Lagu segar rahsia Estranged kembali warnai AJL

Diterbitkan: Isnin, 15 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Estranged berjaya ke peringkat akhir AJL buat kali kedua. -foto TV3
Estranged berjaya ke peringkat akhir AJL buat kali kedua. -foto TV3

SEJAK kemunculan banyak band indie di dalam arena seni hiburan tanahair, semakin ramai yang berjaya memikat hati penggemar muzik termasuk penganjur program hiburan, Muzik-Muzik yang menerima penyertaan mereka dalam kategori Pop Rock.

Tahun lalu, Muzik-Muzik peringkat akhir atau Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) telah menobatkan lagu Itu Kamu nyanyian Estranged selaku Juara Lagu.

Kali ini, penyertaan band yang dianggotai oleh Rich, Andy, Din dan Hanafi itu sekali lagi mewarnai AJL23 dengan mempertaruhkan lagu Yang Pernah ciptaan sepenuhnya oleh mereka.

Yang pasti, kata pemain drum, Andy, formula untuk membuat lagu Yang Pernah berbeza dengan lagu yang pernah menjuarai AJL sebelum itu.

“Kami tidak menggunakan formula yang sama untuk membuat lagu Yang Pernah sebaliknya lagu Itu Kamu menggunakan formula yang berbeza.

“Setiap lagu yang kami buat, kami akan duduk berbincang di dalam studio bersama-sama,” katanya.

Dalam pada itu, Din pula menambah, tiada rahsia yang mereka gunakan untuk menghasilkan lagu berkualiti sehingga berjaya membuatkan lagu mereka sekali lagi layak ke peringkat akhir AJL23.

“Sebenarnya, kami tidak terlalu mempunyai rahsia untuk membuat sesebuah lagu itu. Sebaliknya, kami menghasilkan sesuatu lagu yang baru dan segar. Mungkin sebab itu juga pihak juri memilih kami,” ulas pemain gitar itu.

Selain Estranged, sebuah lagi band indie yang turut layak menyertai AJL23 bagi kategori Pop Rock adalah Meet Uncle Hussein yang mempertaruhkan Lagu Untukmu ciptaan Taja, Tass dan Lan manakala liriknya oleh Taja dan Tass.

Menurut band tersebut, mereka tidak menyangka lagu mereka boleh mendapat tempat di hati juri.

“Kami terkejut dan tak sangka dengan berita ini. Dengan kemasukan kami dalam pertandingan ini, kami harap ia turut memberi peluang kepada band lain untuk masa akan datang.

“Selain itu, diharap ia dapat memberi semangat kepada band lain untuk menghasilkan lagu yang berkualiti,” ujar mereka.

Dalam pada itu, band Sofaz yang menggantikan Shah dan Ella yang sepatutnya bertanding pada malam itu menganggap pencalonan mereka ke peringkat akhir sebagai rezeki.

Dengan kemasukan Sofaz yang mempertaruhkan lagu Bukan Di Sini, ini bermakna mereka juga sama seperti Estranged yang layak kali kedua dicalonkan ke peringkat akhir AJL23.

“Terima kasih kerana memilih Sofaz dan kami tak sangka boleh tercalon sekali lagi.

“Walaupun kami hanya pilihan kedua selepas Shah dan Ella menarik diri, kami tetap enjoy untuk bertanding. Jadi, kami membuat sesuatu yang terbaik walaupun Amir tidak sihat hari ini (Jumaat),” ujar Zimi.

Di samping tiga band yang bertanding, dua penyanyi wanita solo turut mewarnai kategori Pop Rock AJL23 yang bakal diadakan pada 18 Januari depan di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Kata Elyana, dia tidak menganggap wujud perbezaan antara penyanyi solo dan band yang terpilih ke pertandingan yang dihoskan oleh Cheryl Samad dan Faizal Ismail itu.

“Saya hanya menyampaikan lagu,” ulas Elyana ringkas.

Dalam persembahannya nyanyian lagu Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan liriknya oleh Ad Samad itu, Elyana tampil dengan kelainan apabila mengenakan kasut.

Dalam pada itu, penulis liriknya, Ad Samad yang kali keempat menyertai AJL berkata lagu Kalis Rindu mempunyai kemungkinan besar untuk dicalonkan kerana juri tidak akan memandang lirik lagu Mila Bila Cinta yang turut ditulis olehnya.

“Lirik lagu Kalis Rindu lebih sukar untuk difahami. Jadi, saya rasa orang lebih suka menilai lirik yang berbentuk ironi berbanding lirik yang biasa,” ujarnya yang akan membuat lirik yang ‘bombastic’ pada masa akan datang.

Sementara Stacy pula yang baru pertama kali bertanding selepas menjuarai Akademi Fantasia musim keenam (AF6) turut dicalonkan melalui lagu Aku Stacy ciptaan Intan Norul Azlin dan liriknya oleh Intan Norul Azlin dan Layla Ismail.

“Saya tidak percaya, betul ke saya dicalonkan kerana waktu menyanyi saya sangat gugup.

“Tetapi disebabkan ramai ahli Kelab Peminat saya yang datang, jadi ia sedikit sebanyak memberi semangat kepada saya,” ulas Stacy mengenai kejayaannya.

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan