Perubahan besar PGLM3, bakal tampilkan elemen ilusi

Diterbitkan: Khamis, 8 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Antara 'tulang belakang' PGLM...(dari kiri) Ida Mariana, Tiara, Zahim dan Adlin - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Antara 'tulang belakang' PGLM...(dari kiri) Ida Mariana, Tiara, Zahim dan Adlin - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

SAMBUTAN luar biasa yang pernah diraih oleh Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kira-kira dua tahun lalu pastinya mampu berulang kembali dengan kemunculan musim ketiga teater muzikal ini yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 6 hingga 21 Februari depan.

Masakan tidak, berbulan-bulan tenaga kreatif PGLM yang antaranya terdiri daripada Datin Seri Tiara Jacquelina, Datuk Zahim Al-Bakri selaku pengarah, Adlin Aman Ramli (penulis skirp, lirik), Raja Malek (pereka set), Pat Ibrahim (pereka tari) dan Roslan Aziz (pengarah muzik) telah bertungkus-lumus mengadakan brainstorming bagi memastikan PGLM kali ini menampilkan sesuatu yang berbeza tanpa menjejaskan jalan ceritanya.

Beberapa kelainan yang disifatkan oleh Tiara sebagai "perubahan besar" akhirnya telah diterapkan di dalam PGLM kali ini bagi meningkatkan lagi "taraf" teater muzikal ini untuk memberi kepuasan kepada penonton yang bakal menyaksikannya kelak.

Antara pembaharuan yang bakal dibuat ialah penambahan set, rekaan pencahayaan yang baru, beberapa muzik serta susunan yang baru, kostum, penggunaan lebih banyak efek 3D serta persembahan yang lebih beremosi dan mendalam oleh pelakon-pelakonnya.

Begitu juga dengan garapan jalan ceritanya yang menampilkan sedikit perubahan, tetapi masih tidak lari dengan perjalanan cerita asal.

Namun begitu, PGLM kali ini pastinya lebih menarik apabila buat julung kalinya produksi teater tempatan akan menerapkan elemen ilusi atau silap mata untuk memantapkan lagi pementasan tersebut kelak.

"Elemen ilusi ini ialah pembaharuan ketara yang memang kami tidak sabar untuk dipertontonkan kepada khalayak kelak.

"Idea untuk buat elemen silap mata ini sebenarnya tercetus setelah saya, Zahim dan tenaga kreatif lain mengambil contoh teater-teater luar seperti Lord of the Rings, Zorro, Tarzan dan Wicked yang sudah pun menggunakan elemen seperti ini di dalam pementasan mereka.

"Kami akhirnya terfikir kenapa tidak kami lakukan perkara yang sama dan cuba mewujudkan kuasa sakti watak-watak dalam PGLM ini dengan menggunakan ilusi, memandangkan kita semua sedia maklum tentang kuasa sakti yang dimiliki oleh orang-orang dulu serta menerusi kisah legenda tertentu.

"Jadi, melihat kepada kesesuaian kisah Puteri Gunung Ledang yang juga mempunyai cerita yang mistikal, kami rasa elemen ini mampu menampakkan lagi pementasan kami ini lebih 'real'.

"Bagi saya, ini adalah perubahan terbesar yang akan berlaku di dalam PGLM. Kita akan letakkan elemen ilusi ini mengikut kesesuaian babak dan saya yakin, jika ia 'menjadi', ini akan menjadi satu perkara baru yang cukup mengagumkan buat produksi teater tempatan," ujar Tiara pada sidang media khas di Ampang, semalam.

Menurut Tiara yang juga terus memegang watak Gusti Putri atau Puteri Gunung Ledang ini, ketika ini, seorang pakar silap mata sedang melatih pelakon-pelakon untuk "menguasai" elemen itu.

"Pakar silap mata itu adalah antara yang terbaik di Asia. Setakat ini, hasilnya memang cukup mengagumkan. Bila saya melihat Ida Mariana yang membawakan watak Bayan mempamerkan ilusi itu ketika sesi latihan, saya memang amat teruja.

"Tetapi, pelakon-pelakon perlu mengambil langkah berhati-hati juga. Apapun, saya yakin dengan kemampuan pelakon-pelakon yang terbabit," tutur Tiara.

PGLM kali ini masih dibarisi oleh pelakon-pelakon seperti Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah, AC Mizal (Gusti Adipati), Adlin Aman Ramlie (Sultan Mahmud) dan Ida Mariana (Bayan).

Dalam pada itu, pengarah produksi Datuk Zahim Al-Bakri berkata, 'team' produksi PGLM ketika ini sedang giat membuat persiapan rapi dari segala aspek termasuklah sesi latihan yang semakin ligat dijalankan, sebelum mula memasuki Istana Budaya pada 21 Januari ini.

Beliau akui, elemen ilusi itu pastinya satu perkara yang cukup mencabar, namun itu tidak menjadi satu alasan untuk pihak produksi PGLM untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza.

"Saya akui, ia memang mencabar. Tetapi kami tahu elemen ini sesuai untuk dibuat di dalam PGLM apatah lagi kisah Puteri Gunung Ledang tidak lari dengan unsur fantasi serta mistikal.

"Tahun lalu, saya menonton teater Lord of the Rings di London dan pementasan itu penuh dengan ilusi yang mana saya lihat ia cukup menarik. Kebanyakan teater di sana sudah pun menggunakan kesan-kesan khas menerusi elemen ilusi," kata Zahim yang menambah, 50 peratus tiket sudah terjual.

Ditanya tentang perancangan menghasilkan teater muzikal baru, kata Tiara, dia sememangnya mengimpikan untuk berbuat demikian.

Namun begitu, tutur Tiara, penghasilan karya baru tidak semudah yang disangkakan dan perlu dibuat dengan penuh teliti.

"Bukan semua tema atau jalan cerita boleh dijadikan dalam bentuk muzikal. Malah, untuk PGLM sendiri, ia memakan masa setahun setengah untuk kami siapkan naskhah itu sebelum dipentaskan buat pertama kalinya dulu.

"Proses untuk buat karya baru ini perlu mengambil masa," katanya.

Bagi yang ingin menyaksikan PGLM, tiket-tiket berharga RM30 hingga RM230 boleh ditempah di laman web www.axcess.com.my atau dengan menghubungi talian 03-77115000.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan