Sehati Berdansa Mazin kesal isu isteri hamil jadi punca tersingkir

Diterbitkan: Isnin, 24 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MINGGU Rock & Roll nampaknya menjadi saksi tamatnya perjalanan pasangan Mazin Ameen Siraj atau Mazin dan Ida Chairunisa (Anisa) di dalam program realiti tarian melibatkan selebriti, Sehati Berdansa setelah lima minggu berentap bersama 10 pasangan lain.

Mazin dan Anisa menjadi pasangan kelima yang tersingkir dan sekaligus telah menyumbang sebanyak RM5,000 kepada badan kebajikan yang mereka wakili iaitu Persekutuan Orang Pekak Malaysia kerana berjaya bertahan sehingga minggu kelima.

Meskipun Anisa disahkan hamil pada awal pertandingan dulu, pasangan suami isteri ini nekad meneruskan cabaran mereka di dalam program ini dan membuat keputusan untuk tidak menarik diri walaupun ramai yang cukup sangsi dengan kemampuan Anisa apatah lagi bila memikirkan risiko yang boleh berlaku ke atas kandungan yang mencecah dua bulan setengah itu.

Mazin dan Anisa sendiri yakin mereka mampu mempamerkan gerak tari yang baik atas bimbingan koreografer Norashid Abdul Latip atau Ashid walaupun tarian yang terhasil agak terbatas bagi tidak menjejaskan kandungan tersebut.

Namun begitu, harapan untuk terus mara di dalam program terbitan Astro Ria ini tidak kesampaian apabila Mazin dan Anisa diumumkan tersingkir setelah menerima markah keseluruhan terendah pada minggu ini berbanding lima pasangan lain yang mana konsep pemarkahannya adalah 50 peratus daripada penilaian juri profesional manakala 50 peratus lagi berdasarkan undian SMS penonton.

Juri tetap program ini adalah koreografer terkenal Linda Jasmine dan Hamzah Tahir manakala Pengarah Tari Istana Budaya, Mahmood Ibrahim pula diundang selaku juri jemputan minggu ini.

Ditemui sejurus selepas program itu malam tadi, Mazin melahirkan rasa kecewa dengan penyingkiran itu kerana merasakan ia berpunca daripada ketidakpuasan hati banyak pihak yang menjadikan faktor hamil isterinya itu sebagai isu besar.

"Saya tidak faham kenapa orang asyik bercakap dan tidak puas hati dengan hal ini. Saya tidak tahu mengapa mereka di luar sana tidak boleh menerima hakikat bahawa wanita hamil juga boleh menari? Isteri koreografer kami, Ashid juga sedang hamil dan dia adalah seorang penari.

"Sebab itu kami yakin dan nekad untuk teruskan kerana melihat isterinya juga mampu lakukan. Memang saya rasa cukup kecewa dan saya yakin, itu yang menjadi punca kami tersingkir. Mungkin faktor itu juga memberi kesan kepada komen-komen juri," ujar model berusia 28 tahun itu.

Perasaan kecewa turut dilahirkan oleh Anisa yang menambah, mereka juga kecewa dengan komen yang diberikan oleh juri jemputan pada minggu ini termasuklah pemberian markah olehnya.

"Jika dilihat dari segi markah, markah yang kami terima sangat jauh berbeza dengan pasangan lain. Kami satu-satunya pasangan yang menerima markah dibawah 80. Kami tidak tahu dia menilai persembahan kami dari aspek apa.

"Saya sendiri tidak faham...adakalanya buat 'stunt' banyak pun salah, masukkan elemen drama pun salah...Jadi apa yang perlu dibuat sebenarnya?" luah Anisa.

Meskipun sedih dengan penyingkiran tersebut, Mazin bagaimanapun akui, minggu Rock & Roll adalah yang paling menyeronokkan buat dia dan isteri kerana merasakan sesi latihan berjalan dengan cukup lancar.

"Berbanding dengan minggu-minggu terdahulu, minggu ini adalah yang paling seronok. Malah, pada hari kedua latihan kami sudah boleh hafal gerak tari yang diajar oleh Ashid. Tetapi nak buat macam mana, setakat ini saja peluang kami.

"Cuma agak sedih juga kerana hubungan kami dan peserta lain cukup rapat setelah beberapa minggu berada di dalam program ini," kata Mazin.

Secara ringkasnya, Sehati Berdansa disertai oleh 10 pasangan selebriti yang mana mereka dibimbing oleh koreografer masing-masing dan pada setiap minggu, mereka akan diberikan tema tarian yang perlu dipersembahkan pada konsert mingguan iaitu pada 'Malam Sehati Berdansa'.

Menariknya program ini, setiap pasangan tersebut turut mewakili badan-badan kebajikan tertentu yang mana pada setiap minggu, mereka akan menyumbang sebanyak RM1,000 selagi mereka masih kekal di dalam program ini.

Lima pasangan yang masih kekal ialah Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia), Sabrina Ali dan Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Sasha Saidin dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia), Amyza Aznan dan Khairil (Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia) serta Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam).

Pakaian peserta dipersoalkan

Minggu Rock & Roll kali ini menyaksikan setiap pasangan mempersembahkan tarian yang cukup menghiburkan. Pujian terus diberikan oleh pihak juri kepada pasangan pelakon Lisda dan Fauzi yang mempamerkan gerak tari yang cukup kreatif dan bertenaga menerusi lagu Aku Stacy.

Tidak ketinggalan Khai dan Rosma yang menampilkan persembahan comel di dalam kostum badut menerusi lagu Paling Comel dan dilabelkan oleh Linda sebagai sebuah persembahan yang berbeza. Penceritaan yang baik menerusi tarian yang dipamerkan Sasha dan Salyo juga berjaya memikat hati juri manakala tiga pasangan lain juga dilihat telah cuba memberikan persembahan yang tidak menghampakan.

Secara keseluruhannya, Amyza dan Khairil masih mengungguli kedudukan dengan berada di tangga teratas diikuti oleh Lisda dan Fauzi, Khai dan Rosma, Sasha dan Salyo, Sabrina dan Shahrin manakala pasangan Mazin dan Anisa berada di tangga terbawah.

Namun begitu, timbul pula isu lain yang mana ada pihak yang merasakan pakaian peserta musim ini adakalanya dilihat tidak menarik. Malah, kostum badut yang digunakan oleh Khai dan Rosma juga dikatakan tidak sesuai.

Mengulas mengenai isu pakaian ini, kata penerbitnya Norazian Mohd Zahir, pakaian peserta bagi setiap minggu sebenarnya ditentukan oleh koreografer masing-masing sambil dipantau oleh pihak penerbitan.

"Kami akan memberikan RM500 kepada koreografer pada setiap minggu untuk mereka sediakan pakaian peserta mengikut tema dan yang dirasakan sesuai mengikut kreativiti masing-masing. Dan kami pihak penerbitan akan mengadakan 'spotcheck' pada setiap hari Rabu dan kita akan lihat sama ada kostum mereka sesuai atau tidak untuk siaran di televisyen.

"Setakat ini pakaian mereka memang mengikut tema. Kita pun tidak mahu terlalu tegas dalam hal ini kerana ia bergantung kepada kreativiti mereka. Cuma kita akan pantau jika pakaian dilihat agak seksi dan dari segi warna kerana perlu sesuaikan dengan pencahayaan kamera juga.

"Sebagai contoh Khai dan Rosma, kalau kita mendengar kepada komen juri, mereka merasakan kostum tersebut memberikan sesuatu yang berbeza dengan persembahan peserta-peserta lain. Bagi saya, asalkan gerak tari itu 'kena' dengan persembahan dan jalan ceritanya, itu sudah bagus," kata Norazian.

Menurut Norazian, sebelum ini pihaknya pernah mengarahkan peserta menukar konsep pakaian kerana dilihat tidak sesuai. Justeru, isu pakaian ini tidak seharusnya diperbesarkan kerana sejak musim pertama lagi, koreografer masing-masing mempunya hak untuk menentukan pakaian mana yang sesuai untuk peserta bimbingan mereka dengan berlandaskan panduan yang ditetapkan oleh pihak penerbitan.

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan