Album sulung hadiah Hari Jadi paling 'best' Dafi

Diterbitkan: Jumaat, 12 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dafi bergaya dalam sut hitam tajaan Lord's Tailor. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Dafi bergaya dalam sut hitam tajaan Lord's Tailor. -foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

TIADA hadiah yang paling bermakna buat penyanyi dan pelakon Gadaffi Datuk Ismail Sabri atau Dafi apabila tarikh album sulungnya berjudul Dafi dipasarkan, jatuh pada tarikh lahirnya, 14 Disember ini.

Berita tersebut disampaikan oleh anak muda berusia 20 tahun ini dalam nada gembira ketika ditemui di majlis ulangtahun ke-34 butik Lord’s Tailor di Bangsar, semalam.

“Album ini merupakan hadiah paling ‘mahal’ buat saya kerana hadiah ini didatangkan dengan produk sekali,” luahnya.

Beritahu Dafi, album yang memuatkan lapan buah lagu dari Malaysia manakala dua buah lagi dari Indonesia itu diterbitkan oleh KRU dan diedarkan oleh dua label iaitu Universal Music di Malaysia dan Sony BMG di Indonesia.

Antara lagu-lagu yang dijangka hits di pasaran adalah lagu Bila Terasa Rindu, Dua Hati Menjadi Satu (duet dengan Gita Gutawa), Adinda, Lemah, dan Di antara (ciptaan komposer Indonesia Badai Keris Patih).

Menurut Dafi, antara lagu-lagu tersebut juga telah dan akan menjadi lagu runut bunyi bagi filem-filem tempatan.

Lagu tersebut adalah lagu Dua Hati Menjadi Satu yang menjadi salah sebuah lagu runut bunyi filem Love, Lemah (Cicakman 2), Seumur Hidup (Notti).

“Selepas tiga buah lagu saya diputarkan di radio iaitu Bila Terasa Rindu, Dua Hati Menjadi Satu dan Adinda, kini lagu Lemah menjadi ‘single’ keempat yang saya pertaruhkan.

“Saya rasa tak sabar untuk menunggu album ini dipasarkan di sini mulai 14 Disember ini dan di Indonesia tidak lama lagi.

“Sementara saya menghabiskan cuti semester hingga bulan Februari depan, saya akan turun padang untuk mempromosikan album saya di sini dan jika sempat, saya nak ke Indonesia juga.

“Alhamdulillah, setakat ini maklumbalas yang saya terima daripada orang Indonesia sendiri dan selepas pulang dari Bali, Indonesia baru-baru ini, ada juga yang kenal dan tahu kewujudan saya.

“Tidak kurang juga yang mengenali saya sebagai ‘pacar’ (kekasih) Gita Gutawa.

“Peluang ini bukan mudah untuk saya dapat dan saya akan gunakan kesempatan yang diberikan ini untuk meluaskan pasaran album nanti, Insya-Allah,” cerita Dafi yang berpuas hati dengan konsep ‘cover’ album yang bergenre pop itu.

Jelas pelajar sepenuh masa jurusan Sound & Music di Universiti LimKokWing ini, pihak KRU bukan sengaja melambatkan proses penerbitan album yang mengambil masa hampir setahun itu.

“Mereka sudah buat yang terbaik tetapi sepanjang kami menyiapkan album tersebut, saya selalu mendapat peluang baru seperti ditawarkan sebagai duta produk aiskrim Wall’s Cornetto Love Sparks, dan berlakon filem Sayang You Can Dance.

“Selain itu, saya juga sibuk dengan kelas yang diadakan tiga hari setiap minggu dan pelbagai tugasan yang perlu disiapkan.

“Memang kadangkala pening kepala juga tetapi saya memang dah tanamkan dalam fikiran untuk berkorban masa dan tenaga untuk selaraskan antara karier dan pelajaran,” cerita Dafi yang turut ingin mengambil kelas vokal dan tarian selepas menamatkan pengajiannya pada masa akan datang.

Ujar Dafi, sebelum ini dia pernah mengikuti kelas vokal sewaktu berusia belasan tahun dan kemudian terpaksa menamatkan kelas tersebut kerana menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri ini sebolehnya akan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-citanya dalam bidang yang diminati iaitu nyanyian.

Selain menyanyi, Dafi sebenarnya mempunyai bakat dalam bidang tarian selepas menyertai kelas tarian dalam program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5).

“Sebelum ini, saya ada belajar tarian sikit-sikit. Tetapi selepas ini saya akan betul-betul serius dalam bidang tersebut.

“Setakat ini, saya ada juga menari di dalam filem Sayang, You Can Dance dengan memegang watak Daniel yang juga sepupu kepada Mia lakonan Sharifah Amani,” beritahu Dafi yang mengalami kesukaran ketika menari dalam filem tersebut walaupun tariannya nampak sempurna di mata kasar.

Filem Sayang, You Can Dance dijangka akan menemui penonton di pawagam mulai Mac 2009.

Selain itu, Dafi yang masih bergelar duta produk Wall’s sehingga tahun depan ini akan bergelar duta produk kecantikan pula dalam masa terdekat ini.

Kata pelakon iklan produk Ayam Brand’s ini lagi, nantikan juga kemunculan lakonannya dalam sebuah iklan produk bersama Sharifah Amani arahan Yasmin Ahmad.

Jadi juruterbang di majlis Hari Jadi

Bersempena Hari Lahirnya yang ke-20 pada Ahad ini, Kelab Peminat Dafi akan menganjurkan sebuah majlis Hari Lahir istimewa untuk Dafi dengan tema ‘Terbang Tinggi’.

“Majlis tersebut akan diadakan di Menara Kuala Lumpur dengan tema ‘Terbang Tinggi’ di mana semua orang akan menikmati suasana seperti di dalam kapal terbang.

“Saya akan menjadi juruterbang manakala ahli kelab tersebut ada yang menjadi pramugari dan pramugara,” akhiri Dafi yang telah mendapat hadiah berupa sut berwarna kelabu terlebih awal daripada pemilik Lord’s Tailor, Robert Loh.

Terima dua sut dari Lord’s Tailor

Semasa majlis anjuran Lord’s Tailor yang turut diadakan bersempena sambutan Hari Krismas itu, Dafi bergaya dengan sut berwarna hitam tajaan butik tersebut.

Dafi bukan sahaja dapat membawa pulang sut tersebut, malah dia juga mendapat sepasang lagi sut berfabrik sutera berwarna kelabu yang diberikan sempena hadiah Hari Lahirnya.

Selain Dafi, seramai 30 orang selebriti lelaki yang hadir seperti Rosyam Nor, Ashraf Muslim, Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Farid Kamil, Tony Eusoff, Shawal AF5, Fizow Omar.

Majlis tersebut turut mengundang Datuk Siti Nurhaliza, Mawi dan Diana Danielle yang diberi peluang menggayakan sut jenama Lord’s Tailor.

Dalam pada itu, Robert Loh berkata dia berhasrat meluaskan jenama tersebut mengikut standard antarabangsa.

Selain itu, Lord’s Tailor turut memperkenalkan konsep cordurey & velvet di mana semua pakaian yang dikeluarkan sesuai untuk generasi muda dan moden.

“Kami bukan sahaja mengeluarkan sut, malah turut menjual baju t rekaan anak lelaki saya yang berharga antara RM200 hingga RM500.

“Kebanyakan material untuk membuat pakaian kami didatangkan dari England dan Itali,” ulas Robert.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan