Fazley International Trading luaskan empayar perniagaan secara online

Diterbitkan: Selasa, 23 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fazley bercita-cita ingin bergelar usahawan yang berjaya suatu hari nanti.
Fazley bercita-cita ingin bergelar usahawan yang berjaya suatu hari nanti.

JIKA anda peminat gajet bolehlah mendapatkan pelbagai jenis gajet terbaru seperti perisian komputer, telefon bimbit dalam bentuk jam, dan kamera ‘deli fish’ keluaran Fazley International Trading milik Dr. Ahmad Fadzli Yaakob di inQbox, Midvalley Megamall.

Jika tidak mahu membuang masa sebelum membeli gajet kesukaan, ada satu lagi pilihan dengan melayari www.fazleycollection.com.

Menurut penyanyi yang dikenali dengan nama Fazley ini, buat masa sekarang laman web tersebut masih dalam proses penyelenggaraan. Oleh itu, pengguna tidak dapat mengaksesnya.

"Pengguna boleh membeli gajet ini secara langsung di inQbox atau secara online. Bukan itu sahaja, selain menjual gajet, Fazley Collection turut menjual Fazley Handbag, Fazley Babies, Fazley Baraqah, Fazley Jewelleries dan Fazley Apparel.

"Yang istimewanya, Fazley Handbag turut menjual beg tangan yang diperbuat daripada kulit ikan talapia.

"Sementara Fazley Babies pula menjual barangan bayi yang diimport dari luar negara.

"Fazley Baraqah menjual produk keagamaan seperti kitab tafsir al-Quran yang unik, telekung sembahyang dan sejadah.

"Semua produk tersebut telah berada di pasaran. Saya janjikan produk yang terbaik dan berkualiti serta apa yang dijual itu adalah produk yang susah didapati di sini kerana semuanya diimport dari luar negara.

"Contohnya, kami menjual lampu ‘crown emoticon’ iaitu lampu belakang kereta yang unik di mana lampu tersebut akan berkomunikasi dengan kereta di belakang," ujar Fazley, 31.

Sudah namanya barang import, pasti harganya juga mahal setidak-tidaknya melebihi harga yang dijual di pasaran.

Namun, Fazley menangkis kenyataan tersebut kerana dia bukanlah seorang yang terlalu memikirkan keuntungan yang lebih dan menganggap harga barangan yang dijual berada pada tahap yang berpatutan.

"Setakat ini, kami menjual produk dengan harga yang berpatutan dan lebih murah daripada harga pasaran. Misalnya, barangan gajet dijual pada harga kurang daripada RM200.

"Sebelum saya membeli produk-produk itu, terlebih dahulu saya akan membuat survei harga agar pembeli rasa berbaloi.

"Bermula semalam, produk-produk Fazley Collection juga dijual secara langsung melalui kumpulan-kumpulan wanita.

"Perniagaan saya semakin lancar dan saya teruja untuk membuat bisnes secara online ini. Insya-Allah, kami juga dalam proses untuk menyediakan showroom untuk produk-produk tersebut.

"Bisnes ini sudah mula dijalankan sejak bulan puasa lalu tetapi sekarang kita baru aktif sedikit dengan mencipta logo produk serta mengemaskini maklumat produk baru di laman web Fazley Collection.

"Sesiapa yang berminat untuk membeli produk kami bolehlah membuat bayaran melalui pindahan wang melalui bank atau menggunakan kad kredit.

"Bagi kos penghantaran melibatkan pelanggan yang tinggal di luar dari Lembah Klang, kita akan cajkan kos kurier," terang Fazley yang kini sedang hits dengan lagu Superheromu di corong-corong radio tempatan.

'Pinjam’ isteri bantu perniagaan

Memandangkan isteri Fazley, Azrene Soraya Abdul Aziz, 27, baru selamat melahirkan putera sulung mereka, Ahmad Fariedz Syah kira-kira dua bulan lalu, kini dia ditugaskan untuk membantu Fazley menguruskan bisnes tersebut dari rumah.

"Sekarang ini, dia masih dalam pantang dan hanya menolong sedikit-sedikit sahaja mana yang patut. Saya tengok dia berminat untuk menceburi bisnes ini.

"Dalam masa lima tahun ini, isteri saya akan bekerja dari rumah. Dia akan menolong saya membuat bisnes ini sepenuh masa di rumah," beritahu Naib Presiden dan Pengarah Eksekutif Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain itu, Fazley juga memegang jawatan Pengarah Eksekutif Putrade International College dan Pengarah Urusan Seri Anjangsari Production Sdn Bhd.

Cerita bapa muda yang menggelar anaknya dengan nama timangan Payish yang juga menyamai nama timangannya yang berbunyi Pajee itu, Fazley akui setelah mempunyai cahaya mata, kehidupannya seolah-olah diberi sinar baru dan masih bermimpi dengan anugerah Tuhan itu.

"Saya rasa seperti masih bermimpi sebab saya memang mengimpikan untuk mempunyai anak. Saya bagaikan berada dalam keadaan percaya atau tidak percaya apabila anak sudah dilahirkan.

"Saya gembira dan seronok melihat anak membesar di depan mata. Sekarang, Payish sudah boleh tersenyum dan melihat-lihat orang apabila diagah.

"Apabila tengok muka Payish, mak saya kata dia mirip muka saya masa kecil. Kalau letak gambar saya masa kecil di sebelah mukanya, seolah-olah kami ni kembar.

"Sementara jari panjang dan kulit putih Payish mengikut ‘ibu wan’ dia,” tutur Fazley dalam nada gembira.

Kata Fazley, ibunya, Datin Umi Kalsum Abdol Latib membahasakan dirinya dengan gelaran ‘ibu wan’ yang bermaksud nenek kepada Payish.

Tambah Fazley, Payish bukan sahaja cucu pertama kedua ibu dan bapanya malah juga merupakan cicit pertama nenek Fazley yang disapa ‘wan’ itu.

Album Superheromu di pasaran pertengahan Januari depan

Fazley menjangkakan album terbarunya, Superheromu akan dipasarkan mulai pertengahan Januari depan.

Album terbitan Fipro (Fazley International Production) ini akan diedarkan syarikat Maestro.

"Album Superheromu akan menemui peminat mulai pertengahan bulan depan memandangkan sebuah lagu lagi belum siap.

"Sekarang, lagu Superheromu ciptaan Ajai dan lirik oleh saya sendiri merupakan single terbaru yang saya pertaruhkan di corong-corong radio sekarang.

"Saya ingat, saya mahu ‘push’ single dahulu sebelum album. Jadi, kemungkinan dalam beberapa minggu lagi, saya akan terlibat dalam pengambaran klip video lagu Superheromu yang bakal diarahkan oleh pengarah komersial, Nizam.

"Kalau dulu saya gunakan tajuk album H.U.J.A.N tetapi kali ini kita tukar kepada tajuk Superheromu sebab setelah didengar dan teliti lagu-lagu di dalam album ini, kami merasakan lagu Superheromu lebih sesuai dan ‘catchy’ untuk menarik peminat membeli album ini.

"Saya anggap lagu H.U.J.A.N sebagai ‘filler’ sahaja. Selain itu, sembilan buah lagu lain yang turut dimuatkan di dalam album tersebut adalah Rindu Tak Tertanggung, November Itu, Indah Kernamu dan Permaisuri D’hati," ujar Fazley mengenai album keempat itu.

Sebelum ini, Fazley telah merakamkan tiga album solo iaitu Asmara Ini (2001), Cahaya Lebaran (2002) istimewa untuk Aidilfitri dan Cerita Asmara (2003).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan