Makyong 'Raja Besar Senyanya' khas untuk golongam aristokrat akan dipersembahkan di IB

Diterbitkan: Rabu, 7 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Teater Makyong 'Raja Besar Senyanya' bakal dipentaskan pada 9 Januari ini..
Teater Makyong 'Raja Besar Senyanya' bakal dipentaskan pada 9 Januari ini..

MAKYONG 'Raja Besar Senyanya', perkisahan anak Raja Gondang yang selalu dipersembahkan kepada golongan aristokrat akan dipentaskan selama tiga hari bermula hari Jumaat. Makyung adalah kesenian tradisional Malaysia ini telah diangkat menjadi warisan dunia dan dianggap sebagai 'Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity', merupakan pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi kategori seni budaya oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)pada 25 November 2005.

SINOPSIS RINGKAS

Raja Besar Senyanya bakal membawa kisah anak Raja Gondang yang terkenal dalam genre makyung dan seringkali dipersembahkan kepada golongan di-Raja serta aristokrat.

Persembahan ini berkisar kepada kisah Raja Besar Senyanya, ayahanda anak Raja Gondang yang kecewa apabila dikurniakan putera dengan rupa fizikal siput gondang.

Beliau yang marah dengan kejadian tersebut menghalau permaisurinya dengan tuduhan bahawa permaisurinya berlaku curang.

SINOPSIS

Cerita Raja Besar Senyanya merupakan kisah awal mengenai Cerita Anak Raja Gondang. Kisah bermula di Negeri Serendah Si pagar Ruyung di bawah pemerintahan Raja Besar Senyanya yang sedang menantikan kelahiran anak sulungnya hasil perkahwinan baginda dengan Puteri Gak Petera.

Sebagai persiapan sekiranya menimang seorang putera, maka baginda Raja Besar Senyanya telah keluar berburu ke hutan mencari Gajah Putih Gading Hitam. Semasa dalam perburuan Puteri Gak Petera telah bersalin, tetapi melahirkan seekor Siput Gondang.

Setelah Raja Besar Senyanya sampai di Istana, baginda terkejut dan amat murka kerana melihatkan anaknya bukan manusia, lalu menuduh Puteri Gak Petera ada hubungan sulit dan menghalau puteri tersebut keluar dari Istana.

Puteri Gak Petera bersama anak gondangnya membawa diri dan mendapat perlindungan dari Wak Pakil Jenang, seorang bekas pekerja Istana. Semasa menumpang di rumah Wak Pakil Jenang, beliau mengarahkan Wak Pakil Jenang menjaga anaknya ketika beliau keluar bekerja. Akhirnya apabila tiba saat dan ketika, siput gondang pun menetas dan keluar seorang putera dari gondang tersebut.

Apabila Puteri Gak Petera pulang beliau mendapati gondangnya kosong. Lalu berlakulah salah faham antara puteri dan Wak Pakil Jenang. Anak Raja Gondang menceritakan hal yang sebenar kepada bondanya iaitu Puteri Gak Petera. Anak Raja Gondang meminta izin untuk keluar bermain bersama-sama dengan anak-anak Mak Inang. Maka bermulalah pengembaraan Anak Raja Gondang mencari ayahandanya.

Barisan pelakon terdiri daripada Rosnan Abdul rahman (RAJA BESAR SENYANYA), Shariah Ahmad (PUTERI GAK PETERA), Samsuraya Sulaiman (ANAK RAJA GONDANG), Romli Abdullah (PERAN TUA), Muhammad Bin Md Noor (PERAN MUDA) dan Barat Anak Enchan (WAK PAKIR JENANG).

ROSNAN ABDUL RAHMAN Raja Besar Senyanya

Berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Senibina, Universiti Sains Malaysia . Beliau berasal dari Pokok Sena, Kedah. Minat yang mendalam dalam bidang seni persembahan menyebabkan Rosnan terpaksa melupakan terus cita-citanya untuk bergelar seorang arkitek.

Pernah menjadi artis budaya sambilan Badan Kesenian Negeri Kedah dan telah membawa beliau menjelajah beberapa buah negara mengadakan persembahan untuk festival-festival kesenian di luar negara.

Bertugas sebagai Penolong Pengarah Produksi di Istana Budaya mendedahkan Rosnan dengan pengalaman menguruskan produksi untuk persembahan teater dari luar negara bertaraf antarabngsa, antaranya ialah FAME The Musical, Sound Of Music, Cats dan Saturday Night Fever.

Beliau turut terlibat dalam beberapa produksi teater dan tari tempatan, antaranya Makyung Endeng Tajeli (2007& 2008)Monodrama Rebab Berbisik anjuran Dewan Bahasa & Pustaka (2007 & 2008), Teater Patung Kertas arahan Lokman Ghani (2008), Makyung Dewa Indera Indera Dewa (2006), Konsert Melayu Asli (2006), Muzikal Suzana@60 (2006) arahan Lokman Ghani, Muzikal Puteri Hang Li Po (2004 & 2005) arahan Rosminah Tahir, Bangsawan “Puteri Salasiah”(2002), Mak Yong Anak Raja Gondang(1998) dan Mak Yong Raja Bongsu Sakti (2000) arahan Prof. Dr. Mohamad Ghouse Nasarudin, As-Syura (1997) arahan Prof. Dr Samat Salleh, Teater Pintu (1995) arahan Hilmi Md Noh, teater Lari II (1996) arahan Roslee Mansor.

Mendalami makyung daripada beberapa tokoh makyung seperti Mak Su Yam, Che Mat Jusoh dan Fatimah Abdullah. Selain itu, beliau kini merupakan satu-satunya Pak Yung lelaki dalam seni persembahan teater tradisional makyung dan pernah mewakili Malaysia mengadakan persembahan makyung di New York, Amerika Syarikat (2007) dan Paris, Perancis (2008).

Beliau juga turut terlibat dalam Rakaman Cerita Makyung untuk Dokumentasi UNESCO di Pura Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu pada November 2007.

Kini, beliau juga menggalas tugas sebagai seorang pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

FATIMAH ABDULLAH PENASIHAT/PENGARAH

Merupakan adik ipar kepada Seniman Negara Allahyarhamah Khatijah Awang, beliau dilahirkan pada tahun 1959 dalam lingkungan kumpulan Makyung dan Bangsawan. Bapanya, Abdullah Awang merupakan pemain utama persembahan Makyung dan turut membantu pengkaji budaya Tan Sri Mubin Sheppard di dalam menyediakan Siri Kajian Cerita Makyung.

Pada tahun 1969, beliau turut terlibat di dalam penggambaran Makyung bagi kanak-kanak negeri Kelantan dalam cerita “Anak Raja Gondang” bersama kumpulan Mak Aji.

Mulai usia 10 tahun, beliau mula mengikuti persembahan Makyung termasuklah pada tahun 1972, beliau bersama kumpulan Sri Temenggung mengadakan persembahan di Istana Kota Lama dalam cerita “Raja Indera Dewa”.

Teater tradisional ini telah membawa beliau mengadakan persembahan di Istana Raja Thai, Bangkok, persembahan Di Raja di Istana Negara dan hampir ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Kebolehan beliau turut diakui apabila dilantik sebagai pengajar gerak tari Makyung bagi Kumpulan Kesenian DBKL, Kumpulan Seni Persembahan Petronas, Kumpulan Budaya Indera Wangi di bawah naungan Puan Mahani Maidin dan bersama Kumpulan Budaya Dewi Kasturi.

Selain daripada terlibat dalam pementasan Makyung, beliau turut dijemput untuk menjayakan persembahan dramatari “Siti Zubaidah” koreografi Suhaimi Magi dan “Dewa Muda” di bawah koreografi Ahmad Omar.

Pada tahun 1994 beliau terlibat di dalam rakaman lagu-lagu Makyung untuk UNESCO terbitan Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan dan beliau turut bekerjasama dengan ASK di dalam merakamkan lagu-lagu Makyung yang bakal diterbitkan dalam bentuk cakera padat.

Baru-baru ini beliau telah terlibat sebagai Pelakon dan mengarah dalam Program Rakaman Semula Cerita-Cerita Makyung Untuk Dokumentasi UNESCO di Pura Tanjung Sabtu, Manir, Kuala Terengganu.

Kini beliau dilantik sebagi tenaga pengajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) bagi kursus amali Makyung.

TEATER TRADISIONAL MAKYUNG

Pengenalan

Makyung berasal daripada perkataan Mak Hiang yang membawa maksud semangat padi. Ia merupakan persembahan dramatari tradisional Melayu Kelantan yang menggabungkan elemen seni tari, seni suara, lakon, lawak dan muzik.

Mengikut catatan awal Peter Florist, seorang pedagang Eropah pernah menyaksikan kesenian ini di istana Raja Perempuan Patani pada tahun 1613.

Di negeri Kelantan, kesenian ini ditemui di istana semasa pemerintahan Sultan Mahmud IV (1900 – 1920) dan kemudiannya Sultan Ismail. Teater tradisional ini seterusnya dihidupkan kembali oleh Tengku Zainal Ghaffar II yang dikenali sebagai Tengku Temenggong.

Pada tahun 1969, beberapa orang tokoh budaya dan pembesar di negeri Kelantan berusaha untuk mengekalkan warisan ini dan usaha itu telah terbukti apabila makyung masih bernafas hingga ke hari ini.

PERBENDAHARAAN CERITA

Cerita-cerita dalam makyung menjalani beberapa tahap perkembangan. Ia bermula dengan cerita asas iaitu Dewa Muda, yang menceritakan tentang asal usul makyung.

Berdasarkan cerita ini, ia berkembang menjadi tujuh dan kemudian dua belas cerita. Dua belas cerita yang dianggap lengkap, asli dan cukup nilai seninya adalah :- 1. Dewa Muda 2. Dewa Pencil 3. Dewa Sakti 4. Dewa Indera, Indera Dewa 5. Dewa Panah 6. Endeng Tejeli i) Anak Raja Gondang ii) Batak Raja Gondang iii) Bongsu Sakti 7. Gading Bertimang 8. Raja Tangkai Hati 9. Raja Muda Lakleng 10. Raja Muda Lembek 11. Raja Besar Dalam Negeri Ho Gading 12. Bentara Muda

WATAK CERITA DALAM MAKYUNG

Watak - watak penting dalam sesebuah cerita makyung :-

1. Pak Yung - Menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita makyung

2. Pak Yung Muda - Walak utama atau hero dalam cerita makyung. Watak inilah yang mengalami berbagai-bagai peristiwa dari saat ia dilahirkan hingga dewasa semasa cerita berkisar di sekitar kehidupan Pak Yung Muda.

3. Mak Yung - Juga permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.

4. Puteri Mak Yung - Sebagai heroin dalam cerita makyung

5. Peran - Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita makyung. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan raja. Lain-lain peran adalah watak kelakar.

6. Dayang-dayang - Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Mak Yung atau Puteri Mak Yung.

Selain daripada watak-watak yang tersebut di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik seperti di atas.

STRUKTUR MAKYUNG

Cerita makyung mempunyai struktur yang tersendiri. Bentuknya adalah sama dalam semua cerita Tang dimainkan.

Setiap cerita bermula dengan upacara mengadap rebab di mana watak utama akan menyanyi solo dan diikuti oleh korus. Pelakon-pelakon akan membuat gerak seni jari, bahu dan badan sambil menyanyi.

Akhimya mereka bangun secara perlahan dan berdiri tegak sebaik sahaja habis nyanyian solo. Mereka kemudian mengelilingi pentas dengan tarian perlahan dan salah seorang akan memulakan nyanyian solo. Nyanyian di sini adalah 'Sedayong Makyung'.

LAGU-LAGU DALAM MAKYUNG

Dikatakan ada tiga puluh buah lagu digunakan dalam persembahan teater makyung, bergantung kepada kesesuaian cerita:

MENGADAP REBAB

Lagu terpenting dimainkan sekali semasa permulaan persembahan, kecuali ada cerita makyung dalam cerita makyung keseluruhannya (play within play). Lagu ini merupakan simbol penghormatan kepada rebab dan semangat makyung.

KIJANG MAS

Lagu ini digunakan dalam beberapa keadaan, selalunya dimainkan sebagai lagu instrumental semasa selingan sebelum permulaan persembahan makyung.

SINDONG

Sama seperti lagu Kijang Mas, ia juga dinyanyikan oleh pakyung apabila mahu memberikan arahan kepada pengasuh atau jong dongdang. Selain itu ia juga dinyanyikan oleh pangasuh tua.

SEDAYONG

Banyak variasi lagu sedayong, Sedayong Pakyung dinyanyikan oleh pakyung, begitu juga dengan Sedayung Mak Yung oleh makyung, sedayung peran dan sedayung tonggek dinyanyikan oleh pengasuh. Lagu ini berfungsi sebagai lagu pendedahan untuk memaklumkan sesuatu kepada Peran atau penonton.

LAGU BARAT

Empat variasi lagu barat ialah Barat Anjur, Kisah Barat, Barat Cepat dan Gunung Barat.

Barat anjur selalunya dinyanyikan oleh watak-watak utama apabila mereka masuk kali pertama untuk memperkenalkan diri atau mengumumkan sesuatu kejadiaan seperti memanggil untuk berkumpul bagi penutup cerita, masuk semula ke pentas dan semasa dalam perjalanan.

Barat cepat sering dinyanyikan dalam makyung bagi menandakan pertukaran tempat atau penghabisan tiap-tiap adegan. Kisah barat dan gunung barat merupakan lagu pendedahan (expository pieces).

MENGULEK

Permaisuri atau Mak Yung menyanyikan lagu ini apabila bermain-main dengan inang-inang atau juga digunakan sebagai lagu untuk timang-timang anak atau juga semasa mengulek seseorang waktu tidur.

MENGAMBO

Ia dinyanyikan oleh Pak Yung, Mak Yung atau watak-watak utama dipertengahan cerita dalam adegan sedih apabila hendak meluahkan perasaan pilu.

LAGU-LAGU LAIN

1. Saudara 2. Pakyung Muda 3. Makyung Muda 4. Tok Wak 5. Lagu Pikir 6. Lagu Yur 7. Lagu Balik Padi 8. Lagu Khabar 9. Lagu Gading Timah 10. Lagu Kajol 11. Buluh Seruas 12. Lagu Jamba 13. Yo Peran 14. Lagu Anak Kumbang 15. Lagu Dayung Sampan 16. Mek Puyuh 17. Tari Inai (Ragam) 18. Kisah Puteri Makyung 19. Mengadap Raja 20. Sabar 21. Berlari Hambat Rusa (lagu berjalan)

MUZIK DALAM MAKYUNG

Muzik adalah aspek integral makyung; ia merupakan degup; ia menentukan kehidupan makyung, membentuk suasana dan menetapkan langkah dan tempo. Beberapa jenis alat muzik digunakan untuk mewujudkan muzik makyung ini. Bilangan alat muzik dalam ensemble makyung berbeza dari kumpulan ke kumpulan, tetap alat-alat muzik seperti berikut merupakan asas pementasan:

i. Rebab ii. Gendang ibu iii. Gendang anak iv. Sepasang tetawak (gong)

Namun sebilangan kumpulan telah menambahkan alat-alat muzik wayang kulit kelantan seperti serunai, sepasang geduk, sepasang gedombak, sepasang canang dan kesi. Alat-alat ini digunakan dalam adengan-adegan tertentu yang memerlukannya.

Tarikh Persembahan: 9 – 11 JANUARI 2009 Masa Persembahan: 8.30 di Lambang Sari, Istana Budaya. Tiket:RM10, RM20 & RM30 Tempahan/Maklumat lanjut, sila hubungi: BOX OFFICE, ISTANA BUDAYA, JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR Tel: 03-4026 5558 Laman Web: www.istanabudaya.gov.my Pembelian Tiket (Online): www.ticket2u.biz (Tel: 03-4149 8600

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan