Shahrazat dan Balqis di mata Betty Banafe

Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Shahrazat dan Balqis jadi penawar duka Betty - foto THE STAR oleh ART CHEN
Shahrazat dan Balqis jadi penawar duka Betty - foto THE STAR oleh ART CHEN

BESAR dugaan yang ditanggung, makin besar pahala yang diperolehi apabila kita memelihara anak orang asalkan niat tersebut datang dari hati yang ikhlas.

Kata orang, bukan mudah untuk memelihara anak yang bukan daripada darah daging sendiri lebih-lebih lagi anak yatim piatu.

Namun, hakikatnya aktres, model, pengacara dan penyanyi Betty Banafe berpendapat memelihara anak yatim piatu mungkin lebih mudah dari menjaga anak yang masih mempunyai ibu bapa.

Ini kerana, Betty atau nama sebenarnya Ibtisam Abu Bakar Banafe, 30, sedang menjaga dua orang anak perempuan bernama Shahrazat Fais, 2, Balqis, 4, yang diberikan oleh saudara terdekatnya.

Kata pelakon yang popular menerusi drama Spa Q ini, dia lebih merasa dugaan membela anak yang masih mempunyai ibu bapa kerana kesan disebaliknya akan membuatkan salah satu pihak tersinggung.

“Saya rasa kalau menjaga anak yatim piatu lagi mudah sebab kita tak perlu fikir tentang perasaan orang lain kerana mereka tidak mempunyai sesiapa yang berhak ke atas mereka.

“Tetapi apabila saya memelihara anak kepada saudara saya ini, kadangkala saya berasa bersalah juga kerana anak ini seakan boleh melupakan kedua ibu bapanya setelah terbiasa dengan saya.

“Namun, saya bukanlah seorang yang kejam kerana saya selalu juga membawa Shahrazat berjumpa dengan kedua ibu bapanya di Johor dan kadangkala keluarga dia ada juga datang.

“Bagi saya, tiada istilah anak itu merupakan milik saya seorang,” kata pemilik ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sebaran Am ini.

Tambah Betty, dia agak terkejut apabila Shahrazat seolah-olah tidak mengenali ibu dan bapa kandungnya apabila mereka berjumpa.

“Apabila Shahrazat tak kenal kedua ibu dan bapanya, saya tengok mereka nampak sedih.

“Tetapi mungkin dia jadi macam tu sebab kecil lagi tetapi saya percaya apabila besar nanti, dia akan cari kedua ibu bapanya juga,” tutur Betty yang tidak gemar menganggap Shahrazat seperti anak angkatnya tetapi dianggap sebagai anak sendiri dengan memanggilnya ‘baby’.

Jelas Betty, apabila melihat anak kecil itu, dia bagaikan melupakan segala kepenatan kerjanya dan rasa ‘sejuk’ apabila memandangnya.

Ranjau yang ditempuhinya dalam percintaan sebelum ini mungkin seolah-olah memberikan hikmah mengenai kemunculan orang baru dalam hidupnya itu.

“Lepas ini, saya hanya ingin fikirkan tentang masa depan diri-sendiri dan anak-anak ini. Tentang jodoh, tengoklah kalau sudah tiba masanya nanti saya akan berkahwin juga,” beritahu Betty.

Sesetengah orang mungkin memberikan tafsiran yang negatif apabila kita mengambil anak angkat kerana bimbang sekiranya kita akan berubah kasih sayang apabila sudah mempunyai anak sendiri.

Namun, Betty menjawab sebaliknya seolah-olah mahu semua orang membuka mata dan membuang tanggapan seperti itu.

“Anak-anak ini semua adalah amanah Allah tidak kira sama ada anak kita sendiri atau orang lain.

“Jika dirasakan kita boleh memberikan kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat, apa salahnya kita menumpang untuk membesarkan anak itu.

“Misalnya, jika anak perempuan itu sudah besar dan berkahwin, dia akan menjadi amanah suaminya pula.

“Tidak semua orang boleh membela anak orang lain kerana kita perlu mempunyai hati yang ikhlas dan penuh tanggungjawab kepada Tuhan serta beramanah dengan keluarga anak itu. Semua itu tidak mudah.

“Dia juga hamba Allah dan kita perlu sayang-menyayangi. Jadi, saya menumpang kasih kepadanya.

“Insya-Allah, dengan adanya budak ini dan niat kita baik, Allah akan memberikan kemudahan dalam hidup dan memperbanyakkan rezeki kita kerana setiap anak yang Allah berikan itu adalah rezeki,” jawab Betty dengan alasan yang kukuh tentang pernyataan tersebut.

Kata Betty, apa yang ada di dalam hidup ini berupa sementara. Baginya, dengan adanya anak yang comel dan cantik ini, dia lebih mewarnai lagi kehidupan Betty yang sudah lama membujang.

“Mungkin anak ini adalah hidayah daripada Allah dan dia akan membawa perubahan dalam hidup saya seperti menjadi seorang ibu yang lebih baik, tanpa disedari saya juga akan menjadi insan yang lebih sensitif dan bertanggungjawab serta berfikir ke arah masa hadapan.

“Anak ini menjadi inspirasi kepada setiap penjaga dan ibu bapanya. Ia bergantung kepada kita ibarat bagaimana kita mewarnai kain putih itu.

“Janganlah kita menganggap anak-anak ini sebagai ‘jahanam’ dan ‘masalah’ .

“Jangan katakan anak, walau ibu bapa kita sekalipun, kita perlu jaga mereka dengan penuh keihklasan kerana mereka merupakan seseorang yang Allah kirim.

“Melalui rezeki yang kita dapat, bukan untuk kita seorang tetapi untuk dikongsi bersama. Sebab itu juga kita perlu membayar zakat kerana semua rezeki yang kita dapat bukan untuk kita.

“Semua yang kita dapat itu bersifat sementara dan Allah sedang menguji kita,” jelasnya lagi.

Betty berkata, dia bersyukur kerana akhirnya Tuhan mengabulkan hasratnya untuk mengambil anak angkat di mana dia menerima Shahrazat semasa pulang beraya di Johor pada 1 Syawal lalu manakala Balqis pula baru sahaja tinggal bersamanya kira-kira sebulan lalu.

“Saya memang dah lama fikirkan dan menyuarakan isi hati saya untuk mempunyai anak tetapi itu semua bukan mudah serta ada yang tak percaya sama ada saya boleh menjaga anak itu atau tidak.

“Melalui keluarga terdekat ini, apabila saya buka mulut sahaja untuk mengambil anak tersebut, dengan mudah sahaja mereka izinkan.

“Jadi, saya rasa terkejut apabila mendengarnya kerana dengan mudah sahaja saya mendapat seorang anak dan dalam masa yang sama ia merupakan satu cabaran buat saya.

“Mereka minta saya berjanji untuk menjaga agama anaknya di dunia dan akhirat. Jadi, saya kata Insya-Allah.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan anak ini dengan adik-beradiknya yang lain serta kedua ibu bapanya.

“Namun, dalam masa yang sama, saya mahu anak ini tahu yang dia mempunyai dua orang ‘mummy’ dan seorang ‘daddy’,” akhiri Betty yang sedang menjalani pengambaran drama bersiri 26 episod Kisah Yusof untuk siaran TV3.

Di dalam drama tersebut, Betty berkata dia melakonkan watak seorang ibu yang bencikan anak angkatnya, Yusof.

Menurut Betty, cerita yang turut dilakonkan oleh Abby Abadi. Ashraf Muslim, Datuk Jalaluddin Hassan dan Yang Kasim itu diinspirasikan dari kisah Nabi Yusof.

Sebelum ini, Betty telah melakonkan lebih 20 buah drama antaranya ialah Kiranya Ku Tahu, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya, Aleya Maisarah, Nak Pulang Tak Pulang dan Nur Penyuluh Alam.

Selain itu, dia pernah membintangi filem Buai Laju-Laju, Haru-Biru dan 1957-Hati Malaya.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan