Restoran jadi pengubat 'duka' Sharifah Zarina

Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Restoran Baso Sapi menjadi pengubat dukanya setelah kecewa dengan masalah penjualan album terbarunya tahun lalu.(Foto The Star Oleh: KAMAL SELLEHUDDIN
Restoran Baso Sapi menjadi pengubat dukanya setelah kecewa dengan masalah penjualan album terbarunya tahun lalu.(Foto The Star Oleh: KAMAL SELLEHUDDIN

PENYANYI yang melonjak namanya menerusi lagu Langit Ke Tujuh ini pernah melahirkan perasaan kecewa apabila album keduanya gagal dipasarkan setelah syarikat rakaman naungannya, Interglobal Music dikatakan mengalami masalah dalaman.

Menganggap tiada rezeki dan tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, kata Sharifah Zarina, perasaan sedih itu memang tidak dapat disangkal dalam dirinya ketika itu, apatah lagi ramai wartawan dan peminat juga telah mengetahui tentang penghasilan album tersebut yang sepatutnya sudah boleh dipasarkan sekitar akhir tahun lalu.

Tidak mahu tapak yang dibinanya di persada ini terkubur begitu saja, Zarina cuba menyusun strategi sendiri untuk memastikan karier nyanyiannya kembali melonjak seperti dulu.

Tatkala merancang agenda untuk 'memulihkan' semula kerjayanya itu, Zarina bersama suami tercinta, Buswani Abdillah, 30, pada masa yang sama turut membuka sebuah restoran berhampiran pusat beli-belah Sunway Pyramid, Subang sebagai 'back-up plan' untuk masa depan mereka.

Baso Sapi Asli yang bertempat di Plaza Mentari, Sunway merupakan sebuah restoran yang menyajikan menu istimewa Indonesia yang mana pada awalnya, restoran tersebut adalah milik seorang usahawan berbangsa Cina.

Namun begitu, Zarina dan suaminya mengambil alih restoran itu kerana ahli pernigaan tersebut perlu menguruskan 34 lagi rangkaian restoran itu di Indonesia, selain merupakan kenalan rapat pasangan ini.

Mengakui kewujudan restoran tersebut sedikit sebanyak dapat menghilangkan rasa 'bosan', kata Zarina, setiap hari dia sendiri akan berada di restoran tersebut adakalanya sehingga malam.

Zarina sendiri akan melakukan tugas-tugas seperti mengambil pesanan dan juga menjaga kaunter bayaran.

Malah, suaminya juga akan berada di restoran itu setelah habis waktu bekerja dan adakalanya dia juga akan turut bantu memasak.

"Sejak ada restoran, masa kami memang banyak dihabiskan di sini. At least, saya tidak lah terperap di rumah saja. Restoran ini sudah menjadi seperti rumah kedua kami. Suami saya juga biarpun belum pun habis penat bekerja di pejabat, dia akan tetap datang ke restoran selepas itu.

"Lagipun dia memang pandai memasak. Saya akui, dia lebih hebat memasak berbanding saya.

Kadang-kala di rumah, dia juga sering masak untuk kami sekeluarga," kata ibu kepada dua cahayamata, Athalia Deena, 5, dan Ariana Deena, 6 bulan.

Menariknya, baru saja sebulan setengah beroperasi, restoran itu juga telah mula mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Berbaloi pengorbanan pasangan ini melaburkan sejumlah wang yang banyak untuk restoran ini termasuklah hiasan dalaman restoran ini.

Menu-menu masakan Indonesia yang popular di restoran itu antara lain ialah baso sup asli, bakmi atau wantan mee, nasi lemak dan ayam penyet serta pisang panggang.

"Alhamdulillah, sambutan cukup baik buat permulaan ini. Harga juadah di sini juga cukup berpatutan. Kami juga bukan saja menyediakan masakan Indonesia, tetapi ada juga variasi makanan lain seperti masakan Cina.

"Insya-Allah, jika respon yang diterima semakin bagus, kami akan cuba lebarkan lagi bisnes ini dengan tambahkan cawangan baru pula," kata Zarina yang juga menambah dua lagi kakitangan restoran itu daripada tujuh pekerja yang sedia ada.

Bercerita tentang perkembangan karier seninya, kata Zarina, setelah 'kekecewaan' yang dilalui menerusi album keduanya dulu, dia tidak pernah rasa putus asa untuk meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi.

Berbekalkan semangatnya yang kental, penyanyi berusia 27 tahun ini kini sedang di dalam proses untuk menghasilkan lagu single terbarunya.

"Lagunya sudah ada. Ia merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Alim OAG dan berkonsepkan pop rock.

Kemungkinan besar lagu ini akan siap sekitar awal Januari depan. Jika lagu ini kelak mampu menaikkan semula nama saya, mungkin saya akan hasilkan pula album penuh.

"Lagipun, kali ini saya sendiri yang perlu biayai kos pembikinannya. Jadi, saya perlu lakukan dengan teliti. Buat masa ini, biarlah saya mempertaruhkan single saja terlebih dahulu.

Melainkan jika ada mana-mana pihak yang ingin menaja atau syarikat rakaman yang sudi untuk menerbitkan album saya," kata Zarina.

Namun begitu, meskipun sudah tiga tahun tidak tampil dengan album baru, kata Zarina, dia tetap bersyukur kerana sehingga hari ini, undangan menjayakan persembahan masih banyak diterimanya.

"Saya masih menerima banyak undangan yang membabitkan majlis-majlis korporat. Itu pun kerana kebanyakan penganjur tersebut adalah mereka yang pernah saya bekerja bersama sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya anggap itu adalah rezeki dari Allah," luah Zarina dalam nada ceria.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan