Hari lahir yang sempurna buat Nabila

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zaidy dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pagi tadi - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR
Zaidy dinikahkan oleh bapa Nabila sendiri, rocker terkenal Amy Search di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pagi tadi - foto THE STAR oleh IBRAHIM MOHTAR

TARIKH 2 Disember 2008 pastinya akan sentiasa dikenang oleh pelakon Nabila Huda Suhaimi. Bukan saja merupakan hari lahirnya yang ke-24, malah tarikh tersebut turut menjadi hari yang paling bermakna buat diri Nabila apabila dia selamat diijabkabulkan dengan kekasih hati, Zaidy Zailani, 27, setelah lebih enam tahun menyulam cinta.

Lebih mengharukan anak sulung daripada empat beradik ini ialah apabila melihat kesudian bapanya, rocker terkemuka Amy Search, untuk menjalankan acara pernikahan itu sendiri.

Linangan air mata dan tangisan menyelubungi majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, semalam apabila Zaidy selamat dinikahkan oleh Amy dengan hanya sekali lafaz.

Tangisan syukur bukan saja dilihat di wajah Nabila, ibu kandungnya Farida Fadzil dan ibu tiri Norhasniza Hassan, malah Zaidy dan Amy sendiri gagal menahan sebak apabila acara ijabkabul itu selesai kira-kira pukul 10.45 pagi.

Pada majlis tersebut, Nabila yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Zulkifli Mohd Ghandi dari Puri Pesona menerima mas kahwin RM 80, sebentuk cincin dan wang hantaran berjumlah RM22,222 beserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya minyak wangi, kasut, barangan penjagaan kulit, telekung dan Al-Quran.

Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak sembilan dulang hantaran antaranya kasut, kemeja, baju melayu, sejadah, kek, Al-Quran dan songket.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu turut dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Ditemui sejurus selepas akad nikah berlangsung, Nabila memanjatkan kesyukuran apabila hubungan cinta mereka nampaknya berakhir jua dengan perkahwinan.

Masakan tidak, pelbagai onak ranjau telah diharungi mereka untuk mempertahankan cinta yang terjalin selama ini. Justeru, kata anak jati Kuala Lumpur ini, hanya lafaz syukur yang mampu diluahkannya saat diri sah bergelar isteri kepada jejaka yang dicintainya itu.

"Saya amat bersyukur kerana hubungan yang kami jalin bertahun-tahun ini berakhir dengan perkahwinan. Saya sendiri tidak pernah merancang untuk mengakhiri zaman solo pada usia ini, tetapi nampaknya jodoh sudah sampai.

"Banyak dugaan yang telah kami tempoh bersama apatah lagi dia adalah cinta pertama saya. Insya-Allah, saya akan cuba untuk menjadi isteri yang terbaik buatnya," kata Nabila dalam nada girang.

Jejaka yang dikenali sejak berusia 18 tahun itu, kata Nabila, sememangnya cukup istimewa di matanya. Sifat kelakar yang dimiliki oleh Zaidy ternyata membuatkan hidup pelakon ini cukup ceria lebih-lebih lagi bila berada di sampingnya.

Lantaran itu, dia yakin pilihannya itu memang tepat. Malah, Zaidy sendiri tidak pernah menyekat Nabila untuk meneruskan karier seninya kerana memahami minatnya yang menebal di dalam bidang itu.

"Karier seni saya mengambil masa yang agak lama untuk naik. Jadi, sukar untuk saya lupakan terus bidang ini.

"Cuma saya akan pastikan kepercayaan yang diberikan oleh suami tidak akan dipersiakan. Saya akan seimbangkan antara kerjaya dan rumahtangga," tutur Nabila yang juga akui bersedia untuk menimang cahayamata secepat mungkin jika diberikan rezeki oleh Allah.

Ditanya tentang destinasi bulan madu pasangan ini, kata Nabila, dia dan suami masih belum menetapkan masa dan tempatnya memandangkan masing-masing sibuk dengan urusan sendiri ketika ini.

Namun, tambahnya, kemungkinan besar mereka akan berbulan madu pada tahun hadapan dengan membawa ahli keluarga yang lain untuk turut bercuti bersama.

Sementara itu, Zaidy juga turut melahirkan rasa syukur apabila majlis bersejarah mereka itu berjalan dengan lancar meskipun akui agak gementar ketika saat diijabkabulkan.

"Saya memang takut pada awalnya, apatah lagi bapa Nabila sendiri yang nikahkan saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan cukup baik.

"Saya agak sebak juga setelah selesai dinikahkan tadi memikirkan kini tanggungjawab saya semakin besar. Apapun, saya sudah berjanji dengan Nabila untuk menjadi suami yang bertanggungjawab," ujar Zaidy yang kini bekerja di syarikat pemotoran, Naza.

Bercerita tentang detik perkenalan mereka, kata Zaidy, dia pada awalnya tidak pernah menyangka Nabila adalah anak kepada penyanyi rock terkenal di negara ini sehinggalah setelah diberitahu oleh rakan.

"Dia masih belum popular ketika saya mula kenal dia. Tapi bila dapat tahu dia adalah anak Amy Search, saya memang agak takut. Apapun bila sudah berjumpa dan kenal dengan dia (Amy), saya lihat dia ok sebenarnya.

"Dia ada beri syarat kepada saya. Katanya 'kalau nak berkawan dengan anak saya, kawan betul-betul'," kata Zaidy yang akui tertarik dengan sifat peramah Nabila.

Lebih enam tahun mengenali hati budi masing-masing, Zaidy akhirnya meluahkan hasratnya untuk melamar Nabila sebelum pelakon itu mengerjakan umrah pada Mei lalu.

"Sekembalinya dia dari Mekah, dia beritahu saya yang dia sudah pun sampaikan hasrat tersebut kepada bapanya. Saya agak gementar sebenarnya untuk beritahu sendiri kepada bapanya, sebab itu Nabila yang menyampaikan perancangan saya itu kepadanya.

"Mungkin juga kerana rasa hormat saya yang terlalu tinggi pada dia (Amy) menjadikan saya cukup gementar," ujar Zaidy.

Kegembiraan yang diraih mempelai ini turut dikongsi oleh bapa Nabila, Amy yang akui cukup tersentuh apabila menyedari anaknya kini sudah bergelar isteri.

Amy dan anggota keluarga yang lain juga tidak dapat menahan sebak apabila selesainya majlis pernikahan tersebut.

"Sebagai bapa, sukar untuk menggambarkan bagaimana perasaan untuk melepaskan anak perempuannya yang kini dijaga oleh lelaki yang bergelar suaminya.

"Saya telah cuba yang terbaik dengan menjadi wali dan menjalankan sendiri acara nikah agar hari ini dapat menjadi hari yang cukup bermakna buat dirinya (Nabila).

"Saya percaya dengan pilihannya. Saya selalu percaya anak saya mampu pilih lelaki yang tepat untuk menjadi suaminya. Saya sendiri tidak pernah meletakkan kriteria, apa yang penting ialah kejujuran.

"Lagipun, dengan umurnya sekarang ini saya rasa sudah sesuai untuk berkahwin. Banyak kali juga saya bertanya padanya sama ada dia sudah bersedia atau tidak untuk berumahtangga dan dia akui sudah bersedia.

"Selepas ini terpulanglah kepada mereka untuk membentuk rumahtangga dan saya berdoa agar perkahwinan mereka diberkati dan berharap mereka terus berusaha untuk membina hidup yang lebih baik," tutur Amy.

Majlis persandingan juga telah berlangsung di sebelah malamnya di Pusat Komuniti Bukit Damansara bertemakan Enchanted Wedding, hasil rekaan perancang perkahwinan terkenal, Pak Abu.

Majlis yang dihoskan oleh Sharifah Shahira dan Ahmad Fedtri Yahya itu dihadiri oleh kira-kira 500 tetamu termasuklah rakan-rakan artis seperti M.Nasir dan isteri Marlia Musa, Datuk Yusof Haslam, Hattan, Que Haidar, Fasha Sandha, Betty Banafe, Maria Farida, Siti Elizad, Azwan Ali, Ijoy dan Wan Maimunah.

Nabila kelihatan anggun mengenakan gaun rekaan dari Puri Pesona sebelum menukar persalinan rekaan Syaiful Baharim untuk acara memotong kek manakala Zaidy pula segak dengan baju juga rekaan Puri Pesona serta sut rekaan Albert King untuk acara memotong kek.

Majlis indah itu turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani yang berselawat di awal majlis, Izwan Pilus dan Hattan.

Sebuah lagi majlis resepsi di sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung pada 14 Disember ini di Klang, Selangor.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan