Shafnie ditegur kerana pakaian tak sesuai, kes ditunda tahun depan

Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pakaian Shafnie ditegur oleh Hakim kerana dirasakan tidak sesuai.
Pakaian Shafnie ditegur oleh Hakim kerana dirasakan tidak sesuai.

[SEMASA] SHAH ALAM: Selepas gagal menghadirkan diri ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 21 Oktober lalu, hari ini pelakon dan pengacara AC Mizal sekali lagi gagal menghadiri prosiding kes tunggakan nafkah dua anak lelakinya sebanyak RM50,000.

Disebabkan ketidakhadiran AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, bersama peguam syarienya, Siti Aishah Din, Hakim Syarie Saarani Ismail menetapkan tarikh 13 Januari 2009 untuk mendengar keputusan berkenaan notis bantahan awal terhadap permohonan bekas isterinya, Shafnie Zainudin, 33, agar satu perintah komital dikeluarkan menghantar responden ke penjara berhubung kegagalannya menjelaskan nafkah.

Dalam prosiding pagi ini, hanya kelibat Shafnie dan peguam syarienya, Azmi Mohd. Rais yang muncul di mahkamah.

Menurut Hakim Shaarani, prosiding hari ini sepatutnya mendengar hujah antara peguam yang mewakili kedua-dua belah pihak.

Namun, disebabkan peguam Siti Aishah tidak dapat hadir kerana sedang berada di Perlis atas urusan pertauliahan peguam syarie, maka Shaarani memutuskan supaya hujahan kes tersebut didengarkan pada tahun hadapan.

Kata Shaarani, Siti Aishah turut menghantar surat yang difakskan kepada mahkamah mengenai hujahannya untuk prosiding pada hari ini.

Bagaimanapun, peguam Azmi membantah tindakan Siti Aishah kerana Siti Aishah sepatutnya membentangkan hujahan tersebut di dalam mahkamah dan bukannya melalui surat.

"Tindakan Siti Aishah dikira tidak profesional. Namun, semuanya terpulang kepada Hakim untuk membuat keputusan pada hari ini atau menangguh kes ini.

"Jika kes ini ditangguhkan, saya meminta kos prosiding ini ditanggung oleh AC Mizal," ujar Azmi.

Sementara itu, Shaarani memberitahu beliau meminta Siti Aishah membentangkan hujah serentak dengan Azmi pada 13 Januari depan di mana hari tersebut juga mahkamah akan memperdengarkan keputusan berkenaan notis bantahan awal AC Mizal terhadap Shafnie.

Shaarani turut menegur cara berpakaian Shafnie yang tidak sesuai dengan peraturan memasuki mahkamah.

Shafnie memakai kemeja putih berbelang hitam bersama vest berseluar hitam yang agak ketat dan bertudung hitam.

Hasil perkahwinan pertama AC Mizal dan Shafnie, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Muhammad Shafiq Iman, 12 dan Muhammad Shabil Iman, 9.

Pasangan ini telah bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan