'Orang bunian' sedarkan Remy Ishak tentang Islam

Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TELEFILEM Iktikaf di slot Cerekarama TV3 lakonan Remy Ishak, 26 baru-baru ini menampakkan kelainan cerita dan mesej yang cuba disampaikan.

Telefilem arahan pengarah Murali Abdullah ini harus dipuji dari segi jalan cerita dan juga para pelakon yang menghidupkan watak masing-masing.

Selain Remy, pelakon yang turut membintangi Iktikaf adalah Khairul Anwar, Wan Nor Azlin, Datuk Jalaluddin Hassan dan adik Hanis.

Iktikaf menceritakan tentang perjalanan hidup seorang ayah yang membesarkan dua orang anak lelakinya dengan kemewahan namun kurang kasih sayang dan didikan agama Islam.

Ceritanya nampak 'klise' namun cara penyelesaian konflik yang melanda keluarga ini memberikan impak yang mendalam apabila ditonjolkan watak orang bunian yang menyedarkan tiga beranak ini supaya mengingati Allah S.W.T.

Menurut Remy, watak Shawal yang dipegang dalam telefilem tersebut sedikit-sebanyak mempengaruhi kehidupannya di samping mendekatkan dirinya dengan agama Islam.

"Pada asalnya, saya bukanlah seorang yang baik. Tetapi setelah berlakon dalam drama ini, kesan yang baik itu datang dengan sendirinya.

"Iktikaf banyak membantu saya dari segi agama Islam. Saya akui selalu leka sebelum ini dan tidak tahu kesilapan yang telah dilakukan.

"Jadi, kata-kata daripada orang bunian itu menyedarkan saya. Selain itu, saya juga boleh berkongsi dengan rakan-rakan di luar apabila berborak tentang Islam," kata pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak.

Bukan itu sahaja, perwatakan Shawal yang mempunyai sedikit persamaan dengan Remy membuatkan dia terfikir kepada seorang abang yang mempunyai seorang adik kecil yang cacat sekaligus membuatkan dia dihimpit rasa bersalah.

"Ini kerana apabila saya melakonkan sesuatu watak, saya akan menghayatinya dengan mendalam.

"Kalau babak sedih, saya menangis betul-betul. Dalam lakonan, saya bukan lagi Remy Ishak.

"Saya cuba menjadi seorang yang lain seperti yang digambarkan dalam skrip," ulas Remy yang turut memuji cara Murali mengarah telefilem tersebut.

Bukan klon Zamarul Hisham?

Menyoroti suara Remy di dalam layar kaca televisyen, terdapat sedikit persamaan suaranya dengan pelakon hebat Zamarul Hisham.

Walaupun tidak mempunyai apa-apa pertalian darah dengan Zamarul, Remy menganggap persamaan tersebut berlaku apabila dia terlalu mendalami sesuatu watak itu.

"Saya dah bawa pelbagai watak dan mungkin watak itu mempunyai persamaan dengan Zamarul," ujar Remy yang turut berlakon dalam drama bersiri 13 episod Awan Dania.

Kata Remy, dia sedang sibuk dengan pengambaran drama arahan Azizi 'chunk' Adnan itu yang sudah memasuki episod kelapan.

Sorok status

Di dalam Awan Dania, Remy memegang watak Iman, seorang juruteknik yang bercita-cita besar untuk bergelar seorang juruterbang namun mendapat halangan daripada ibunya kerana bapanya mati semasa menceburi bidang tersebut.

Dalam masa yang sama, Iman berkawan baik dan jatuh cinta dengan Dania lakonan Scha.

Walaupun menyenangi wataknya sebagai seorang lelaki yang pemalu tetapi mahu itu, Remy mengakui watak Iman tidak mempunyai persamaan dengan dirinya yang sebenar.

"Saya mempunyai cara tersendiri dan lebih suka berterus-terang. Ada juga berlaku kes sebelum ini di mana wanita menunjukkan minat terhadap saya.

"Namun, saya pandai mengendalikannya dengan mengatakan kalau nak kenal lebih baik berkawan dulu.

"Saya tak kisah kalau orang nak berkawan asalkan dia tidak mendesak saya untuk mengubah diri-sendiri.

"Tentang status, saya rasa hal ini privasi dan tak perlu diceritakan lebih lanjut lagi," olah Remy yang turut menantikan filem lakonannya iaitu Duhai Si Pari Pari terbitan Tayangan Unggul pada tahun depan.

Filem keduanya selepas Anak Halal ini turut dilakonkan oleh Que Haidar, Liyana Jasmay, Harun Salim Bachik dan Nabila Huda.

Selain Anak Halal, drama bersiri Sindarela turut menaikkan nama bekas pekerja hotel ini dalam industri hiburan ini.

Pada Hari Raya Haji bulan depan, Remy berkata dia akan muncul dalam drama komedi Takbiratul Ihram terbitan Zeel Production Sdn. Bhd.

Drama tersebut merupakan drama pertamanya sebelum telefilem Iktikaf dan drama bersiri Obsesi yang diterbitkan oleh Zeel.

Timba ilmu daripada pelakon senior

Memandangkan Remy tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan, dia tidak segan silu untuk menimba ilmu dari pelakon senior seperti Datuk Jalaluddin Hassan.

"Saya tak pergi kelas lakonan. Jadi, saya rasa seronok dapat belajar banyak perkara dengan pelakon senior kerana mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar.

"Misalnya, apabila kita mengenali sesuatu watak, kita perlu sampaikan dialog dari dalam hati dan bukan melafazkan di mulut sahaja.

"Penyampaian dialog yang ikhlas dicampur dengan rasa akan membuatkan penonton turut merasai apa yang kita sampaikan," jelasnya yang sudah mendiami bidang lakonan kira-kira dua tahun lalu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan