Penerbit dakwa Fauzi Nawawi pengarah tidak bertanggungjawab, Fauzi rasa teraniaya

Diterbitkan: Khamis, 4 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Raja Alawiyah mengadakan sidang media semalam mendakwa Fauzi tidak bertanggungjawab sebagai seorang pengarah - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Raja Alawiyah mengadakan sidang media semalam mendakwa Fauzi tidak bertanggungjawab sebagai seorang pengarah - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

MACAM-MACAM hal yang terjadi di dalam industri seni ketika ini. Tatkala arena ini dilanda pelbagai kes perceraian dan pergolakan rumahtangga artis, lain pula kisahnya diantara aktor Fauzi Nawawi dengan penerbit drama dan Pengarah Urusan Bright Network Sdn Bhd, Raja Alawiyah Idris.

Semalam, Raja mengadakan sidang media untuk mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab Fauzi selaku pengarah bagi drama 13 episod berjudul Gila, terbitan produksi tersebut.

Menurut Raja, pihak syarikatnya telah menahan sebahagian pembayaran baki untuk Fauzi sebanyak RM12,350 daripada jumlah keseluruhan RM24,700 setelah mendapati ada masalah dari segi mutu pengarahan drama tersebut.

Meskipun drama tersebut telah pun ditayangkan sebanyak 11 episod di RTM, penerbit drama terkenal itu berkata, dia amat tidak berpuas hati dengan kualiti kerja yang dilakukan oleh Fauzi dan lantaran itu enggan menjelaskan baki bayaran berdasarkan kontrak yang telah dibuat.

"Keseluruhan kualiti drama tersebut tidak memuaskan. Kami minta dia untuk buat semula penggambaran yang mana ada salah satu episod drama tersebut juga perlu dibuat semula dari awal.

"Saya terpaksa menanggung kerugian lebih RM45 ribu untuk penggambaran semula drama ini. Tapi, dia tidak mengaku kesilapan, malah dia tidak hadir pada 'reshoot' pertama yang kami buat pada 8 April lalu dan penolong pengarah yang terpaksa meneruskannya. Hanya pada 'reshoot' yang kedua baru dia hadir.

"Alasannya, dia mempunyai 'job' lain di Pulau Pinang. Sebagai pengarah, dia perlu bertanggungjawab. Saya tidak mahu RTM tolak drama tersebut, sebab itu saya sendiri yang 'reject' dulu drama asal yang tidak berkualiti itu dan arahkan dia melakukan penggambaran semula.

"Disebabkan itu juga produksi kami lewat menghantar drama itu ke RTM. Kami sepatutnya serahkan pada 4 Mei tetapi hanya pada 20 Mei barulah dapat dihantar ke RTM untuk ditayangkan.

"Saya sudah lama bekerjasama dengan RTM. Tapi, disebabkan kes ini reputasi saya pastinya sudah tercemar," kata Raja pada sidang media yang berlangsung di pejabatnya di Ampang, semalam.

Katanya, setelah bayaran baki itu ditahan, Fauzi tidak berpuas hati dan telah membuat laporan kepada Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) yang mana kemudiannya FDAM menghantar notis kepada produksi itu untuk membuat penjelasan.

"Kita telah menghantar tiga surat kepada FDAM berkaitan dengan hasil kerja Fauzi. Kami turut sertakan kualiti kerjayanya dengan menghantar CD drama asal tersebut sebelum kami 'reshoot'. Tetapi tiada sebarang respon yang kami terima daripada FDAM.

"Fauzi sendiri memang ada menghubungi kami dan pertikaikan tentang isu bayaran itu. Alasannya drama itu sudah pun disiarkan. Tetapi saya persoalkan tanggungjawabnya sebagai pengarah dan semua itu sudah termaktub di dalam kontrak syarikat dengannya.

"Dia pernah tanya, kenapa ketika penggambaran semula dibuat, dia tidak dimaklumkan bahawa pembayaran untuknya akan dipotong. Saya rasa saya tidak perlu maklumkan apa-apa kepadanya sebab semua itu sudah ada di dalam kontrak," ujar Raja.

Menurut Raja lagi, Fauzi pernah mengarah drama pertamanya dengan produksi ini tahun lalu iaitu Cucu Opah Nak Kahwin Lagi. Tetapi ketika itu, hasil kerjanya memuaskan dan Fauzi tidak mempunyai sebarang masalah lain.

"Ketika itu dia masih ok. Drama itu pula sebanyak 40 episod dan saya berpuas hati dengan kerjanya. Tetapi tidak tahulah kenapa kali ini lain jadinya, mungkin juga mengalami masalah luaran.

"Sewaktu proses suntingan drama dibuat, hanya dua tiga kali saja dia hadir. Sebagai pengarah, dia kena ada sewaktu suntingan dibuat untuk memantau perjalanan drama tersebut," katanya.

Isu tuntutan itu semakin 'hangat' apabila Fauzi sekali lagi menghantar surat menyatakan ketidakpuasan hati dengan penjelasan yang diberikan oleh produksi tersebut kepada FDAM.

Produksi itu menerima notis tuntutan bertarikh 21 Ogos menerusi firma guaman Tetuan HN Lim & Co yang mana firma guaman yang mewakili Fauzi itu telah membuat tuntutan terhadap bayaran baki berjumlah RM12,350 itu.

Namun begitu, timbul pula isu baru apabila pihak produksi yang diwakili peguam Fakhrul Azman menerima surat dari firma guaman mewakili HN Lim & Co pada 10 November menyatakan bahawa mereka tidak menerima notis tuntutan Fauzi itu dan Fauzi tidak pernah melantik firma itu untuk bertindak bagi pihaknya.

"Saya memang pelik bila peguam saya memberitahu saya hal itu sedangkan kami memang menerima notis tuntutan dengan 'letterhead' firma guaman ini. Atas nasihat peguam, saya membuat laporan polis di Ampang pada 25 November lalu supaya satu siasatan dibuat terhadap notis 'palsu' itu.

"Dalam hal ini saya tidak menyalahkan Fauzi atau pihak guaman ini. Sebab itu saya mahukan siasatan dibuat tentang notis tersebut.

"Perkara ini amat serius bagi syarikat kerana ia melibatkan nama baik syarikat kerana telah menerima notis tuntutan peguam sedangkan notis tersebut tidak dibuat oleh mana-mana peguam pun," kata Raja yang tidak pernah hubungi Fauzi selepas itu.

'Gila' yang memaparkan kisah menarik tentang kehidupan masyarakat yang gilakan nombor ekor, glamor, duit dan sebagainya disiarkan setiap Rabu di TV2 pada jam 9 malam.

"Saya difitnah dan dianiaya" - Fauzi

Berhubung perkara itu, Fauzi turut dihubungi bagi mendapatkan penjelasan sebenar tentang apa yang berlaku.

Dalam nada tenang, pelakon dan pengarah berusia 34 tahun itu akui ada mendapatkan khidmat seorang peguam daripada HN Lim untuk notis tuntutan bayaran itu menerusi seorang rakan.

"Saya tidak pernah berurusan secara terus dengan peguam itu, tetapi menerusi bantuan rakan, dia telah menolong saya untuk selesaikan kes ini.

"Hanya pada minggu lalu, baru saya mendapat tahu daripada rakan saya ini bahawa peguam tersebut tidak lagi bekerja di situ kerana mengalami masalah dalaman dan peguam itu pula tidak memperbaharui sijil amalan guamannya. Tetapi, dia memang merupakan seorang peguam.

"Setelah itu, saya mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam senior dan dia beritahu saya tidak perlu risau kerana yang perlu pertahankan diri ialah peguam itu sendiri, bukannya saya kerana saya hanyalah 'client'. Ia tiada kena-mengena dengan saya.

"Apa yang pasti, saya akan teruskan dengan tuntutan saya itu dan akan mencari peguam lain pula nanti," kata Fauzi.

Diminta mengulas tentang isu tuntutan bayaran itu, kata suami kepada aktres Lisdawati ini, dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana merasakan dirinya teraniaya dan difitnah.

"Dia (penerbit drama) menghantar surat kepada FDAM dan RTM dengan memfitnah saya. Macam-macam yang difitnahnya...dia kata saya mabuk di lokasi, saya merasuah pengurus produksi sebab tidak ke lokasi dan sebagainya.

"Saya rujuk masalah saya ini kepada FDAM dan atas nasihat presidennya sendiri, Mat London, saya pergi buat laporan polis dan selepas itu barulah saya gunakan khidmat peguam kerana saya ingin tuntut bayaran tersebut dan serta penjelasan tentang fitnah yang dihantar kepada FDAM dan RTM," katanya.

Menurut Fauzi, pelbagai alasan diberikan oleh produksi tersebut untuk tidak melunaskan baki bayaran yang sepatutnya diberikan kepadanya.

"Sebagai penerbit, dia boleh bagi macam-macam alasan. Dia kata produk itu tidak berkualiti dan tidak dapat diterima RTM. Sampailah RTM sendiri telah siarkan, tetapi dia bagi alasan lain pula.

"Dia boleh cakap apa saja dan pertikaikan kredibiliti dan tanggungjawab saya sebagai pengarah sebab dia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

"Ini bukan kali pertama saya mengarah. Sudah enam buah drama saya buat dan sebuah telemovie terbaru pun sudah diterima oleh RTM, jadi saya tidak pernah ada masalah pun.

"Saya sudah tidak boleh bertolak ansur lagi dengan dia bila saya minta 50 peratus daripada bayaran tersebut ketika isteri saya nak bersalin, tetapi dia tidak mahu berikan," kata Fauzi.

Tambah pelakon ini lagi, bukan dirinya seorang yang tidak berpuas hati dengan produksi ini, tetapi ramai lagi pelakon lain juga pernah melahirkan perkara yang sama tentangi produksi terbabit.

"Ramai yang pernah bekerja dengan produksi ini tahu macam mana cara bekerja mereka dan bayaran yang diberikan.

"Tetapi memandangkan industri ini tidak besar, ramai yang tidak berani tampil untuk bercakap hal ini kerana takut tidak ada 'job' lain. Saya akan tuntut juga dan saya tidak kisah sejauhmana dia nak bawa kes ini," luah Fauzi.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan