HuaHuaHua 100 peratus siri komedi pertama hasil Saiful Apek

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUNGKIN ada yang keliru antara siri komedi Gitu-Gitu Apek dan Hua..Hua..Hua yang melibatkan aktor dan pelawak Mohd. Saifulazam Mohamad Yusoff atau lebih dikenali Saiful Apek.

Program Gitu-Gitu Apek (GGA) yang dikendali olehnya telah bersiaran selama dua musim di Astro Ria saluran 104.

Mulai 17 November ini, setiap Isnin, pukul 10.30 malam di saluran yang sama, sebuah siri komedi terbaru terbitan sulung Noradz Productions dan syarikat milik Apek, Gitu-Gitu Productions Sdn. Bhd., Hua...Hua..Hua..(HHH) bakal menggeletek hati penonton.

Menurut Saiful, terdapat perbezaan antara dua karyanya itu di mana GGA merupakan program terbitan Astro dan semestinya dikawal oleh stesen televisyen swasta itu.

Jadi, sudah tentu karya yang dihasilkan bukanlah datang 100 peratus darinya.

Selain itu, GGA menggabungkan lawak Saiful bersama Yasin dan Bob Kuman.

Sementara HHH pula merupakan karya 100 peratus daripada Saiful berbentuk sitkom selama 30 minit yang menonjolkan dua hingga tiga segmen mengikut topik pengisian pada setiap minggu.

Siri komedi ini melibatkan lakonannya, Angah Raja Lawak dan Along Raja Lawak selaku pelakon tetap serta turut dibantu oleh pelakon-pelakon undangan pada setiap episod seperti Nabil Raja Lawak, Zizan Raja Lawak, Sharifah Shahirah, Raja Azura, Ijoy, Taugeh, Bob Kuman dan Zami Ismail.

Tambah Saiful, sudah namanya 100 peratus, jadi segala baik dan buruk program tersebut pasti ditanggung olehnya.

"Saya diberi kepercayaan untuk menghasilkannya. Jadi, saya membuat mengikut kreativiti sendiri dan memberi kelonggaran kepada pelakon-pelakon lain asalkan tak bercanggah dengan cerita.

"Namun bukan mudah saya menghasilkan siri ini kerana saya perlu berlakon dan mengarah.

Pada masa yang sama, ia merupakan produk saya," ujar Saiful.

Kehidupannya juga lebih berat apabila Saiful perlu membuat kerja dari A hingga Z bukan sahaja dari segi 'deliver' mesej malah mencipta sesuatu merangkumi proses pengarahan hingga proses penyuntingan.

Namun, kata Saiful, semua kerja itu memberikan kepuasan kepadanya walaupun mengibaratkan kehidupannya seperti berada di dalam kotak.

Selaku pengarah, Saiful telah menggunakan pengalaman yang sedia ada untuk membentuk pelakon-pelakon yang terlibat mengikut watak yang mudah, lucu di mana mereka hanya diberi butiran ringkas dan terpulang sama ada hendak menggayakan dialog-dialog mengikut kesesuaian dan keselesaan pelakon itu sendiri.

"Mengikut pengalaman berlakon selama ini, saya lebih selesa membuat dialog sendiri kerana itu lebih mudah untuk dihayati, begitu juga dengan kegunaan dua kamera membuatkan lakonan mereka menjadi begitu bersahaja tanpa perlu diulang setiap kali menukar sudut," kata Saiful.

Pengambaran siri 13 episod ini menggunakan dua buah kamera, di mana ia telah dilaksanakan selama 22 hari sekitar Kuala Lumpur dan di dalam studio dan menjimatkan kos produksi.

Menariknya tentang HHH, terdapat salah sebuah episod yang mengambil cerita 'Ibu Mertuaku' dan diterbalikkan menjadi 'Bapa Mertuaku'.

Saiful berkata setiap lawak-lawak yang mereka hasilkan mempunyai maksud tertentu dan ada juga yang bersifat menyindir.

Namun, ini tidak bermakna sindiran tersebut terlalu banyak ditekankan dalam komedinya tetapi ada kemungkinan untuk memberi nasihat kepada generasi muda.

Persamaan Hua..Hua..Hua..dengan Senario

Saiful tidak menafikan yang siri komedi HHH ini mempunyai persamaan dengan sitkom Senario.

"Genrenya mungkin sama dan rasanya tidak salah untuk HHH mewarnai industri ini.

"Oleh sebab Senario sudah menggunakan genre ini, jadi tak semestinya orang lain tak boleh buat. Kalau lebih ramai yang membuat bentuk komedi seperti ini, mesti lebih meriah," jawab Saiful yang menceburkan diri selama 7 tahun dengan kumpulan Senario.

Mengenai projek terbarunya, Saiful berkata dia akan terbabit dengan pengambaran filem Kecoh Betul! di mana Nabil Raja Lawak merupakan pelakon watak utamanya manakala dia hanya memegang watak sampingan.

Tergugat dengan Nabil

Melihat penerimaan Nabil dalam industri ini, timbul persoalan tidak pernahkah Saiful rasa tergugat dengan pesaingnya itu.

Dengan nada tenang dan bersahaja, Saiful berkata dia menganggap turun naik populariti seseorang artis itu sebagai suatu perkara yang silih berganti.

"Dulu saya dibandingkan dengan Sabri Yunus dan mengambil alih takhta pelawak paling popular bagi 5 tahun berturut-turut.

"Kini giliran dia pula merasai apa yang saya rasa dulu. Benda ni silih berganti. Nabil pun tanpa segan silu menganggap saya sebagai inspirasinya.

"Jadi perkara ini mempunyai kebaikan dan keburukannya. Sekurang-kurangnya saya mempunyai 'sparring partner' yang setaraf," ujar Saiful yang menantikan kemunculan lakonannya dengan Nabil melalui filem Sifu dan Tonga mulai Februari 2009.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan