang ini lagu-lagu amat 'colourful'.

"Cukup hebat sebenarnya bakat-bakat muda sekarang. Mereka boleh cipta pelbagai lagu dengan menarik sekali," kata Ziana yang ditemui pada sidang media dan cabutan nombor giliran persembahan AJL23, di Sri Pentas, baru-baru ini.

Kata Ziana, dia tidak melihat status sebagai penyanyi senior memberikan satu kelebihan buat dirinya. Malah, ketika lagu Dingin diumumkan terpilih ke AJL23 yang pada awalnya gagal mara ke peringkat akhir membuatkan penyanyi ini tergamam pada mulanya.

"Saya anggap ini adalah rezeki Azlan. Saya memang tidak sangka pada malam separuh akhir Pop Rock itu mereka buat pengumuman mengejut bahawa lagu ini terpilih juga ke peringkat akhir.

"Sejujurnya, lagu dan lirik Dingin memang menarik. Sebagai penyanyi, saya hanya sampaikannya sebaik mungkin. Lagipun, lagu ini cukup mencabar buat saya. Pernafasan kena bagus untuk menyanyikan lagu ini.

"Apapun, bagi saya, Azlan adalah komposer yang hebat. Dia sentiasa tampil dengan lagu yang mengikut trend semasa dan muzik yang 'fresh'. Begitu juga dengan Dingin yang saya rasakan susunan muziknya bagus," kata Ziana.

Ditanya tentang 'expectation' peminat yang pastinya tinggi terhadap penyanyi pujaan mereka ini, kata Ziana, dia sedar tentang hal tersebut dan akan cuba sebaik mungkin untuk berikan persembahan yang terbaik.

"Saya sedar, sejak tahun 1992 lagi apabila tibanya Juara Lagu, peminat sentiasa ingin lihat sama ada saya berjaya menyampaikan nada tinggi lagi atau tidak.

"Awal-awal lagi saya sudah tahu apa yang peminat ingin lihat dalam persembahan saya. Apa yang boleh saya katakan, saya akan cuba yang terbaik untuk komposer dan peminat. Saya tidak mahu paksa diri atau cuba tunjuk hebat.

"Mungkin dulu, saya akui memang takut jika gagal penuhi apa yang peminat mahukan. Tetapi kini saya harap peminat faham. Sebagai penyanyi, kita memang sentiasa ingin buat yang terbaik semampu mungkin, tetapi kita kena terima semua orang tidak boleh lari dari kesilapan," tutur Ziana yang akan tampil dengan album baru kemungkinan pada tahun ini juga.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan