Dunia tinta Rina Khan!

Diterbitkan: Rabu, 17 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Hampir enam tahun Rina Khan tidak berlakon. -foto UTUSAN
Hampir enam tahun Rina Khan tidak berlakon. -foto UTUSAN

SUDAH lama kita tidak menonton lakonan terbaru Rina Khan, 38, kerana dia kini aktif menulis skrip drama dan telefilem termasuk mengarah telefilem.

Menurut Rina atau nama sebenarnya Sharifah Bibi Farina Sidek, masuk tahun depan bermakna sudah enam tahun dia meninggalkan dunia lakonan.

Lagipun, dia sebolehnya mahu menumpukan kepada bidang penulisan yang lebih diminatinya berbanding lakonan.

Kata Rina, hanya beberapa kali sahaja dia akan turun padang untuk berada di kerusi pengarah.

“Salah satu sebab saya tidak berlakon lagi kerana sibuk memfokuskan diri kepada bidang penulisan.

“Disebabkan semua masa saya diluangkan untuk menulis, jadi saya tidak mempunyai kesempatan untuk berlakon. Selain itu, saya sudah tidak minat berlakon sekarang.

“Pada mulanya dulu, memang saya minat berlakon tetapi lama-kelamaan minat tersebut beralih kepada bidang penulisan pula.

“Secara peribadi, lakonan memang memberikan kepuasan kepada saya tetapi impak yang diberikan tidak cukup. Jadi, saya lebih selesa menulis,” kata Rina yang merupakan penulis skrip dan lirik lagu tema drama bersiri Spa Q untuk dua musim berturut-turut.

Jelas Rina, dia mula menceburi bidang penulisan skrip sejak tahun 1996 selepas berjinak-jinak menulis novel remaja berjudul RM100,000 di mana dia telah menghasilkan skrip drama RM100,000 hasil adaptasi novel tersebut yang disiarkan oleh RTM.

Minatnya dalam bidang penulisan skrip dan novel saling menyaingi antara satu sama lain sehingga dia memutuskan untuk menyiapkan enam novel dalam setahun.

Kebanyakan novel tulisannya seperti Pelangi dan RM100,000 diterbitkan oleh Melati Publishers.

Sementara itu, antara skrip tulisan Rina pula adalah skrip telefilem Jatuh Cinta Sekali Lagi, Bujal, Wira Papaku, drama bersiri Simbiosis dan Bidadari Kota sebanyak 26 episod.

Drama pertama arahan Rina ialah Ilham Karmila. Lain-lain drama arahannya ialah Eksploitasi, Senafas Takbir Terakhir, Harga Sebuah Cinta serta Antara Gunung dan Lautan.

Telefilem terakhir arahannya berjudul Karmila lakonan Haliza Misbun disiarkan oleh Astro.

Ujar Rina, menulis dan mengarah lebih memberi kepuasan kepadanya untuk mendapatkan apa yang diingini melalui imaginasinya.

“Perasaan untuk mengarah itu rentetan daripada penulisan. Apabila saya sudah menulis, saya akan gambarkan dan seterusnya melihat ia divisualkan.

“Kerja sebegini kadangkala memberi cabaran, namun saya berasa puas hati dengan apa yang dilakukan,” luah Rina yang berani mencuba karier tersebut berbekalkan pengalaman dan sokongan rakan-rakannya dalam industri seni ini.

Falsafah Rina dalam ‘Pada CintaNya

Apabila bercerita tentang penulisan lirik pula, Rina yang pernah bergelar penyanyi dengan menghasilkan dua buah album sekitar pertengahan 1990-an, Rina Khan Vol. 1 dan Rina Khan Vol.2. ini mula minat menulis lirik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Setakat ini, saya sudah menulis lirik dua buah lagu untuk Alleycats muatkan dalam album mereka serta dua buah lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza iaitu Ku Mahu dan Pada CintaNya sebagai lagu tema drama Spa Q.

“Sebenarnya, saya jarang menulis lirik. Jika ada pun, saya hanya menulis lirik untuk beberapa orang kawan saya dan projek khas sahaja seperti saya mencipta lagu untuk dua musim drama Spa Q.

“Itu pun disebabkan saya menulis skrip untuk drama itu serta lebih menjiwai keseluruhan karektor dan cerita tersebut,” ujar wanita yang lebih gemar berimej rambut pendek.

Cerita anak sulung daripada enam beradik berasal dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur ini, lirik lagu Pada CintaNya merupakan refleksi kepada cerita Spa Q 2 yang menceritakan tentang Qistina (Norish Karman), seorang wanita dilanda dengan pelbagai masalah selepas kematian suaminya, Rizman.

“Saya fokuskan kepada karektor Qistina melalui lirik ‘walau dicerca, walau dihina’ yang membuatkan dirinya lebih kuat dan tabah menghadapi masalah tersebut.

“Namun, tidak semestinya lirik itu ditujukan kepada watak Qistina sahaja.

“Tajuk lagu tersebut telah menggambarkan tentang seseorang yang mencintai sesuatu. Tetapi sekerap mana kita jatuh cinta di dunia ini, akhirnya kita akan kembali kepadaNya,” kata ibu kepada Natasha Khan, 21, dan Alwi Elias, 14, ini.

Rina hampir penuhi semua karier seni

Selepas dia mendirikan rumahtangga dengan jurufoto dan penulis skrip Zaidi Ahmad, 34, kira-kira setahun lalu, suaminya banyak membantu Rina dalam penulisan skrip seperti drama Spa Q 2.

Jika diamati karier Rina sebagai penyanyi, penulis skrip, lirik dan novel, pengarah, pelakon dan pengacara TV, nampaknya dia sudah hampir melakukan semua perkara dalam bidang seni ini.

Sekitar tahun 90-an, Rina sudah melibatkan diri sebagai pengacara program hiburan, Pop Kuiz bersama pengacara popular Aznil Nawawi.

Selepas ini, Rina berkata dia sedang menyiapkan skrip untuk sebuah telefilem dan drama 40 episod yang turut akan diarahkan olehnya.

“Untuk telefilem itu, saya belum boleh berikan tajuknya tetapi untuk drama, ia bertajuk Pengantin Untuk Dijual.

“Saya cuba menulis lebih baik daripada drama Spa Q. Drama Pengantin Untuk Dijual mengisahkan tentang wanita, cinta dan perkahwinan,” ujar Rina.

Anak ikut jejak Rina

Anak sulungnya, Natasha kini turut berjinak-jinak dalam bidang lakonan selepas berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Seni Persembahan.

“Natasha memang meminati bidang lakonan sejak dia berusia 10 tahun. Jadi, waktu tu sebab nak tolong kawan, saya benarkan dia berlakon dalam drama 13 episod.

“Saya tengok dia ada bakat tetapi waktu tu saya tidak terlalu menggalakkan sebab takut dia tidak fokus kepada pelajaran.

“Saya nasihatkan dia supaya menamatkan pelajarannya dahulu sebelum menceburi bidang seni.

“Jadi, dia mendengar cakap saya. Apabila Natasha melanjutkan pengajian ke universiti, dia sendiri memilih jurusan Seni Persembahan disebabkan minat,” tutur Rina.

Selain muncul dalam drama Spa Q 2, Natasha juga pernah berlakon teater My Bollywood Summer.

Drama bersiri Spa Q 2 yang turut dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Fouziah Gous, Azizah Mahzan, Ifa Raziah dan ramai lagi mula disiarkan semalam, 15 Disember, pukul 6.30 petang di TV3.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan