Nas Adila bergelar isteri selepas bertunang dua tahun

Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIAPA sangka penyanyi yang terkenal dengan irama etnik kreatif, Nas Adila Mohd. Dan, 22 bertemu jodoh dengan kerabat diraja Kedah, Putera Megat Azizul Azree Datuk Baharin, 30.

Sejak dipertemukan dalam program 'Tempur Tanpa Senjata (TTS)' yang berkonsepkan taekwondo kira-kira empat tahun lalu, hubungan mereka semakin rapat selepas dua tahun mengenali dan kini Nas bergelar tunangan Azizul.

Pada 26 Oktober lalu, Nas ditunangkan dengan Azizul di kediamannya di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Selain majlis pertunangan, ia juga merupakan rumah terbuka Aidilfitri untuk kenalan, peminat dan media. Seramai 500 orang tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

Pengalun lagu Celik-Celik ini menerima tujuh dulang hantaran berupa beg tangan dan dompet, cincin dan jam tangan, set wangian, alat solek, telekung sembahyang, sirih junjung dan kek.

Sementara Azizul pula menerima sembilan dulang hantaran, antaranya adalah baju kemeja dan tali leher, kasut, sejadah, puding, kek, coklat, sirih junjung dan set wangian.

Bercerita mengenai saat pertemuan Nas dan Azizul, kata Nas, dia mengenali Azizul melalui abang angkat masing-masing.

"Pencipta lagu Istana Janji, Steve Jerat yang menemukan kami berdua. Kebetulan masa hari tu, wartawan nak buat sesi fotografi saya selain daripada menyanyi. Saya belajar TTS dengan Steve dan Azizul juga merupakan anak didiknya.

"Dari situ, saya mengenalinya dan menganggap Azizul seperti abang angkat saya. Saya juga banyak berkongsi cerita yang best dan tidak. Selepas dua tahun berkenalan, baru kami rapat," ujar Nas.

Sebelum ini, media pernah mengaitkan diri Nas dengan penyanyi Adam AF2. Kata Nas, semasa cerita dia dan Adam tersebar, hubungannya dengan Azizul sedikit tergugat.

Biasalah jika sudah sayang, perasaan cemburu pasti terbit. Nas juga sudah menjelaskan yang dirinya dan Adam hanya berkawan.

Segoyah bagaimanapun, pelbagai dugaan dan cabaran yang diterima Nas pasti ditempuhi bersama Azizul. Kata Nas, dia juga sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk bergelar tunangan Azizul.

"Antara faktor yang membuatkan saya menerima dia sebab dia selalu memberi sokongan dan memahami kerjaya saya. Selepas saya dikaitkan dengan Adam, kesungguhannya terhadap saya semakin jelas. Mungkin sebab itulah dia cepat-cepat merisik saya. Tetapi saya sudah katakan padanya yang saya masih muda, 22 tahun. Jadi, sebab itu saya minta tempoh pertunangan ini selama dua tahun," beritahu Nas.

Tambah tunang kepada ahli perniagaan ini, majlis merisiknya juga berlangsung dengan suasana yang mengejutkan apabila keluarganya didatangi oleh dua buah kereta diiringi polis trafik.

"Sebulan sebelum rombongan merisik yang pertama, kami tidak pernah berhubung kerana saya dan dia sibuk dengan urusan masing-masing. Suatu hari, saya menerima panggilan daripada seseorang yang ingin datang rumah membincangkan tentang persembahan.

"Pada 29 Ogos lalu, kunjungan pelakon Datin Lydiawati bersama suaminya dan rombongan yang mewakili Azizul datang merisik saya. Dalam perbincangan yang dilakukan, saya meminta tempoh dua minggu untuk memikirkannya.

"Saya ni jenis yang utamakan keluarga. Kalau famili suka, itulah pilihan saya. Setelah berbincang dengan mereka selama dua minggu, tiada alasan saya hendak menolaknya dan kami menerima kunjungan rombongan merisik daripada keluarga Azizul pula," jelas Nas.Melihat kepada tempoh pertunangannya, Nas akui ramai yang berpendapat dalam tempoh tersebut, pelbagai dugaan yang dia dan Azizul bakal hadapi.

"Tetapi saya yakin, dugaan ini ada di mana-mana. Kalau kahwin pun ada dugaan juga. Jadi, saya akan cuba kukuhkan dan menjaga hubungan ini sebaik mungkin.

"Dah banyak dugaan yang saya hadapi sebelum ini. Ada yang kata saya pilih dia sebab harta, jika saya bertunang awal nanti kerjaya tersekat, tetapi saya percaya yang dia tidak akan mensia-siakan saya.

"Saya tidak pernah pun mimpi dan terfikir untuk menerima orang kerabat. Tapi sepanjang berkawan, dia tak pernah timbulkan masalah. Ada juga gaduh tetapi masalah timbul daripada saya. Mungkin disebabkan saya lebih muda daripada dia.

"Saya nampak kesungguhan dia. Apabila dia datang merisik ikut adat, saya nampak dia betul-betul ikhlas dan membuatkan saya percaya dengan dia. Dia bagi sokongan dan tenangkan saya. Dia juga tidak menghalang saya untuk meneruskan kerjaya nyanyian selepas ini," luah Nas.

Apabila ditanya apakah kriteria yang ada dalam diri Nas sehingga berjaya mencuri hati lelaki itu, Nas pada mulanya segan untuk memberitahu kerana bimbang sekiranya dikatakan 'masuk bakul angkat sendiri'.

Menurut Nas, Azizul terpikat dengan kelembutan dan cara dia taat dengan kedua ibu bapanya.

Tambah Nas, walaupun dia bakal beristerikan seorang ahli perniagaan yang berstatuskan kerabat, mereka berdua akan sama-sama bekerja kuat.

"Saya akan terus menceburi bidang seni ini sebagaimana saya meminati Datuk Yusni Hamid. Saya nak menyanyi selagi mampu dan diterima. Saya ingin bawa pelbagai jenis konsep dan versatil. Sekarang, saya sedang membuat single berentak etnik kreatif yang dijangka keluar hujung tahun ini. Saya lebih suka mengeluarkan single sahaja berdasarkan pasaran sekarang.

"Setakat ini, kerjaya saya dalam keadaan baik. Saya rasa peminat sekarang pun dah pandai menilai dan mereka lebih suka jika kita berterus-terang," beritahu Nas bercita-cita untuk melangsungkan perkahwinannya di sebuah dewan memandangkan kawasan rumahnya kecil dan tidak mampu menampung jumlah orang ramai.

Bertanya tentang persediaan Nas sebelum meniti alam rumahtangga, katanya, dia akan mempelajari masakan lebih-lebih lagi cara memasak makanan kegemaran bakal suami selain persediaan mental dan fizikal yang dipelajari daripada keluarga.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan