Isu Shah Rukh Khan dikurnia Datuk dikemuka dalam mesyuarat KPKKW hari ini

Diterbitkan: Rabu, 15 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Surat bantahan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengenai isu aktor Bollywood Shah Rukh Khan dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk akan dikemukakan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dalam mesyuarat kementerian tersebut hari ini.

Kata Timbalan Ketua Setiausaha KPKKW, Datuk Nor Azmal Mohd. Nazir selepas upacara penyerahan surat bantahan tersebut oleh Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof di pejabat Finas, Hulu Kelang, petang semalam.

"Saya akan usulkan isu ini dalam mesyuarat bersama Menteri Datuk Mohd. Shafie Apdal," ujarnya yang enggan mengulas lanjut berhubung hal itu.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang kandungan surat bantahan tersebut, Mustapha berkata ia mengandungi luahan isi hati Seniman seperti yang diperkatakan dalam sidang media bantahan mereka pada dua hari lalu.

Isnin lalu, Mustapha menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanahair terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu.

Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.

Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek atas sumbangan mereka kepada industri filem dan seni tanah air.

"Kami akan menunggu apa-apa keputusan yang diberikan oleh kementerian dan tidak akan melakukan sesuatu tindakan 'kasar' sebaliknya membuat secara aman damai," ujar Mustapha apabila ditanya tentang tindakan mereka dalam mengusulkan isu tersebut.

Selain Mustapha, ramai dikalangan penggiat seni yang turut meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan mempersoalkan kriteria Shah Rukh Khan lebih layak menerima anugerah tersebut berbanding artis-artis veteran tanahair yang lebih banyak berjasa kepada industri hiburan ini.

Antara mereka adalah pelakon Harun Salim Bachik, Ahmad Idham, Datuk Aziz Sattar, Jalil Hamid, Arash Mohamad, Rahim Jailani, Mas Omar, Zulkifli Zain, Normala Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, Rena Tan, Rusdi Ramli dan pengarah Anwardi Jamil.

Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan