Erema tekad fail cerai, biar Seri Bayu buat keputusan

Diterbitkan: Rabu, 3 Disember 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

“KALAU nak buat laporan polis, buatlah asalkan dia puas hati. Saya sudah banyak berkorban untuknya dan rasa terlalu kecewa dengannya,” luah Erema ketika diminta menjawab komen mengenai suaminya, Seri Bayu yang membuat laporan polis kerana didera olehnya.

Dua hari lalu, penulis lirik Seri Bayu, 43, mendakwa dirinya ditampar, ditendang dan dikurung dalam bilik air selama dua jam oleh isterinya, penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25.

Namun, semalam, Erema berkata dia tidak pernah mengasari suaminya itu sebaliknya menjaga Seri Bayu dengan baik bagaikan ‘menatang minyak yang penuh’.

“Macam mana saya tak berubah, sebab saya dah tak tahan dengan sikapnya.

“Saya juga sudah hilang kepercayaan dengannya kerana dia menipu saya.

“Bukan sahaja dia mengharamkan saya bekerja, malah dia juga memburuk-burukkan diri saya.

“Dia saja nak cetuskan kontroversi. Saya bukan sekejam yang dia ceritakan dan sebolehnya tidak mahu memburukkan dia,” beritahu Erema dalam nada tenang.

Jika begitu, bagaimana pula dengan gambar yang menunjukkan bukti terdapat sedikit kesan luka di muka Seri Bayu?

“Dia merupakan bekas wartawan, jadi pandailah dia mencipta bukti tersebut.

“Saya dah jaga dia dengan sempurna bertahun-tahun dulu dan bersabar sahaja.

“Namun, sehingga Hari Raya Pertama lalu, kesabaran saya sudah tiada lagi sehingga rasa sampai nak bercerai kerana dia mengharamkan saya bekerja di kelab.

“Saya nak bekerja untuk menyara hidup kami tetapi dia tak nak beri peluang.

“Selepas berkahwin, saya hanya memberikan tumpuan kepada dia tetapi lama mana kami nak bergantung kepada duit yang ada sebab lama-kelamaan ia semakin berkurang,” jelasnya yang bekerja di sebuah kelab malam di Shah Alam.

Menurut Erema, pendapatannya bulanan yang dia perolehi di kelab tersebut boleh dikatakan amaun yang tinggi juga serta mampu menampung perbelanjaannya dan ‘cukup makan’.

Erema berkata dia tidak akan lama menyanyi di kelab itu kerana dia berhasrat untuk mengeluarkan lagu single pada tahun depan.

“Tengok kepada keadaan. Saya perlu berdikari kerana datang dari keluarga yang susah. Jadi, saya perlu bekerja sebab tidak mahu menyusahkan ibu,” beritahunya yang masih mempunyai keinginan untuk kembali di dalam industri seni.

Selepas Seri Bayu enggan menceraikannya pada Isnin lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, kini Erema tinggal seorang diri di rumah hasil perkongsian bersama suaminya manakala Seri Bayu tinggal bersama keluarga angkatnya.

“Saya masih lagi tinggal di rumah itu dan dia yang keluar setelah meminta izin daripada saya untuk tinggal bersama keluarga angkat,” kata penyanyi lagu Pelita Di Bawah Purnama ini.

Apa pun yang berlaku, Erema berkata dia nekad dengan keputusannya untuk memfailkan penceraian dan tidak akan menarik balik.

Bagaimanapun, kes cerai yang difailkan oleh Erema pada awal bulan November lalu dibawa ke 12 Januari depan, pukul 9 pagi di mahkamah yang sama.

“Semuanya melibatkan hati dan saya tidak boleh menerima suami yang memburuk-burukkan isterinya.

“Saya hanya doakan semoga dia lembut hati dan redha dengan keputusan saya ini.

“Tetapi, semuanya saya serahkan ditangan suami sama ada hendak ceraikan saya atau tidak. Saya akan cuba bincang dengan peguam tentang apa yang saya perlu lakukan selepas ini,” tuturnya.

Mengenai dakwaan Seri Bayu yang mengatakan dia mula berubah setelah berjumpa lelaki lain, Erema menafikan dakwaan tersebut dan berkata dia berhak berkawan dengan sesiapa sahaja sama ada lelaki atau perempuan.

“Jika saya keluar dengan sesiapa, kami hanya keluar makan dan minum. Kadangkala saya pulang lewat selepas habis kerja pukul 12 tengah malam, sebab saya berborak hingga tak sedar masa sudah pagi.

“Bukan selalu saya balik lewat. Saya sediakan makanan dan minuman untuknya sebelum meninggalkan rumah,” jawab Erema.

Erema juga menambah, dia tidak akan mengambil apa-apa harta hasil perkongsian mereka selepas mereka bercerai nanti.

“Saya tak nak apa-apa. Saya Cuma harap dia sembuh dan boleh hilangkan tekanannya.

“Bagi saya, masalah ini merupakan pengalaman yang paling besar dalam hidup saya.

“Dalam umur seperti ini, saya sudah melalui perkahwinan yang penuh mencabar dan memberi tamparan yang hebat buat saya.

“Kadangkala, saya rasa terlalu tertekan sehingga tidak mampu mengawalnya. Buat masa ini, saya belum bersedia untuk memikirkan tentang lelaki dan pengalaman membuatkan saya lebih berhati-hati.

“Mungkin agak fobia dan serik untuk beri kasih sayang kepada lelaki,” tambahnya lagi yang lebih suka melepaskan tekanannya dengan membawa kereta seorang diri serta berlibur dengan rakan-rakan mencari kegembiraan.

Jelas Erema, dia yakin Tuhan Maha Adil dan semua yang berlaku ada hikmahnya.

Kata penyanyi kelahiran Sarawak ini, selepas bercerai, dia mahukan Seri Bayu berada di tempat yang betul-betul boleh menjaganya.

“Saya akan datang menjenguk dia seminggu sekali..,” tutur Erema.

Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan