IMTM Pengunduran Awal beri laluan kepada Zul Huzaimy

Diterbitkan: Jumaat, 24 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

APABILA Awal Ashaari membuat keputusan untuk menarik diri daripada Impak Maksima The Musical (IMTM) tatkala sesi latihan giat dijalankan sempena pementasannya yang bakal bermula pada 11 November ini, banyak pihak tertanya-tanya siapakah aktor yang layak untuk menggantikan tempat pelakon dan pengacara popular ini.

Ketika persoalan siapakah pelakon lain yang dilihat mampu memegang watak Ayie itu masih belum terjawab, seorang lagi pelakon utama teater ini, Jue Aziz turut mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana sukar memberikan komitmen sepenuhnya terhadap produksi ini, faktor sama yang membuatkan Awal juga perlu berbuat demikian.

Apapun, pengunduran dua bintang utama IMTM itu dilihat tidak akan menjejaskan perjalanan produksi tersebut.

Setelah perbincangan dibuat oleh pengarahnya, Ahmad Idham bersama tenaga kreatif IMTM yang lain seperti Zul Huzaimy selaku Pengarah Artistik dan Den Wahab sebagai Penyelaras, mereka memutuskan untuk mengolah sedikit jalan cerita teater ini dan membuat keputusan untuk tidak menggunakan watak Ayie untuk pementasan ini.

Sebaliknya, peranan tersebut ditukar kepada watak DK (Drift King) yang bakal ditunjangi oleh Zul Huzaimy sendiri manakala watak Ika yang sepatutnya dibawakan oleh Jue, diserahkan kepada bintang Akademi Fantasia musim kedua, Zarina.

"Kita tidak cari pengganti untuk watak Ayie, sebaliknya kita wujudkan watak lain iaitu DK dan kita kembangkan lagi karektornya. Ayie sudah begitu sinonim dengan Awal sejak daripada filem Impak Maksima sehinggalah dalam bentuk drama bersiri.

"Sebenarnya, saya ingin panggil pelakon lain untuk bawakan watak DK ini, tetapi setelah saya, Idham dan tenaga kreatif lain berbincang, mereka merasakan watak ini lebih elok dimainkan oleh pelakon yang pernah membintangi mana-mana produksi Impak Maksima sama ada filem atau drama bersiri.

"Setelah berfikir, akhirnya saya setuju untuk bawakan watak DK itu," ujar Zul yang ditemui pada majlis pratonton sedutan teater itu di Istana Budaya (IB), semalam.

IMTM yang diterbitkan oleh Excellent Pictures dengan kerjasama IB dan Global Network Entertainment ini akan dipentaskan di IB bermula 11 hingga 22 November depan.

Selain Zul dan Zarina, teater ini juga turut dijayakan oleh Adeep Fabulous Cats, Dynaz, Zed Zaidi, Dina Malaysian Idol, Rosli dan Mohd Zulfarqar (Belalang). Cat Farish pula bertindak selaku Pengarah Muzik untuk teater ini manakala Belalang turut dipertanggungjawabkan sebagai koreografer.

Ditanya sama ada dua peranan yang dipikul sebagai pelakon dan Pengarah Artistik itu membebankan dirinya, Zul akui sudah mula merasakan tekanan itu.

Namun begitu, pelakon yang sudah lama bergiat di dalam bidang teater ini tidak merasakan itu satu masalah besar buat dirinya kerana objektif Zul adalah ingin melihat projek teater muzikal ini berjaya.

"Memang terasa bebannya, tetapi pada masa yang sama ia menyeronokkan. Kalau asyik buat benda senang saja pun, tak seronok juga. Saya ambil cabaran ini dan cuba buat sebaik mungkin apatah lagi kerana pelakon-pelakon juga perlu menyanyi dan menari dalam teater ini.

"Adeep Fabulous Cats banyak mengajar kami semua dari segi vokal dan sekarang ini saya sedang giat berlatih lagi untuk cuba menyanyi dengan penuh ekspresi.

"Dari segi penghayatan watak, saya tidak begitu risau. Saya beruntung kerana saya terlibat di dalam produksi ini sejak idea ini tercetus di awalnya. Jadi, segala jalan ceritanya saya sudah tahu dan tidak ada masalah untuk mendalaminya.

"Lagipun, watak saya bukanlah dominan sangat kerana kami cuba seimbangkan semua watak yang ada di dalam teater ini. Jadi, sejujurnya pada saya, semua watak tersebut adalah penting, bukan terletak pada DK saja," kata pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM20) baru-baru ini.

Dalam pada itu, pengarahnya Ahmad Idham berkata, dia tidak menghadapi masalah besar apabila dua pelakonnya, Awal dan Jue menarik diri daripada IMTM.

Bagi Idham, dia amat terharu apabila Zul sudi melakonkan watak DK itu walaupun pada masa yang sama perlu memainkan peranan sebagai Pengarah Artistik.

"Saya yakin Zul tidak ada masalah bawakan watak tersebut. Selama ini dia memang dikenali dengan label 'Impak Maksima' setelah muncul di dalam versi filem dulu. Tentang Awal dan Jue, saya hormat keputusan mereka tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap produksi ini.

"Apa yang penting bagi saya ketika ini ialah untuk memastikan teater ini nanti berjalan dengan lancar. Persediaan hampir lengkap," kata Idham.

Bercerita tentang persiapan dari segi set, ujar Idham, perkara itu juga hampir lengkap terutamanya untuk set aksi 'drift'.

"Untuk pementasan itu, kita akan bawa empat buah kereta di atas pentas tetapi hanya satu saja yang akan digunakan untuk 'drift'. Motor untuk aksi rempit juga akan dibawa sebanyak 10 buah.

"Saya tahu, ramai yang ingin melihat bagaimana aksi 'drift' itu dilakukan di atas pentas. Apa yang boleh saya katakan, hanya lebih kurang tiga babak saja yang menunjukkan aksi 'drift' itu, selebihnya saya gabungkan dengan corak persembahan yang lain," kata Idham yang akui gembira apabila TV3 juga bersetuju menjadi media rasmi untuk IMTM.

Jenama tayar Goodyear dan Echopark juga merupakan antara penaja teater ini.

Tiket-tiket berharga RM20, RM30, RM50, RM80, RM120 dan RM150 untuk menonton teater muzikal ini boleh didapati di kaunter box office Istana Budaya atau dibeli secara online menerusi laman web www.ticket2u.biz

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan