Farah Asyikin tinggalkan kisah sedih 2008

Diterbitkan: Selasa, 6 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farah sibuk menyiapkan album keduanya yang dijangka akan siap sepenuhnya sekitar pertengahan tahun ini
Farah sibuk menyiapkan album keduanya yang dijangka akan siap sepenuhnya sekitar pertengahan tahun ini

TAHUN silih berganti, namun bagi pemilik nama Farah Asyikin ini, setiap tahun yang berlalu pastinya mempunyai cerita tersendiri buat dirinya. Begitu juga yang berlaku pada tahun 2008 yang dianggap Farah sebagai tahun yang penuh "dugaan dan rezeki".

Bagi penyanyi berusia 29 tahun ini, banyak yang telah dipelajarinya sepanjang tahun lalu.

Meskipun diri dihambat episod duka apabila mahligai perkahwinan yang dibina bersama bekas suami, Dr Fariz Yahya hanya mampu bertahan selama setahun, setelah pasangan tersebut bercerai sekitar Mei lepas, tetapi bagi Farah, dia tetap bersyukur kerana di sebalik perceraian itu, tetap ada sinar yang menerangi karier nyanyiannya.

Selain dinobatkan Artis Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2008, Farah turut dilantik sebagai duta jam tangan Roscani.

Single terbaru berjudul Hello yang menyusul kemudiannya juga mendapat sambutan yang baik daripada peminat muzik tempatan.

Lantaran itu, anak jati Kuala Lumpur ini nekad untuk meletakkan fokus sepenuhnya bagi memantapkan lagi karier seninya itu. Jika boleh, tutur Farah, dia ingin ketepikan hal-hal peribadi yang dianggapnya mampu mencalarkan usahanya untuk pergi lebih jauh di dalam bidang ini.

Menganggap kisah pahit yang berlaku dulu sebagai satu pengalaman untuk mematangkan dirinya, kata Farah semua itu sudah menjadi satu memori yang akan tersemat di dalam kamus hidupnya.

"Saya mahu lebih bersikap positif tahun ini. Tahun lalu, Tuhan bagi dugaan dan rezeki dalam hidup saya. Semua itu saya terima dan menganggap baik atau buruk sesuatu perkara itu, pasti ada hikmahnya.

"Saya ingin terus fokus kepada karier. Sejujurnya, saya berharap agar kali ini biarlah cerita tentang karier saya lebih diperkatakan, bukan tentang hal peribadi lagi.

"Apapun, saya tetap bersyukur dengan perjalanan seni saya sepanjang tahun lalu. Apa yang boleh saya katakan, anugerah yang diterima sewaktu APM dulu memang benar-benar melonjakkan lagi karier saya.

"Ia merupakan satu pencapaian awal dan menjadi pembakar semangat untuk saya buat yang lebih baik kelak," kata Farah yang ketika ini sibuk menyiapkan album keduanya.

Bercerita tentang pembikinan album terbarunya itu, kata Farah, jika mengikut perancangan, album tersebut sepatutnya siap sekitar bulan lalu, namun kerana terikat dengan komitmen lain, proses penghasilannya terpaksa memakan masa yang lebih.

"Saya tidak mahu terburu-buru siapkan album ini. Biar makan masa sikit, asalkan hasilnya nanti memuaskan hati. Lagipun, kami ingin cuba untuk tampil dengan sedikit kelainan dalam album ini dan pastinya perlukan lebih masa.

"Beberapa buah lagu sudah pun dirakamkan dan jika tiada sebarang masalah, mungkin sekitar pertengahan tahun ini album tersebut sudah boleh siap.

"Sementara menantikan album siap sepenuhnya, mungkin kami akan keluarkan dulu dua atau tiga buah single baru selepas Hello nanti," kata Farah yang bernaung di bawah label Satu Entertainment.

Tolak tawaran berlakon

Tatkala ligat memenuhi undangan persembahan, Farah juga tidak terkecuali 'diintai' oleh produser-produser drama dan filem untuk melamarnya membintangi produksi drama dan juga filem terbitan mereka.

Akui Farah, banyak juga tawaran berlakon yang singgah pada dirinya.

Meskipun terdetik untuk mencubanya, namun kata penyanyi ini, masa yang terbatas membuatkan dia terpaksa menolak dulu tawaran-tawaran tersebut.

"Sejujurnya, saya memang teringin untuk mencuba. Walaupun saya sendiri tidak tahu sejauhmana bakat saya di dalam bidang lakonan, tetapi setakat mencuba rasanya tidak menjadi masalah.

"Tetapi, nampaknya belum ada rezeki lagi memandangkan masa yang tidak mengizinkan. Insya-Allah, jika ada peluang lagi kelak dan kena pada masanya, saya berharap dapat mencuba," kata Farah.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan