Watak antagonis Zamarul diiktiraf

Diterbitkan: Isnin, 10 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN mudah untuk aktor Zamarul Hisham membawakan watak antagonis kerana dia memerlukan kekuatan dalaman agar mampu membezakan watak dalam setiap drama yang dilakonkan.

Pelakon yang sudah 13 tahun membina nasib dalam industri hiburan tanah air ini sudah lama mendepani watak tersebut kerana katanya bersesuaian dengan karektornya di luar.

Disebabkan itulah, Zamarul sentiasa berusaha untuk menampakkan kelainan watak antagonisnya menerusi drama Kaizer, Kasih Iftitah dan Ihsan.

Dibandingkan dengan watak protagonis, penonton lebih teruja melihat lakonan berkesan pelakon yang membawakan watak berlawanan dengannya yakni watak jahat, kejam dan watak-watak negatif.

Jadi, tidak sia-sia Zamarul selalu memilih watak antagonis kerana ia 'dibayar' dengan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Drama yang diunggulinya ketika Anugerah Skrin 2008 baru-baru ini.

Anugerah tersebut mengiktiraf lakonannya menerusi telefilem Ihsan terbitan Layar Consult Sdn. Bhd.

Zamarul telah mendahului pesaingnya yang lain iaitu Afdlin Shauki menerusi drama Tuhan Pun Tahu, Ady Putra (Kehangatan Lantana) yang pada mulanya dijangka berpeluang memenangi anugerah tersebut.

Walaupun terlambat untuk Zamarul menerima anugerah menerusi puluhan drama lakonannya, namun semua itu tidak penting bagi Zamarul malah bersyukur kerana apa yang diperolehi adalah sesuatu yang tidak disangka-sangkakan.

Jelas Zamarul, ini merupakan kali pertama dia mendapat anugerah melalui drama. Sebelum ini dia pernah mendapat anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Di ambang Misteri semasa Festival Filem Malaysia ke-18.

“Saya tak terfikir langsung dapat anugerah ini kerana bagi saya kalah dan menang tidak penting asalkan saya dapat meraikan malam anugerah ini bersama-sama pelakon lain.

“Pada mulanya saya ingatkan Idris Mat Diah yang mendapat anugerah tersebut,” beritahu Zamarul ketika majlis sidang media bersama para pemenang Anugerah Skrin 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Berbicara mengenai kemenangan tersebut, tidak segan jika mengatakan rasa berbaloi Zamarul apabila duduk di dalam kubur selama 40 minit untuk menjayakan babak mati di dalam drama yang disiarkan di slot Cerekarama TV3 itu.

Drama ini mengisahkan seorang majistret lakonan Zamarul yang derhaka terhadap ibu dan bapanya setelah berkahwin dengan anak orang kaya.

Selepas selesai pengambaran Ihsan, Zamarul akui hubungannya dengan ibunya, Zaleha Abdul Rahman semakin akrab berbanding dahulu.

Menyentuh tentang perkembangan terbarunya, Zamarul baru selesai pengambaran drama Cikgu Vespa Merah arahan Mat London. Selain itu, Zamarul turut menyatakan keinginannya untuk melakonkan watak seorang bisu pula.

Ogy kekuatan Suara Saleha

Walaupun Ihsan dikatakan mempunyai harapan memenangi Drama Terbaik, namun kemenangan lebih berpihak kepada Suara Saleha.

Telefilem terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. itu turut menobatkan aktres Fauziah Ahmad Daud selaku Pelakon Wanita Terbaik Drama dan pengarahnya, Murali Abdullah sebagai Pengarah Terbaik Drama.

Bagaimanapun, Murali mahupun penerbitnya, Ziela Jalil masih tidak percaya dengan kemenangan tersebut sehingga ditemubual dan terkejut dengan berita yang diumumkan.

Kata Murali, pada mulanya dia mengharapkan Ihsan memenangi kategori tersebut. Begitu juga dengan Ziela yang merasakan telefilem lain juga layak untuk menang.

“Bagi saya, kemenangan ini mungkin disebabkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pelakon Suara Saleha. Cerita tentang perempuan yang meronta jiwa ini juga mempunyai mesejnya tersendiri.

“Keistimewaan ceritanya juga terletak kepada kelainannya yang lebih memfokuskan cerita di perkampungan,” beritahu Murali.

Dalam pada itu, Ziela pula berkata kemenangan itu merupakan anugerah keempat yang mengiktiraf drama terbitannya.

“Saya dah biasa dengan Murali. Ogy juga begitu profesional dengan kumpulan produksi yang sekepala.

“Istimewanya Murali selalu dipilih sebagai pengarah kerana dia serasi dengan saya dan hubungan kami juga berlandaskan pada persahabatan. Cakap apa sahaja, dia mampu lakukan. Saya percaya kepada kreativiti dan selesa bekerja dengannya.

“Dia juga selalu meminta pandangan dan idea orang lain ketika bekerja,” kata Ziela.

Ziela juga selesa dan percaya dengan sokongan yang diberikan TV3. Selepas ini, produksinya dijangka menerbitkan siri Laila Majnun untuk siaran slot Lagenda di TV3 pada 22 Disember depan.

Dunia ciptaan Rosyam

Mungkin ada yang bersetuju jika mengatakan seseorang pelakon amat bertuah kerana dia mampu ‘lari dari dunia nyata’ dan dapat mengecapi atau menjadi sesuatu yang diinginkan.

Bertanya kepada pelakon hebat Rosyam Nor yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni ini dan telah banyak kali juga dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik samada filem mahupun drama, dia tidak menafikan kenyataan tersebut.

Kata pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem di ASK 2008 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini, pelakon yang bijak merupakan pelakon yang terus membuat dunia ciptaan sendiri dalam bentuk empat segi dalam tempoh masa tertentu dengan bantuan pengarah dan tenaga pekerja yang baik.

Walaupun kerap kali dikritik sebagai pelakon stereotaip, tetapi tegas Rosyam, lakonan yang perlu versatilkan diri.

Bukan sahaja bergelar hero malah dia juga inginkan sesuatu yang berlainan daripada apa yang dilakukan sebelum ini. Rosyam juga tidak menolak jika diberikan watak bodoh sekalipun.

Kali ini, Rosyam mengulangi kemenangannya di Festival Filem Malaysia ke-21 sebelum ini iaitu Pelakon Filem Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Mamat Khalid itu yang turut meraih Filem Terbaik untuk kedua-dua anugerah ini.

Rosyam akui dengan kemenangan berganda ini, tanggungjawabnya tidak terletak kepada dirinya sahaja malah lakonannya juga.

“Bukan senang nak bergelar yang terbaik kerana semuanya terletak di tangan penonton.

“Kerjasama daripada semua pihak adalah perlu untuk memudahkan kerja dan orang lain,” beritahu Rosyam yang belum mempunyai apa-apa perancangan terbaru sekarang.

Mamat skeptikal datang ASK 2008

Pada mulanya, pengarah filem KMBM, Mamat Khalid skeptikal untuk menghadiri majlis tersebut kerana dia menduga kemenangan berpihak kepada filem terbitan TV3 atau Grand Brilliance.

“Saya skeptikal nak datang kerana dengar kata filem TV3 nak menang. Tetapi kalau datang pun ok sebab kita meraikan kerja-kerja kita,” ucap Mamat yang pada mulanya kelu untuk memberikan ucapan di atas pentas Dewan Merdeka, PWTC selepas diumumkan memenangi Pengarah Terbaik Filem untuk filem KMBM.

Dengan itu, Mamat turut bersemangat meuar-uarkan projek antologinya yang menampilkan semangat bersama dua pengarah lain iaitu Afdlin Shauki dan Aziz M. Osman menerusi filem Tiga Jalan.

“Afdlin menonjolkan dari segi semangat individu, saya dari segi semangat untuk negara manakala Aziz lebih kepada semangat remajanya. Apabila ketiga-tiganya digabungkan, jadi lahirlah sebuah filem fantasi. Filem ini akan memasuki pengambaran mulai Disember ini dan diterbitkan oleh Tayangan Unggul.

“Tiga Jalan merupakan skrip serius pertama arahan saya bersama Afdlin dan Aziz. Dulu saya pernah menulis skrip bercorak serius iaitu Puteri Gunung Ledang tetapi tidak mengarahnya.

“Cabaran untuk membuat skrip sebegini sangat besar,” tutur Mamat yang turut mempunyai idea untuk membuat filem epik Gangga Negara dan filem muzikal Kelabu Malami (kelab malam).

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan