Tribute khas Inpirasi PRamlee sentuhan Adlin dan rakanrakan

Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PROGRAM, projek mahupun segmen istimewa yang didedikasikan khas buat seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sudah banyak dihasilkan setakat ini.

Rata-rata pihak mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan seniman itu yang sentiasa menjadi ikon industri hiburan tanahair.

Berbeza pendekatan, namun apa yang pasti semuanya dibuat sebagai satu cara untuk menghargai jasa dan pengalaman beliau terhadap industri ini sepanjang hayatnya dulu.

Terbaru, Astro Prima dengan kerjasama Trinini Media milik pelakon, pengarah dan penulis skrip terkenal Adlin Aman Ramli bakal muncul dengan sebuah projek dikenali sebagai 'Inspirasi P.Ramlee' yang akan mempersembahkan lima buah telefilem adaptasi istimewa yang diinspirasikan daripada beberapa buah filem seniman itu sepanjang November ini.

Adlin sendiri telah diberi kepercayaan untuk menerbitkan telefilem-telefilem tersebut bersama gandingan hebat pengarah-pengarah lain iaitu Afdlin Shauki, Adman Salleh, Dain Iskandar Said dan Al-Jeffry yang akan mula disiarkan di saluran itu setiap Ahad, jam 10 malam bermula 2 November ini.

Lima buah karya beliau yang diberi 'sentuhan' baru oleh pengarah-pengarah ini ialah Babak Empat Madu Tiga arahan Adlin, Orang Minyak Naik Minyak (Afdlin Shauki), Senandung Malam (Dain Iskandar dan Al-Jeffry), Misteri Penarek Becha (Adman Salleh) dan Sonata Labu Labi (Adlin).

Mengulas mengenai idea tersebut, kata Adlin, ia tercetus setelah pihak Astro Prima sendiri yang sering menayangkan semula filem-filem P.Ramlee di saluran itu ingin menghasilkan kelainan terhadap siaran filem-filem seniman itu.

"Kami berbincang tentang projek ini dan merasakan ia satu kelainan yang cukup menarik. Pada peringkat awal, pengarah-pengarah ini ada juga bertanya sejauh mana mereka boleh hasilkan karya mereka sendiri yang turut menyelitkan karya P.Ramlee itu.

"Dari mula lagi saya sudah bertanyakan kepada mereka (pengarah), filem P.Ramlee yang mana ingin mereka buat semula jika diberi peluang. Hasilnya, setiap pengarah tampil dengan cara tersendiri dan terpulang kepada mereka elemen apa yang mereka ingin ketengahkan di dalam telefilem masing-masing.

"Sebagai contoh, Babak Empat Madu Tiga boleh dikatakan 60 peratus jalan ceritanya menyamai filem Madu Tiga manakala 40 peratus adalah cetusan saya sendiri.

Bagi Senandung Malam pula, ia sebenarnya berkisar daripada idea filem Bujang Lapok, tetapi kelainannya di sini ialah pengarahnya hanya fokus kepada satu watak saja iaitu Sudin.

"Secara keseluruhannya, kelima-lima telefilem ini sememangnya menampilkan variasi. Ada komedi, serius dan sebagainya," kata Adlin pada majlis pelancaran projek tersebut di Matic, Kuala Lumpur, semalam.

Antara pelakon yang menjayakan lima buah telefilem ini ialah Afdlin Shauki, Emelda Rosmila, Que Haidar, Nabil Raja Lawak, Jue Aziz, Atilia, Musly Ramlee, Khir Rahman dan Adlin sendiri.

Tambah Adlin lagi, dia tidak kisah andai kata ada pihak yang melabelkannya sebagai menumpang karya seniman itu kerana apa yang penting, dia dan pengarah-pengarah lain telah melakukan cara tersendiri sebagai kelainan untuk disajikan kepada penonton.

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya telah pun mendapat kebenaran daripada pihak-pihak tertentu untuk menghasilkan projek tersebut. Malah, saluran itu sejak awal lagi telah pun mendapat lampu hijau untuk menayangkan filem-filem P.Ramlee mahupun inovasi karya-karya beliau.

Kata Khairul lagi, mengikut perancangan, telefilem tersebut sepatutnya ditayangkan pada Hari Raya, namun mengambilkira jadual dan siaran program-program lain yang cukup padat pada perayaan itu, mereka bercadang untuk membawanya ke bulan November.

"Astro Prima memang terkenal dalam menyediakan kandungan-kandungan tempatan khusus disasarkan untuk tontonan penonton Melayu seisi keluarga dan kita tidak mahu ketinggalan menawarkan program-program menarik yang dapat membri kesan di hati penonton.

"Disebabkan itu, kami berbesar hati untuk mengangkat bulan November sebagai bulan tribut khas filem-filem P.Ramlee. Istimewanya kali ini, lima buah filem daripada karya hebat beliau telah dirakam semula dengan sentuhan kreatif pengarah-pengarah tempatan.

"Selain itu, tribut khas ini juga akan diserikan lagi dengan rancangan bual bicara Hore Hore Hore yang dihoskan oleh Musly Ramlee, pelakon utama P.Ramlee The Musical," kata Khairul.

Hore Hore Hore telah pun memulakan siaran pertamanya 27 Oktober lalu dan ia akan disiarkan setiap Isnin pada jam 9 malam.

Program terbitan Enfiniti Productions ini akan membincangkan topik-topik hangat bersama artis-artis jemputan sambil disajikan dengan sketsa komedia dan persembahan lagu malar segar yang diberi nafas baru serta diiringi oleh penari-penari hebat di bawah bimbingan koreografer Pat Ibrahim.

Set program bual bicara ini juga akan membawa penonton mengimbas kembali kegemilangan zaman Jalan Ampas termasuklah penampilan tiga orang gadis yang memegang watak ala gadis kabaret.

Antara artis-artis yang diundang ialah Ning Baizura, Datuk Aziz Sattar, Erra Fazira, Vanida Imran, Ida Nerina, Adlin Aman Ramli dan Liza Hanim

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan