Cicakman 2 libatkan Tamara untuk tembus pasaran Indonesia

Diterbitkan: Rabu, 5 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tamara Blaszenky melakonkan watak Rrama.
Tamara Blaszenky melakonkan watak Rrama.

KEJAYAAN filem Cicakman 1 yang berjaya mencatat kutipan RM 6.7 juta pada 2006, telah mendorong KRU Studios Sdn. Bhd.tampil menghasilkan sekuel terbaru, Cicakman 2-Planet Hitam.

Walaupun masih mengekalkan jalan cerita yang sama, watak Hairi dan Cicakman lakonan Saiful Apek dikupas dengan lebih mendalam dalam sekuel terbaru ini.

Antara pembaruan yang dapat dilihat dalam sekuel baru ini ialah kisah cinta Hairi dengan Tania lakonan Fasha Sandha dan kemunculan semula, Prof Klon lakonan Aznil Nawawi yang cuba menawan Bandar Metrofulus.

Selain pelakon asal seperti Apek, Fasha dan Aznil, KRU juga masih mengekalkan watak Ginger Ghost 1 dan 2 lakonan AC Mizal dan Adlin Aman Ramli.

Sekuel Cicakman 2-Planet Hitam ini turut dibintangi pelakon seperti Sharifah Amani (Iman), Tamara Blaszenky (Rrama) dan Louisa Chong (Miss Cheef).

Pengarah Cicakman 2 - Planet Hitam, Yusry Abdul Halim berkata, sekuel ini diteruskan kerana sambutan hebat yang diberikan terhadap Cicakman meyakinkan mereka untuk melipatgandakan kos produksi penerbitan sekali gus menyerlahkan lagi kualiti filem terbarunya itu.

"Sekuel Cicakman 2 menampilkan kelainan kerana untuk filem ini kami membuat skrip terlebih dahulu dan cuba menghasilkan apa yang terdapat dalam skrip sebaik mungkin.”

”Agak sukar untuk menghasilkan shot-shot aksi dalam filem Superhero kerana kita menggunakan teknik khas ke atas manusia dan bukannya watak yang tidak bernyawa seperti kartun,” katanya.

Menurut Yusry pihak produksi telah menggunakan 800 shot aksi menggunakan teknik janaan komputer (CGI) untuk memperlihatkan unsur realistik sama seperti filem-filem Superhero sedia ada.

"Dalam sekuel kali ini syot-syot dari segi aksi juga ditambah apabila kami mengambil kira formula yang dipakai filem asing lalu diterap dalam produksi ini selain penggunaan CGI yang lebih kompleks membuatkan kos pembikinan meningkat agak drastik," katanya.

Jelasnya, permulaan cerita Superhero ini tidak boleh dipenuhi dengan aksi dari awal hingga ahkir kerana masalah budget.

”Kita perlu jadi realistik, jangan bandingkan filem kita dengan filem superhero dari barat. Kita baru hendak belajar, masih banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya.

Tambahnya, setiap shot aksi yang dilakukan menelan belanja yang besar dan pihak produksi perlu realistik dalam melaksanakan babak-babak aksi dalam filem tersebut.

Menurut Yusry, bagi kostum sekuel Cicakman ini sahaja KRU Studios telah membelanjakan RM50,000 untuk sepasang kostum Cicakman berbanding Cicakman 1 yang menelan belanja RM20,000.

Tambah beliau, kostum tersebut tidak termasuk kos kostum Rrama lakonan pelakon Indonesia Tamara Bleszynki, watak baru yang merupakan kuncu kepada Prof Klon.

"Kami meletakkan sepenuh kesungguhan, malah setiap aspek diteliti dengan terperinci kerana mahu penonton puas apabila menonton filem ini.”

"Kami tidak mempunyai kuasa untuk memaksa penonton menyukai produksi ini tetapi jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, Insya-Allah apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan," katanya mengenai filem yang menelan belanja sekitar RM2.5 juta itu.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata filem ini akan mula menemui penonton di 60 pawagam tanah air pada 11 Disember ini dan akan turut ditayangkan di empat negara Asia Tenggara yang lain iaitu, Brunei, Singapura, dan Indonesia.

”Filem ini akan ditayangkan secara serentak di tiga buah negara, Malaysia, Brunei dan Singapura. Di Indonesia mungkin awal Januari tahun hadapan,” katanya.

Menurut beliau, filem Cicakman 2 perlu menjalani proses alih bahasa dan dirakamkan semula dalam bahasa Indonesia sebelum ditayangkan di sana.

Dalam pada itu ketika ditanya adakah pemilihan pelakon Indonesia Tamara dilihat sebagai salah satu faktor strategi pemasaran, Norman tidak menafikannya.

”Saya tidak menafikannya ini salah satu strategi kami untuk menembusi pasaran negara seberang” katanya.

Pada masa yang sama Norman mensasarkan kira-kira 1 juta penonoton akan menyaksikan sekuel terbaru terbitan syarikatnya itu.

”Jika dalam Cicakman 1 kira-kira 700,000 penonton telah menyaksikannya, kami berharap sekuel terbaru ini mampu menarik lebih 1 juta penonton di pawagam di keempat-empat negara yang akan ditayangkan kelak,” katanya.

Jelas Norman, beliau menyerahkan soal kutipan sepenuhnya kepada penonton kerana mereka yang mempunyai kuasa untuk menilai Cicakman 2 - Planet Hitam.

"Apa yang penting, kita perlu memberi 100 peratus kepuasan kepada penonton supaya mereka memilih untuk menonton filem ini di pawagam.

"Jujurnya kami juga perlu realistik dengan saiz pasaran namun percaya kehadiran produk sampingan turut membantu memperkukuhkan jenama Cicakman," katanya.

Belum lagi ditayangkan, Norman turut membayangkan sekuel Cicakman ini bakal disambung lagi.

”Perancangannya memang sudah ada sehingga sekuel ketiga. Tapi semuanya bergantung kepada penerimaan masyarakat serta pulangan yang diterima daripada filem ini apabila ia ditayangkan kelak,” katanya.

Komen pelakon

Saiful Apek (Cicakman dan Hairi)

Apek yang masih diberi kepercayaan memegang watak Hairi dan Cicakman ini berkata, wataknya dalam sekuel terbaru ini menjadi lebih matang dan memberi cabaran kepada kredibilitinya sebagai pelakon.

”Saya rasa watak Cicakman 2 semakin matang dan filem ini banyak mencabar kredibiliti sebagai pelakon. Saya banyak belajar dalam filem ini,” katanya.

Menurut Apek banyak aksi yang dilakonkannya sendiri menjadi pengalaman berharga kepada diri beliau.

Jelanya, kerjasama daripada para pelakon dalam filem tersebut teutamanya Tamara memudahkan kerja beliau.

”Banyak babak aksi yang dilakonkan sendiri kadang-kadang terlepas juga tumbukan kepada Rrama (Tamara) nasib dia faham lepas saya mintak maaf,” katanya.

Aznil Nawawi (Prof Klon)

Menurut Aznil Nawawi, watak Prof Klon dalam sekuel kali ini menampilkan kelainan apabila dia mempunyai dua karakter yang berbeza.

”Agak sukar untuk melakonkan dua karakter yang berbeza pada masa yang sama tapi bagi saya cukup berpuashati dengan lakonan saya kali ini,” katanya.

Jelas Aznil walaupun pada permulaannya beliau mempunyai masalah bahasa dengan Tamara, namun setelah dia memberi penjelasan kepadanya dia faham mengenainya.

”Agak sukar bila kita kena terangkan kepada dia (Tamara) apabila ada perkataan yang dia kurang faham tapi bila diterangkan ia jadi mudah,” katanya.

Sharifah Amani (Iman)

Watak Iman merupakan watak baru yang diperkenalkan dalam sekuel tebaru Cicakman 2- Planet Hitam. Bagi Sharifah Amani peluang berlakon bersama KRU tidak wajar dilepaskan begitu sahaja.

”Saya memang telah lama ingin berlakon dengan KRU. Saya peminat mereka sejak dulu lagi,” katanya.

Mengulas mengenai watak Iman yang merupakan adik kepada Danny, Amani berkata, beliau selesa membawakan watak tersebut.

”Saya suka menjadi Iman yang buta tapi dalam masa yang sama dia sangat berdikari. Tidak kira apa juga dia cuba lakukan sendiri,” katanya.

Kemantapan lakonan bersahaja para pelakonnya mampu mencuit hati penonton. Jadi, jangan lupa saksikan Cicakman 2-Planet Hitam di pawagam berdekatan di seluruh negara pada 11 Disember ini.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan