Bollywood tiada yang percuma

Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TIADA istilah percuma dalam produksi filem Bollywood termasuklah pengambaran filem mereka di luar negara.

Kata produser dan pengarah filem Anwardi Jamil, produksi filem Bollywood tidak akan mengeluarkan duit sendiri apabila melakukan penggambaran di Malaysia selain menggunakan duit kerajaan.

"Jadi, memang tak patut jika Shah Rukh Khan dengan mudah mendapat gelaran Datuk setelah berlakon dalam enam klip video di Melaka sahaja.

"Tetapi, kerajaan negeri Melaka sepatutnya menganugerahkan Darjah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada produser filem One Two Ka Four lakonan aktor popular itu jika mereka betul-betul menghargai jasa filem yang telah mempromosikan Melaka itu.

"Saya rasa kerajaan negeri itu tak faham strategi Bollywood membuat filem. Mereka akan membuat filem menggunakan lokasi di luar negara apabila dipanggil dan dibayar oleh sesuatu pihak itu.

"Sama seperti majlis anugerah International Indian Film Academy (IIFA yang dilakukan sebanyak dua kali di Malaysia juga ditanggung oleh kerajaan Malaysia sendiri," kata beliau pada sidang media di pejabat Finas semalam.

Kira-kira 20 artis yang melakukan bantahan dengan penganugerahan tersebut kerana mereka tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan sempena ulang tahun ke-70 hari kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob minggu lalu.

Antara artis berkenaan ialah Presiden Seniman Datuk Mustapha Maarof, pelakon Harun Salim Bachik, Ahmad Idham, Datuk Aziz Sattar, Jalil Hamid, Arash Mohamad, Rahim Jailani, Mas Omar, Zulkifli Zain, Normala Omar, Datuk Jalaluddin Hassan, Rena Tan dan Rusdi Ramli.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.

Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini.

Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.

Semalam, Presiden Seniman Datuk Mustapha Maarof menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.

"Kami bukanlah terdesak dengan kementerian dan kerajaan negeri, tapi kami harapkan keadilan," katanya.

Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek atas sumbangan mereka kepada industri filem dan seni tanah air.

"Ikutkan, anak seni dan karyawan belakang kamera juga mempromosi bukan sahaja Melaka malah negara kita tetapi kenapa mereka tidak diberi perhatian.

"Kita harap mereka yang berjaya juga mendapat anugerah itu," ulasnya lagi.

Menurut Mustapha, Seniman akan menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kira-kira pukul 5 petang ini di pejabat Finas, Hulu Kelang.

Dalam pada itu, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan berkata, berita penganugerahan pangkat Datuk kepada Shah Rukh Khan memberikan kesan berbeza iaitu sensitif dan menyeronokkan kepada sesetengah orang.

"Saya rasa berita ini menjadi sesuatu yang sensitif kepada penggiat seni tanah air.

"Saya memandang sebagai perkara sensitif dan hak budibicara setiap negara dan kita harus menghormatinya. Saya faham apa perasaan artis kita. Penggiat seni harus diberi pengiktirafan.

"Kita juga berjuang untuk mempertingkatkan seni dan memahami budaya seni tanah air yang secara tidak langsung memelihara budaya majmuk kita serta seluruh rakyat Malaysia agar aman damai.

"Tetapi, mungkin berlaku pertikaian apabila peminat Shah Rukh Khan berasa bangga dengan penganugerahan ini. Jadi, susah kita hendak pertikaikan," kata beliau.

Tambahnya, pelakon veteran telah banyak berjasa dalam menaikkan karya seni tanah air.

"Diharap semua pihak dapat berbincang dengan damai dan budi bahasa kerana hal ini melibatkan kerajaan negeri. Kita boleh luahkan permasalahan ini tetapi dengan cara yang bijak.

"Saya rasa orang yang lebih berpengalaman seperti Datuk Aziz Sattar, Tan Sri Jins Shamsudin dan Datuk Mustapha Maarof perlu lebih lantang dalam menyuarakan hal ini," nasihat Jalal.

Apa kata pelakon lain

Datuk Aziz Sattar: "Isu memberi anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan ini ibarat kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan.

"Tiga tahun lalu, saya ada mengarah telefilem Father lakonan pelakon Bollywood Kabir Bedi yang sudah disiarkan. Dia begitu terkenal di sini. Barangkali pihak tertentu minat kepada Shah Rukh Khan. Saya akui itu hak kerajaan tetapi kami juga memperjuangkan artis kita."

Ahmad Idham: "Apabila saya melihat akhbar pagi Sabtu lalu, saya rasa macam kena tampar, apa ini?

"Saya macam badut atau kita macam main-main dalam industri hiburan ini? Kita selalu meuar-uarkan tema 'Filem Kita Wajah Kita'. Kalau nak kata bawa filem ke luar negara, filem saya pun bersepah dibawa ke luar negara.

"Apa yang saya tahu, belum pernah lagi artis berhak menentukan lokasi pengambaran filem atau drama."

Arash Mohamad: "Memanglah orang yang menonton filem One Two Ka Four mengenali Melaka, tetapi persoalannya adakah mereka datang ke negeri tersebut?

"Alasan itu membuatkan kami kecil hati. Kami bukan cemburu sebab tak dapat anugerah itu tetapi apa revelannya memberi kepada dia?"

Jalil Hamid: "Saya mewakili aktivis-aktivis yang aktif dalam industri ini terasa sangat seperti melukut di tepi gantang"

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan