Umie: Susah cari lelaki serasi!

Diterbitkan: Khamis, 8 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Umie selesa bersendirian tanpa lelaki bergelar kekasih.Foto The Star Oleh: AZMAN GHANI.
Umie selesa bersendirian tanpa lelaki bergelar kekasih.Foto The Star Oleh: AZMAN GHANI.

PADA usia 35 tahun, kebanyakan wanita sebaya dengannya selalunya sudah pun berkeluarga. Dengan perkataan lain, mereka sudah pun mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak. Namun, pelakon terkenal, Umie Aida bagaikan selesa untuk terus hidup sendirian.

Meskipun begitu, bukan Umie secara praktikal hidup berseorangan. Di sisinya, sentiasa ada dua anak angkat lelaki yang sudah meningkat remaja.

Mohd Daniel Firdaus kini menjangkau usia 15 tahun, manakala Mohd Zulhelmi pula setahun lebih muda daripada abangnya.

Lalu, dari satu sudut, hidup Umie bagaikan sudah lengkap, walaupun pada sudut yang lain masih belum juga terisi ruang hatinya.

Dia tidak mengeluh, malah jauh sekali menyesali kehidupannya yang begini.

Bahkan Umie bersyukur, kerana bukan saja dia dianugerahkan dengan dua anak angkat yang cukup bermakna, sebaliknya dia mengaku amat bahagia di sisi ibu bapa, adik-beradik, keluarga, serta orang tersayang.

Orang tersayang? Umie dengan pantas menjelaskan, rakan-rakan dan sahabat handai yang mencurahkan kasih sayang kepadanya tidak syak lagi berada dalam kategori 'orang tersayang', seperti dimaksudkan olehnya.

Bagi adik kepada pengarah tersohor Erma Fatima ini, tidak terlintas difikirannya untuk bersendirian namun pintu hatinya seakan tertutup buat lelaki.

"Siapa tak nak berkahwin, lebih-lebih lagi bila usia kita dah meningkat. Bukan saya tak pernah usaha mungkin kami tak serasi," ujarnya memulakan bicara.

Tambah pelakon drama seram, Kekasihku Seru ini bukan tidak ada lelaki yang cuba mendekatinya namun pintu hati sudah tertutup buat cinta sementara waktu ini.

"Jujur Umie cakap pintu hati Umie tertutup sementara buat lelaki mungkin sebab Umie dah bosan dengan kerenah lelaki," kata Umie yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-36 pada 18 Januari ini.

Namun bagi pemilik sebenar, Umi Kalsum Rahmad Ali ini dia sentiasa berdoa pintu hatinya dibuka semula dan dia akan menemui jejaka yang sesuai untuk dirinya.

"Sekiranya ketentuan Tuhan mengatakan jodoh saya tetap ada, maka saya amat mensyukuri ketentuan itu. Jika sebaliknya pula, saya terima dengan hati terbuka kerana saya percaya, pasti ada hikmah tersembunyi di sebaliknya," kata Umie.

Sebelum ini Umie pernah dilanda kontroversi gara-gara hubungannya dengan pelakon kacak Hairie Othman namun dek badai yang melanda hubungan mereka retak dan Umie dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelakon serta penyanyi muda, Aqasha.

Tidak lama menyulam cinta dengan jejaka muda terbabit, hubungan kasih Umie dan Aqasha dikatakan putus disebabkan wujudnya orang ketiga di antara mereka.

Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idamannya, pelakon drama bersiri Haryati ini lebih suka bersederhana dalam hampir kesemua perkara.

"Saya lebih tertarik kepada personaliti seseorang lelaki. Rupa paras jatuh nombor dua atau nombor tiga. Bagi Umie yang penting dia boleh terima kerjaya Umie dan diri ini seadanya," kata pelakon filem Kala Malam Bulan Mengambang ini.

Bahagia bersama anak angkat

Lebih penting daripada itu, katanya lagi, dia amat bersyukur apabila dua anak angkatnya, Daniel dan Zulhelmi hadir ke dalam hidupnya ketika dia masih muda remaja.

"Mereka datang dalam hidup saya pada ketika orang lain masih bersuka ria. Sebenarnya, dua anak angkat inilah yang mengajar saya menjadi insan lebih bertanggungjawab, bukan saja pada diri sendiri, malah pada keluarga juga," kata pelakon yang popular dalam drama bersiri Rome and Juliet satu ketika dahulu.

Jika pada awalnya dulu, dia membesarkan dua anaknya di sisi ibu yang juga amat menyayangi kanak-kanak, kemudian Umie berpindah keluar untuk membina keluarganya sendiri apabila rezeki semakin menyebelahi diri.

Kini, dia boleh menarik nafas lega kerana rezeki anak-anak tetap ada dan dia sendiri masih kencang menerima tawaran berlakon, untuk terus bernafas dalam industri seni.

"Sekarang ini mereka dah dewasa, masing-masing sudah berdikari dan bijak dalam bidang pelajaran. Semua kerja mereka buat sendiri, gosok baju, basuh kasut.

"Dah dua tahun Umie tak ambil pembantu rumah, Umie yang masak untuk mereka setiap hari, Umie nak tengok mereka berjaya dan pandai berdikari sendiri sebab nanti senang bila Umie dah tak ada satu hari nanti," ujarnya sayu.

Kekasihku Seru bakal difilemkan

Ditanya mengenai perkembangan karier lakonannya yang seakan senyap lewat kebelakangan ini, Umie mengakui perkara tersebut.

"Memang betul, tak banyak drama Umie keluar kat TV. Umie akui sekarang ini Umie memilih sangat untuk terima tawaran berlakon. Bukan apa Umie akan terima watak yang betul-betul boleh meninggalkan kesan baru Umie ambil tawaran tersebut.

"Lagi pun Umie sibuk dengan perniagaan butik cafe yang dah beroperasi sejak lima bulan lalu. Jadi Umie akan terima tawaran berlakon jika ia tak bercanggah dengan masa Umie uruskan perniagaan," ujar Umie yang mengusahakan perniagaan butik cafe tersebut bersama adiknya, Betty.

Bercerita mengenai lakonannya di layar lebar Umie mengakui bakal membintangi sebuah filem pada bulan Mac depan. Menurut Umie, filem lakonannya itu merupakan adaptasi drama seram, Kekasihku Seru yang pernah ditayangkan di TV3 tahun lalu dan Umie bakal membawakan watak yang sama dalam filem tersebut.

Filem arahan Khabir Bhatia ini masih mengekalkan barisan pelakon yang sama sambil dibantu oleh beberapa watak tambahan yang lain.

Kecewa filem Dukun masih terperap

Pasti ramai peminat-peminat Umie tertunggu-tunggu kemunculan filem Dukun. Filem yang diadaptasi dari kisah pembunuhan ngeri yang pernah dilakukan oleh seorang bomoh wanita Mona Fendy sekitar tahun 1993 dahulu.

Dalam filem berkenaan, Umie membawakan watak Dukun yang sememangnya mencabar keupayaannya sebagai seorang pelakon.

"Umie akui kecewa sangat bila filem Dukun masih terperap. Bukan selalu boleh dapat watak yang bagus macam ini. Umie memang seronok bawa watak Dukun, rasa puas sangat berlakon watak itu.

"Namun Umie akui mungkin ada pro dan kontra nya filem itu masih tidak boleh ditayangkan, ada hati pihak-pihak tertentu yang perlu dijaga terutamanya keluarga mangsa (Mona Fendy).

"Mungkin juga ada baiknya filem ini tak dapat ditayangkan sebab mungkin ia boleh bawa kesan negatif kepada masyarakat siapa tahu?," ujar Umie yang pernah membintangi filem sejarah, Leftenan Adnan pada tahun 2002 lalu.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan