Isteri Aziz rujuk status perkahwinan di Mahkamah

Diterbitkan: Isnin, 3 November 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aziz, Dhia dan Afida (kanan) ketika menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.
Aziz, Dhia dan Afida (kanan) ketika menghadiri Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Selepas lebih sebulan tidak dapat menghubungi Aziz M. Osman, akhirnya Nor Radhiah Ramli dapat berbual dengan suaminya melalui corong telefon semalam.

Perbualan kira-kira satu jam itu berlangsung dalam keadaan baik dan lebih berkisarkan masalah perkahwinan mereka yang menjadi perbualan hangat sekarang.

Apa yang pasti, menurut Dhia, suaminya yang juga produser filem dan drama itu mengetahui tentang kunjungannya ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu hari ini.

"Semalam, baru saya berpeluang berbincang dengan dia kerana sebelum ini agak sukar sedikit. Dia tahu saya nak pergi mahkamah untuk mencari penyelesaian terbaik dan keputusan yang paling tepat. Lagipun, dia sangsi dengan perkahwinan ini dan dia tidak mengambil apa-apa tindakan serta berjumpa dengan sesiapa.

"Sebab itu saya ambil keputusan untuk berjumpa dengan pihak agama dan saluran yang betul. Saya telahpun pergi ke mahkamah hari ini. Biarlah semuanya ditentukan oleh mahkamah dan ada keputusan hitam dan putih. Selepas itu, barulah kita boleh tentukan sama ada saya masih isteri dia atau tidak," kata Dhia ketika dihubungi.

Hari ini, Dhia berkunjung ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu untuk menguruskan kes status perkahwinannya.

Menurut Dhia, selepas perbincangan dilakukan, hakim telah memutuskan supaya dia mengisi borang permohonan pengesahan perkahwinan.

"Selepas ini, perbicaraan selanjutnya akan diadakan sehingga keputusan sama ada perkahwinan saya sah atau tidak dicapai.

"Tak tahu lagi bila. Saya tunggu sehingga pihak mahkamah panggil semula," ulas Dhia yang sudah tiga bulan mendirikan rumah tangga bersama Aziz.

Semalam, Dhia mengaku dirinya masih sah bergelar isteri Aziz, 46 kerana produser tersebut belum menjatuhkan talak terhadapnya.

Ustazah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Sulaiman 2, Kuala Terengganu itu juga sudah meminta kepastian daripada mahkamah tersebut mengenai status perkahwinannya yang mengatakan pernikahan dengan Aziz masih sah.

Menurut Dhia, perkahwinannya yang pertama dahulu sudah terbatal selepas mendapat surat daripada mahkamah pada 28 Julai lalu.

Bercerita tentang perkahwinannya terdahulu, Dhia telah melangsungkan pernikahan secara 'senyap-senyap' di Kota Bharu, Kelantan pada 4 April 2008. Perkahwinan mereka tidak sah mengikut hukum syarak kerana jurunikah itu tidak diiktiraf dan pernikahan mereka dilakukan secara wali hakim tanpa pengetahuan ibu bapa. Difahamkan jurunikah terbabit melaksanakan akad nikah itu di luar bidang kuasa istiklaf, iaitu bukan dalam wilayah Narathiwat, Thailand.

Dhia juga mengakui kesilapannya. Katanya, tidak perlulah dihebahkan terlalu banyak tentang kisah silamnya itu. Cukuplah sekadar mengetahui yang dirinya pernah berkahwin dan perkahwinan itu tidak sah.

"Kalau tak sah, macam mana nak ada edah. Itu yang saya musykil sebab Aziz tahu segala-galanya dan tiada niat untuk menipunya. Mungkin ibunya tidak tahu dan timbullah salah faham ini. Jadi, buat masa ini saya ambil tindakan tidak menghubungi bonda (Afida Es) kerana hal ini masih 'panas'. Tengoklah dalam dua atau tiga hari lagi baru saya akan hubungi dia," tambah Dhia.

Dhia memgeluarkan kenyataan selepas ibu mertuanya, Afida Es mendakwa perkahwinannya dan Aziz tidak sah kerana dia masih dalam tempoh edah selepas bercerai dengan suaminya.

"Memang hal ini tidak dibincangkan langsung sebelum ini. Itu yang saya pelik kenapa tiba-tiba keluar kenyataan tersebut. Tapi, saya tak boleh salahkan dia 100 peratus sebab mungkin dia tak tahu perkara sebenar. Jadi, selepas dapat tahu berita tersebut, terus saya berjumpa dengan pegawai agama di Pejabat Agama daerah," luah Dhia yang merasakan sedikit tertekan apabila mengetahui berita tersebut.

Walaupun hatinya sudah 'hancur', Dhia berkata semuanya mungkin terjadi atas kehendak Tuhan yang ingin memberi pengajaran kepadanya setelah melakukan kesilapan lepas.

Apa yang pasti, Dhia mula merasai perubahan dalam diri Aziz selepas mereka pulang dari Bali, Indonesia.

"Masa tu masih tiada apa-apa dan perhubungan kami masih baik. Pada Hari Raya kedua, keluarganya minta kami tinggal berasingan buat sementara waktu bagi mengesahkan hal ini kerana dia dan keluarganya ragu-ragu. Sejak dari hari itu, dia terus mendiamkan diri. Saya tunggu juga tindakan yang mereka lakukan.

"Walaupun dia tak balas SMS dan jawab panggilan, saya tetap telefon dan SMS untuk berbincang.

"Saya rasa terkilan namun masalah ini tetap perlu dihadapi," ujar Dhia tabah.

Dalam pada itu, Aziz pula berkata, dia tidak bercerai dengan Dhia kerana perkahwinan mereka tidak sah.

"Mana ada bercerai? Tiada cerai kerana benda (perkahwinan) tak berlaku. Jadi, macam mana nak bercerai," kata Aziz yang berada di Pulau Langkawi, Kedah ketika dihubungi semalam.

Aziz sedang sibuk menjalani pengambaran filem My Spy arahan Afdlin Shauki di sana.

Bagamanapun Aziz enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan ibunya yang dikeluarkan sebuah akhbar pada Ahad lalu.

"Buat masa ini, saya tidak akan membuat apa-apa kenyataan. Saya tidak akan memberi apa-apa komen. Hal ini masih dalam pemerhatian melainkan ada pihak yang berkuasa mengesahkan hal itu baru boleh beri kenyataan.

"Ia bukan sahaja melibatkan saya seorang tetapi juga orang lain," jelas Aziz yang masih membuat sitkom Fara musim ketiga yang bakal disiarkan di TV3 mulai 11 November ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan