Anugerah Skrin 2008- Bonus atau glamour?

Diterbitkan: Rabu, 5 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Antara calon-calon yang bertanding dalam Anugerah Skrin 2008.
Antara calon-calon yang bertanding dalam Anugerah Skrin 2008.

ANUGERAH Skrin 2008 (ASK 2008) pastinya dinanti-nantikan oleh semua artis dan membuatkan ramai yang dicalonkan bagi setiap kategori pertandingan merasai debarannya.

Malam anugerah bertemakan Berlian itu bakal membuka tirainya pada 7 November ini, Jumaat pukul 9 malam di TV3 yang disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Terdapat 22 kategori yang dipertandingkan melibatkan drama, drama rantaian, drama komedi, filem dan penerbitan dalaman.

Antaranya adalah kategori Drama Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Pelakon Wanita Terbaik Drama, Pengarah Terbaik Drama, Lakon TV Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik Filem, Pelakon Wanita Terbaik Filem, Pengarah Terbaik Filem, dan Lakon Layar Terbaik Filem.

ASK 2008 yang sudah mencapai usia 10 tahun ini turut memperkenalkan dua kategori baru iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Calon-calon yang dipertandingkan untuk 22 kategori ini terdiri daripada terbitan yang telah ditayangkan di televisyen dan pawagam mulai 1 Julai 2007 hingga 30 Jun 2008 selain pencalonan drama yang mencatat jumlah penonton yang tinggi mengikut kajian AGB Nielsen dan genre masing-masing.

Melihat telefilem yang dicalonkan, terdapat beberapa buah telefilem dirasakan mampu meraih kemenangan untuk kategori Drama Terbaik.

Antaranya adalah Kehangatan Lantana (Neon Entertainment Sdn. Bhd.), Ihsan (Layar Consult Sdn. Bhd.), Tuhan Pun Tahu (JS Pictures Sdn. Bhd), dan Suara Saleha (Pena Creative Pictures Sdn. Bhd.).

Semasa ASK 2007, kategori Drama Terbaik diungguli oleh telefilem Sebuah Ijtihad terbitan JS Pictures Sdn. Bhd. Begitu juga Pengarah Terbaik yang dimenangi oleh pengarah telefilem tersebut, Azman Yahya atau Jinggo yang juga suami kepada aktres Sheila Rusly.

Menurut penerbitnya, Sheila, ini merupakan kali pertama drama terbitannya memenangi anugerah selepas tiga tahun JS Pictures ditubuhkan.

Jika tahun ini JS Pictures masih dapat mengekalkan kemenangan mereka melalui telefilem Tuhan Pun Tahu, maka anugerah tersebut lebih membuahkan semangat kepada syarikat produksi tersebut dan memberi persaingan yang sihat kepada produksi lain untuk berjaya.

Walaupun tetap mengharapkan kemenangan, namun, penerbitnya, Sheila Rusly tidak kisah jika peluang tersebut diberikan kepada penerbit lain.

Sheila turut berlakon dalam telefilem yang disiarkan oleh TV3 itu di samping aktor Afdlin Shauki.

Menyingkap kategori Pelakon Terbaik, tidak mustahil mereka berdua mempunyai harapan untuk memenangi anugerah tersebut memandangkan lakonan kedua-duanya amat berkesan dan berjaya meninggalkan kesan kepada penonton.

Namun, tidak kurang juga dengan kehebatan pelakon-pelakon lain seperti Ady Putra dan Fasha Sandha melalui telefilem Kehangatan Lantana, Zamarul Hisham dan Kartina Aziz (Ihsan) dan Fauziah Ahmad Daud (Suara Saleha).

Persoalannya, anugerah yang bakal diterima oleh pemenangnya nanti merupakan penghargaan, bonus atau bagi pendatang baru, cukup sekadar menumpang glamour di acara gilang gemilang itu?

Sebelum ini, ada yang menganggap anugerah sebagai bonus dan jika tidak menang tidak mengapa. Mungkin juga dapat memperagakan busana pereka fesyen ternama sudah memadai.

Bagi Sheila Rusly, anugerah bagaikan motivasi kepadanya untuk terus berkarya dalam industri ini dan menghasilkan produk dan lakonan bermutu sekaligus bersetuju pendapat "kalau menang satu bonus dan tak menang tak apa" perlu diubah.

Namun, setelah mendapat anugerah, tidak semestinya dia sudah boleh meletak titik noktah dari menghasilkan produk yang bagus lagi.

"Sebagai anak seni yang sudah sekian lama berkecimpung dalam industri ini, saya inginkan penghargaan tetapi ia tak boleh datang begitu sahaja tetapi ia harus datang melalui usaha dan penat lelah saya. Barulah saya rasa penghargaan itu berbaloi.

"Jadi,sebagai pelakon dan penerbit yang menerbitkan cerita-cerita menarik untuk tontonan penonton, sudah tentu saya inginkan perhargaan oleh pihak yang merasakan saya layak menerimanya.

"Tetapi, penghargaan ini sangat subjektif dan bergantung kepada rezeki masing-masing.

"Kalau tahun ini rezeki tidak berpihak kepada kita, tidak semestinya kita tidak mendapatnya pada tahun depan. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya.

"Pokok pangkalnya, kita kena berusaha dan menghasilkan produk yang berkualiti dan menepati citarasa penonton sekarang," jelas Sheila yang sedang sibuk dengan pengambaran drama bersiri Anak Betung terbitannya untuk disiarkan mulai 26 Januari 2009 di slot Lagenda TV3.

Selama 22 tahun berkecimpung dalam industri ini, Sheila pernah meraih beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia, Anugerah Bintang Popular-Berita Harian dan Anugerah Oskar.

Untuk Anugerah Skrin, kata Sheila, belum ada rezeki lagi.

Bagi filem pula, antara 22 buah filem yang tercalon iaitu Anak Halal, Kala Malam Bulan Mengambang, Cuci, Pensil, Sepi, Congkak dan 1957: Hati Malaya, ada kemungkinan filem yang memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini bakal meraih anugerah Filem Terbaik di ASK 2008.

Sejarah kemenangan filem Cinta terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. yang mengulangi kemenangannya dalam ASK 2007 sebagai Filem Terbaik yang juga memenangi kategori yang sama dalam FFM 20 menguatkan kemungkinan tersebut.

Komen calon-calon lain:

Hans Isaac (Filem Cuci)

"Bagi saya anugerah ini sebagai penghargaan. Maksudnya, ini yang terbaik. Jadi, saya perlu berusaha bukan untuk menang sahaja.

"Jika menang, saya rasa agak susah untuk buat filem kedua nanti kerana orang mesti inginkan yang lebih baik dari yang pertama.

"Kali ini saya merupakan kali pertama saya dicalonkan dalam Anugerah Skrin sebagai pelakon, pengarah dan penerbit.

"Saya jangka ASK 2008 nanti akan lebih menarik daripada tahun sebelumnya kerana saya akan menghadiri majlis tersebut bersama semua team saya yang berlakon dalam Cuci."

Ady Putra (Telefilem Kehangatan Lantana dan filem Akhirat)

"Sama sahaja sama ada anugerah itu adalah penghargaan atau bonus kerana saya buat untuk semua.

"Secara dasarnya, saya rasa semua yang tercalon adalah yang terbaik dan sudah menang.

"Saya harap biarlah ASK 2008 ini menjadi satu malam penghormatan kepada penggiat seni yang lebih lama dari saya kerana mereka lebih dikenali dalam industri ini."

Maya Karin (Filem Anak Halal, Duyung, 1957: Hati Malaya)

"Saya anggap anugerah ini sebagai bonus apabila dicalonkan sekali lagi dalam ASK 2008, Alhamdulillah.

"Saya jangka majlis ini akan berjalan dengan baik kerana jika kita lihat promosi yang dilakukan juga sangat rancak dan menunjukkan kesan yang positif. Insya-Allah, saya akan menyampaikan anugerah untuk kategori Pelakon Pembantu Terbaik Filem."

Begitulah perasaan, jangkaan dan pendapat yang diberikan oleh beberapa calon yang dijangka menjadi finalis ASK 2008.

Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada juri kerana citarasa dan pendapat mereka berbeza.

Nantikan Anugerah Skrin 2008 di TV3 pada 7 November ini, Jumaat pukul 9 malam!

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan