Tragedi Bukit Antarabangsa 'petanda' Sasha-Salyo kecundang?

Diterbitkan: Selasa, 9 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUNGKIN bukan nasib pasangan suami isteri ini, Sasha Saidin dan Salyo Priyanto Notosoemarsono (Salyo) untuk beraksi di pentas akhir program realiti Sehati Berdansa lebih kurang tiga minggu lagi apabila mereka diumumkan tersingkir daripada program tarian berbentuk kebajikan itu, Ahad lalu.

Ternyata minggu tersebut kurang 'bertuah' untuk pasangan ini apatah lagi sehari sebelum itu mereka juga turut ditimpa bencana apabila kawasan perumahan mereka di Bukit Antarabangsa terjejas akibat tanah runtuh yang meragut empat nyawa.

Meskipun kediaman mereka di Kyoto Garden terselamat, namun menurut Sasha dan Salyo, mereka sendiri khuatir sama ada dapat meneruskan perjuangan di Sehati Berdansa atau tidak memandangkan ketika itu, mereka sekeluarga terkandas di kawasan kediaman mereka kerana laluan yang terputus.

Pengalaman 'ngeri' yang dilalui oleh pasangan ini tidak menjadi penghalang untuk mereka terus beradu nasib di dalam program ini.

Walaupun gembira dapat menjayakan program 'Debaran Sehati Berdansa' Ahad lalu, ternyata tuah tetap gagal menyebelahi mereka setelah menerima markah keseluruhan terendah pada minggu ini berbanding tiga pasangan lain yang mana konsep pemarkahannya adalah 50 peratus daripada penilaian juri profesional manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian SMS penonton.

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala koreografer Ganesh K pula diundang selaku juri jemputan pada minggu yang bertemakan malam Bollywood itu.

Ditemui sejurus berakhirnya program tersebut, Sasha dan Salyo dalam nada ceria berkata, sejak dari awal lagi mereka sebenarnya sudah bersedia dengan penyingkiran.

"Format program ini memang ada penyingkiran, jadi sejak awal-awal lagi kami memang sedar kemungkinan kami juga akan tersingkir. Lagipun, ini adalah program amal.

"Lebih baik mereka yang pandai menari dapat teruskan perjuangan mereka. At least, kami sudah cuba berikan yang terbaik sepanjang tujuh minggu berada di dalam program ini.

"Tidak ada guna untuk rasa kecewa atau sebagainya. Dapat bertahan sehingga ke minggu ini sudah cukup hebat buat kami berdua," ujar Sasha yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Elite ini.

Pasangan yang mewakili Persatuan Diabetes Malaysia ini berjaya mengumpul sebanyak RM7,000 untuk disumbangkan kepada badan kebajikan tersebut.

Sementara itu, bagi Salyo pula, perasaan sedih tetap wujud apatah lagi bila mengenangkan pengalaman belajar menari hasil bimbingan koreografer mereka, Shafirul Azmi Suhaimi yang banyak membantu mereka menguasai gerak tari mengikut tema tertentu saban minggu.

Jika berpeluang, tambah Salyo, dia dan isteri juga tidak mahu bantuan terhadap badan kebajikan tersebut terhenti di situ saja dan akan merancang bentuk bantuan lain yang boleh dilakukan mereka.

"Sepanjang latihan menari yang kami ikuti selama ini, setiap hari adalah cukup menyeronokkan. Sejujurnya, ia adalah pengalaman baru buat saya dan kami pastinya akan merindui saat-saat bekerja bersama dengan Shafirul yang tidak putus asa melatih kami berdansa.

"Begitu juga dengan badan kebajikan yang kami wakili. Kami berharap selepas ini kami dapat meneruskan lagi bantuan mungkin di dalam bentuk yang lain pula.

"Pada awal dulu, saya dan Sasha pernah merancang untuk membuat album khas bagi mengutip dana untuk badan ini. Memandangkan saya boleh mencipta lagu dan Sasha boleh menyanyi, jadi perancangan itu memang dilihat cukup bernas.

"Mungkin kita akan fikirkan dengan lebih mendalam tentang hal ini," kata Salyo yang merupakan seorang pemuzik.

Secara ringkasnya, Sehati Berdansa disertai oleh 10 pasangan selebriti yang mana mereka dibimbing oleh koreografer masing-masing dan pada setiap minggu, mereka akan diberikan tema tarian yang perlu dipersembahkan pada konsert mingguan iaitu pada 'Malam Sehati Berdansa'.

Menariknya program ini, setiap pasangan tersebut turut mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang mana pada setiap minggu, mereka akan menyumbang sebanyak RM1,000 selagi mereka masih kekal di dalam program ini.

Tiga pasangan yang masih kekal ialah Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia), Amyza Aznan dan Khairil (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia) serta Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam).

Dalam pada itu, bercerita tentang pengalaman mereka menghadapi kejadian tanah runtuh di kawasan kediaman mereka, kata Sasha, dia sama sekali tidak menyangka tragedi itu dialami sendiri oleh dirinya dan keluarga.

"Kami sedang tidur ketika kejadian dan kami terjaga apabila bekalan elektrik terputus. Bila saya lihat telefon bimbit saya, begitu banyak panggilan yang saya tidak sedar. Saudara saya hubungi kami dan suruh kami selamatkan diri.

"Jika tidak kerana Sehati Berdansa, kami mungkin masih lagi bersama ibu dan bapa saya di sana. Tetapi, dengan bantuan pihak penguatkuasa, saya dan Salyo turun dari kawasan tersebut dengan laluan alternatif untuk datang ke sini.

"Nasib baik juga adik saya tidak ada di rumah dan ketika kejadian dia baru tiba di Bukit Antarabangsa tetapi tidak dapat ke kawasan perumahan kami kerana jalan terputus. Jadi, ketika turun, saya dan Salyo tidak perlu berjalan jauh kerana kereta adik sudah menanti di tempat tersebut," kata Sasha yang terpaksa menginap di rumah abangnya ketika itu.

Lisda-Fauzi ada potensi muncul juara

Malam Bollywood yang menjadi tema minggu lalu berjaya mencuit hati penonton dan juri profesional. Keempat-empat pasangan mempamerkan persembahan menarik dan ada juga peserta menunjukkan tahap persembahan yang cemerlang.

Pujian diberi kepada pasangan pelakon Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang mempamerkan gerak tari Bollywood dengan cukup bertenaga. Malah, pasangan ini berjaya menerima markah tertinggi daripada juri dan turut berada di tangga teratas bagi peratusan markah keseluruhan.

Begitu juga dengan persembahan Khai dan Rosma yang dilihat konsisten saban minggu. Sasha dan Salyo juga memberikan persembahan menarik, cuma nasib tidak menyebelahi pasangan ini yang tersingkir kemudiannya.

Bagi pasangan Amyza dan Khairil pula, persembahan mereka dilihat agak menurun sejak beberapa minggu ini. Malah, jika minggu terdahulu Amyza dan Khairil sering berada di tangga teratas kedudukan markah, kali ini mereka dipintas oleh Lisda dan Fauzi.

Ternyata prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Lisda dan Fauzi setiap minggu telah membuatkan banyak pihak yang menjangkakan gelaran juara musim kedua Sehati Berdansa ini akan menjadi milik mereka.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Kolumnis

iklan

Iklan