My Starz LG Wana Mimie Feroq menyerlah

Diterbitkan: Selasa, 11 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SELEPAS menyaksikan 12 peserta Konsert My Starz LG musim kedua yang beraksi, hanya beberapa kerat sahaja yang mampu pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian ini.

Walaupun tiada penyingkiran dilakukan, para peserta yang terdiri daripada usia 18 hingga 22 tahun itu masing-masing sedaya upaya menunjukkan persembahan hebat dan sebolehnya memikat hati juri tetap iaitu penyanyi Liza Hanim dan Hattan.

Konsert dimulakan dengan persembahan Noriezuana Syed Shafudin atau Wana dengan lagu Semuanya Ada Di Sini, Wan Nashrinie (Nashrin) - Permintaan Hati, Julylen Liew Ei Ling (Gzell) - Destiny, Fiona Anak John Nolly (Fiona) - Ketahuan, Mohd. Farouk Jayfiena Ermand (Feroq) - Izinku Pergi, dan Lee Elaine (Elaine) - That's The Way.

Kira-kira selepas satu jam berlalu, penonton dihiburkan dengan persembahan Mohd. Azri Abdullah (Azri) - Aku Ingin Kamu, Cassandra Daniel Manja (Cassie) - Bersamamu, Mohd. Hairi Kenneith (Hairi) - Biarlah, Norshamimi Ahmad Haris (Mimie) - Kalis Rindu, AG Sri Iskandar Bahrin (AG) - Hai dan diakhiri oleh Leow Lyye (Jassica) - Whenever Wherever.

Antara yang menunjukkan persembahan cemerlang adalah Wana, Mimie dan Feroq.

Hal tersebut turut diakui oleh Hattan. Namun, penyanyi lagu Biso Bonar ini akui konsert permulaan tersebut bukanlah masanya lagi untuk mengukur tahap kemampuan setiap peserta.

Secara keseluruhannya, Hattan berkata peserta musim baru ini menunjukkan peningkatan berbanding peserta tahun lalu.

"Terdapat dua hingga tiga orang yang berpotensi untuk pergi jauh lagi. Melihat kepada persembahan peserta, tiga peserta yang pertama iaitu Wana, Nashrin dan Gzell berjaya menarik perhatian saya.

"Saya juga sukakan suara Mimi yang 'besar'. Feroq pula nampak ok tapi tak cukup nyawa.

"Harap-harap, semua peserta dapat menunjukkan persembahan yang lebih bagus pada minggu depan," ujar Hattan selepas konsert yang dihoskan oleh pengacara Nazruddin Habibur Rahman (Naz) dan Puteri Andreanna Syigim (Anne) melabuhkan tirainya.

Hattan turut berharap supaya para peserta bijak memilih kostum kerana apa yang dipakai mereka pada konsert lalu serba tidak kena.

"Semua peserta juga perlu memberi tumpuan kepada nyanyian. Menari sikit-sikit sahaja sudahlah," kata Hattan lagi.

Sementara itu, Liza Hanim pula memuji persembahan mereka yang penuh keyakinan. Namun, dia menasihatkan supaya peserta jangan terlalu yakin. Sama seperti Hattan, Liza juga meminta peserta supaya memilih kostum yang tepat dengan lagu masing-masing.

Dalam pada itu, penerbit eksekutifnya, Fadzliniza Zakaria berkata mereka akan cuba meningkatkan tahap persembahan peserta dari minggu ke minggu.

"Sekarang, kami masih lagi mencari-cari apakah imej yang sesuai untuk diri setiap peserta. Kami telah mengkaji karektor masing-masing.

"Bermula minggu hadapan juga, kita akan mencipta tema bagi setiap konsert agar mereka nampak lebih versatil.

"Pada minggu ini sahaja mereka berpeluang memilih lagu sendiri tetapi mulai minggu hadapan kita akan tetapkan melihat kesesuai vokal masing-masing," ulas Fadzli.

Penasihat vokal terdiri daripada penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh manakala konsultan imej peserta pula adalah Syaiful Baharim.

Ketika ditanya mengenai tahap persembahan peserta malam itu, Lah berkata beliau berpuas hati dengan kebanyakan peserta namun hanya satu hingga dua orang peserta sahaja yang 'pecah' suara.

Mulai Ahad depan, format penyingkiran dilakukan mengikut pembahagian kumpulan di mana 12 peserta My Starz LG dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Kumpulan A terdiri daripada Cassie. Feroq, Elaine, AG, Wana dan Nashrin manakala kumpulan B terdiri daripada Mimie, Hairi, Jassica, Gzell, Azri dan Fiona.

Kumpulan A akan membuat persembahan pada minggu hadapan dan penyingkiran dari kumpulan A hanya akan dilakukan pada minggu berikutnya ketika minggu kumpulan B mengambil tempat membuat persembahan.

Seterusnya penyingkiran untuk kumpulan B akan dilakukan ketika minggu kumpulan A membuat persembahan.

Para peserta akan bergabung dalam konsert seterusnya apabila tinggal empat orang peserta dari setiap kumpulan A dan B.

Format penyingkiran ini berterusan sehingga empat orang finalis dipilih.

Dari segi format pemarkahan pula, penyingkiran terhasil daripada keputusan juri sebanyak 70 markah manakala 30 peratus diputuskan oleh SMS penonton.

Selain dari juri tetap, para peserta juga dihakimi oleh juri jemputan.

Pemenang pertandingan realiti ini berpeluang memenangi wang tunai RM100,000, produk LG yang menarik, menjadi bintang dan mengikat kontrak rakaman bersama label Warner Music Malaysia.

Saksikan Konsert Mingguan My Starz LG pada setiap Ahad, pukul 10 malam di TV3.

Segmen My Starz LG Star Lives, sedutan siaran selama setengah jam tentang pencapaian peserta setiap minggu disiarkan pada setiap Ahad, pukul 5.30 petang dengan hosnya, Khairul Ikhwan Rosli.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan