'Wayang' filem sebenar kehidupan

Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Perwatakan Eman sebagai tok dalang terserlah dan nampak 'real'.
Perwatakan Eman sebagai tok dalang terserlah dan nampak 'real'.

KATA pengamal filem di Amerika, Nicholas Ray, "tiada sebarang formula untuk berjaya".

Berlandaskan kepada falsafah tersebut, pengarah filem Prof Dr Hatta Azad Khan telah mengambil cabaran menghasilkan filem yang boleh menarik golongan yang mengatakan sesetengah filem itu tidak menepati selera mereka.

Melalui filem keduanya, Wayang, Hatta telah berusaha dan cuba memenuhi selera semua penonton dengan pelbagai elemen menarik seperti nilai komersial, budaya, seni dan warisan.

Semasa pertama kali menonton filem Wayang, penulis sudah tertarik untuk mengetahui lebih lanjut walau ada rakan yang berkata filem tersebut membosankan.

Meneliti graf ceritanya memang agak perlahan namun suntingannya begitu ringkas sekaligus membuatkan susun atur ceritanya mudah difahami kerana Wayang lebih banyak menggunakan garis cerita yang lurus (linear).

Kali kedua menonton filem yang diperam selama lima tahun ini, penulis semakin jatuh cinta dengan karektor di dalamnya dan menjiwai setiap perkara yang dipaparkan.

Jalan ceritanya mudah, mengenai perjalanan hidup seorang tok dalang tersohor, Awang Lah, tiba-tiba didepani masalah mengajar wayang kulit kepada seorang kanak-kanak lelaki buta, Awi dan kanak-kanak perempuan bersuara sengau, Melor.

Kekecewaannya terhadap anak sendiri, Mamat yang tidak mahu mendekati panggung wayang kulitnya, membuatkan Awang Lah berusaha keras mengajar dua kanak-kanak istimewa itu.

Sekalipun buta, Awi mampu menghafal cerita-cerita wayang kulit dengan baik manakala Melor pula pandai melukis patung dan menggerakkannya di kelir mengiringi cerita yang dituturkan Awi.

Lebih menyenangkan apabila Wayang digerakkan oleh pelakon-pelakon hebat seperti Eman Manan sebagai Awang Lah, Zul Huzaimy Marzuki (Awi), Ida Nerina (Mak Cik Esah), dan pelakon baru, Mas Muharni (Melor).

Berilah apa watak kepada Eman, dia pasti mampu melakukannya. Dari segi pertuturan, Eman juga tidak mempunyai masalah untuk bertutur dalam loghat Kelantan. Perwatakannya sebagai tok dalang terserlah dan nampak 'real' seolah-olah Eman sudah lama berkecimpung dalam dunia wayang kulit.

Gerak-gerinya juga tidak nampak seperti sedang berlakon tetapi bagaikan penulis sedang memerhatikan realiti kehidupan seorang tok dalang di Kelantan.

Menurut Hatta, ada juga lakonan spontan yang dilakukan oleh Eman ketika babak Awang memberi 'kata dua' kepada Jusoh (Wan Kenari) di depan bengkel motosikal.

Tiba-tiba seorang lelaki tua datang bersalam dengan Eman dan tidak perasan yang mereka sebenarnya berada di depan kamera.

Walaupun sedang berlakon, Eman tetap menyambut salam orang tua itu sambil tersenyum. Syot tersebut nampak 'real' dan Hatta sengaja meneruskan babak tersebut.

Zul Huzaimy juga tidak kekok melakonkan watak seorang buta. Nampaknya, tidak sia-sia usaha Zul memerhati gelagat orang buta di Pasar Seni selama beberapa hari sebelum menghayati watak tersebut.

Bukan sahaja lakonan seorang buta yang nampak realistik, namun Zul juga menghayati nyanyian lagu cerita-cerita wayang kulit dengan baik.

Lakonan Ida Nerina turut mendapat pujian bukan sahaja daripada penonton malah ia juga diakui oleh Hatta sendiri.

Bermula daripada percakapan, bahasa tubuh, pergerakan hinggalah mimik muka yang mampu meninggalkan kesan mendalam.

Contohnya, ketika babak suaminya, Awang membawa pulang kereta, dengan perasaan yang tidak terkata, Mak Cik Esah hanya membuntuti dan mengikut sahaja rentak Awang.

Itulah yang dikatakan tentang penerapan idea romantisisma semasa Awang Lah menyentuh tangan Mak Cik Esah yang mungkin sedikit hilang dalam budaya kita sekarang.

Watak Melor lakonan Mas Muharni pula nampak bertenaga dan penuh warna. Walaupun dia masih baru dalam industri perfileman, namun tidak bermakna dia kalah dengan pelakon senior kerana mempunyai asas lakonan teater dahulu.

Gelagat dua pelakon cilik iaitu Mohd Asrah Arif Che Musa (Hasan) dan Mohd Asrah Afif Che Muda (Husin) yang melakonkan watak pasangan kembar juga berjaya mencuit hati dan membuat penonton terhibur.

Jadi, tidak rugi masa mereka berlatih selama sebulan iaitu lima hingga enam kali seminggu untuk mendapatkan ketepatan sebutan dan penghayatan watak masing-masing.

Setiap patah loghat Kelantan juga keluar bagaikan air melalui pertuturan mereka setelah mendapat tunjuk ajar daripada pelakon Rohani Yousoff, Ya Daud dan lain-lain.

Pengambaran yang berlangsung selama sebulan itu mengambil lokasi perkampungan di Bachok, Kelantan dan beberapa tempat Dungun, Terengganu.

Antara syot menarik yang penulis gemari iaitu ketika babak kematian nenek Melor. Ketika itu, syot ombak bergelora yang dirakamkan di pesisir pantai di Dungun, Terengganu begitu menepati petunjuk kematian dan mungkin juga rontaan atau tangisan seorang cucu yang sudah kehilangan tempat bergantung.

Selain itu, terdapat mesej disampaikan secara tersirat oleh Hatta tentang 'pertembungan' antara wayang kulit dan wayang gambar.

Seolah-olah Hatta mahu mengajar penonton supaya tidak membataskan fikiran dan tingkah laku serta semuanya tiada yang mustahil asalkan bertempat.

Hal ini dijelaskan melalui babak Awang Lah mengamuk sehingga menjahanamkan gitar Awi apabila Awi bermain gitar dalam persembahan wayang kulit dan telah melanggar peraturan bermain wayang kulit.

Begitu juga apabila Jusoh melarang Awang bermain wayang kulit kerana permainan ini haram di sisi agama Islam.

Norma-norma lain turut diajar adalah orang yang sempurna tidak sepatutnya membuli orang kurang upaya seperti Jusoh yang suka membuli Awi dan cuba mengambil kesempatan terhadap Melor.

Selain itu, terdapat dialog "lelaki kena keras kerana lelaki perlu menjaga isteri dan anak-anaknya" boleh jadi meminta semua lelaki di luar sana supaya melengkapkan diri dengan ilmu mempertahankan diri.

Mungkin juga secara tersiratnya, mengandungi unsur satira terhadap lelaki lembut.

Banyak perkara yang boleh dikupas dalam filem ini. Tetapi, rasanya lebih baik pergi menontonnya sendiri untuk mengetahui lebih lanjut, merasai dan mendalami apa yang tertulis ini.

Saksikan filem Wayang di pawagam seluruh negara mulai 13 November depan!

Komen penonton:

Pelakon Farid Kamil:

"Sebuah filem yang mampu mengangkat wayang kulit. Wayang menceritakan tentang dalang dalam satu naratif.

"Saya suka naratif dan para pelakonnya."

Produser David Teo:

"Filem ini mengangkat warisan Malaysia. Hatta juga menyelit nilai komersial yang sesuai untuk tontonan semua tidak kira peringkat remaja atau dewasa."

Pelakon Eman Manan:

"Wayang mempunyai banyak irama dan syahdu."

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan