Wan Sharmila selesa berlakon bersama Amani

Diterbitkan: Rabu, 10 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wan Sharmila kini mula mengukir nama di persada seni
Wan Sharmila kini mula mengukir nama di persada seni

BINTANG ini muncul di persada seni tempatan tanpa disedari banyak pihak pada awalnya. Namun, Wan Sharmila berjaya mencuri perhatian ramai setelah muncul menerusi drama bersiri Kisah Kaisara musim pertama kira-kira setahun yang lalu.

Tiada siapa yang menyangka ketika itu, pelakon yang membawakan watak sebagai pelajar berusia 15 tahun di dalam drama tersebut sebenarnya sudah pun berumur 27 tahun dan memegang status isteri kepada penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom sejak dua tahun yang lalu.

Perlahan-lahan, Sharmila mula mengukir nama di dalam bidang ini setelah muncul pula menerusi drama bersiri Sindarela, musim terbaru Kisah Kaisara dan ketika ini, dia bersama pelakon-pelakon seperti Bront Palare dan Sharifah Amani boleh disaksikan di dalam drama Rona Roni Makaroni di Astro Ria.

Kesabaran Sharmila untuk bertapak di dalam bidang seni ini cukup berbaloi apabila pelakon yang berasal dari Johor Bahru ini dipilih sebagai pemenang Anugerah Shine Pantene pada Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) baru-baru ini.

Anugerah yang berdasarkan undian SMS penonton itu membuktikan Sharmila sudah berjaya menambat hati peminat meskipun ada pihak yang turut mempertikaikan kemenangannya pada malam itu dengan alasan finalis lain yang tercalon seperti Jue Aziz, Sherry Ibrahim dan Ayu Raudhah lebih popular dan layak berbanding dirinya.

Meskipun begitu, wanita cekal ini tidak pernah lemah dengan kritikan. Bagi Sharmila, anugerah itu sedikit-sebanyak telah menjadi pembakar semangat untuk dirinya lebih berusaha agar karier seninya dapat terus bertahan.

"Saya tidak mahu 'main-main' lagi dan nekad untuk lebih serius di dalam bidang ini. Bagi saya, selagi mampu saya akan terus menggunakan peluang yang ada dengan bijak.

"Alhamdulillah, saya semakin gembira dengan perjalanan seni saya. Tidak jauh bezanya sebelum dan selepas menang, cuma saya akui kini orang semakin mengenali saya...undangan untuk sesi fotografi juga semakin bertambah.

"Saya bersyukur juga kerana sekarang ini, tawaran berlakon yang saya terima tidak pernah putus. Penerbit-penerbit juga semakin percaya dengan bakat saya," ujar Sharmila yang ketika ini masih lagi di dalam proses penggambaran Rona Roni Makaroni.

Malah, status isteri yang dipegangnya itu juga tidak dilihat menjadi penghalang untuk dirinya memasang impian untuk lebih berjaya sebagai seorang pelakon.

Lantaran itu, kata Sharmila, sebagai langkah awal, dia tidak mahu terlalu memilih watak yang ditawarkan agar dapat mengutip pengalaman dan ilmu sebanyak mungkin.

"Saya masih baru dalam industri ini. Banyak lagi perkara yang saya kena belajar. Kalau ikutkan hati, memang teringin nak bawakan watak-watak yang lebih serius sebab ketika ini, saya hanya sering bawakan watak remaja dan budak sekolah.

"Mungkin juga kerana saya bermula dengan watak pelajar sekolah, jadi orang lebih nampak saya sesuai untuk watak tersebut. Tambahan pula dengan saiz fizikal saya ni, mungkin orang tidak berapa yakin untuk tawarkan saya watak-watak serius.

"Tetapi, saya tidak akan menolak andai kata saya menerima lagi tawaran untuk watak pelajar sekolah. Mengapa perlu ditolak rezeki, lagipun ini juga merupakan proses pembelajaran kepada saya," katanya yang juga masih menantikan tawaran ke layar perak.

Bercerita tentang sedikit pengalaman lakonan yang dikutipnya selama ini, dalam nada ceria, Sharmila berkata, pengalaman bergandingan bersama Sharifah Amani sebanyak dua kali menerusi drama Sindarela dan Rona Roni Makaroni adalah cukup menarik buat dirinya.

"Pada mulanya sewaktu menjayakan Sindarela tidak lama dulu, saya cukup gementar bila mengetahui Amani adalah salah seorang pelakonnya. Maklumlah, dia bukan calang-calang pelakon.

"Lama-kelamaan, saya akui seronok dapat bergandingan dengan dia. Kami boleh serasi dan saya banyak belajar melaluinya. Saya kagum melihat lakonan dia yang bersahaja.

"Jadi, dua kali terlibat di dalam produksi yang sama, saya sudah semakin selesa dengan dia," kata Sharmila.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan