Kisah manusia miliki superpower dalam Klon Teja

Diterbitkan: Khamis, 9 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA siri popular di luar negara, Heroes, berjaya mengumpul peminatnya di negara ini, sebuah drama bersiri terbitan produksi tempatan, Tall Order Productions milik pengarah dan pelakon Hans Isaac berjudul Klon Teja juga dijangka mampu mempunyai tarikan tersendiri.

Mengenengahkan elemen 'superpower' atau kuasa luar biasa seperti mana siri Heroes, tetapi kelainannya Klon Teja menampilkan gaya tersendiri dengan menghasilkan jalan cerita yang relevan dengan masyarakat Malaysia.

"Saya akui, memang wujud sedikit persamaan dari segi 'superpower' dengan siri Heroes. Memang idea itu pun tercetus kerana siri popular itu.

"Tetapi apa yang kita paparkan menerusi Klon Teja berbeza di mana kita banyak masukkan elemen yang bersesuaian dengan masyarakat kita.

"Jalan ceritanya berbeza sama sekali. Bagi saya, tidak timbul isu ciplak atau ebagainya kerana jika kita lihat, rata-rata negara mempunyai cerita superhero mereka sendiri.

"Filem Fantastic Four juga memaparkan kisah kuasa luar biasa, tetapi caranya berbeza.

"Apapun, secara peribadi, jika ada yang beranggapan drama Klon Teja ini tidak jauh bezanya dengan Heroes, saya tidak kisah. It's good anyway," ujar Hans yang ditemui pada majlis pelancaran drama tersebut di Bukit Kiara, baru-baru ini.

Hans bertindak selaku penerbit drama bersiri 26 episod ini manakala pengarahnya pula ialah Khalid Shamsuri atau lebih dikenali dengan panggilan Arab.

Drama yang bakal ditayangkan di Astro Prima ini menampilkan pelakon-pelakon muda sebagai tunggak utamanya iaitu Nazim Othman, Balkisyh, Ummi Nazeera dan Anding.

Turut menjayakan Klon Teja ini antara lain ialah Shaharuddin Thamby, Vanidah Imran, Khir Rahman, Afidah Es, Yalal Chin, Aznah Hamid dan Along Raja Lawak.

Penggambaran untuk drama bersiri ini bakal bermula pada 11 Oktober di sekitar Kuala Lumpur dan Melaka.

Secara ringkasnya, kisah Klon Teja bermula dengan rahsia kekuatan Hang Tuah dan juga rahsia persembunyian harta kesultanan Melayu Melaka telah lama tersimpan di dalam kalung Teja yang dahulunya diwarisi oleh Tun Teja.

Kerana tamakkan kuasa yang tersembunyi, kalung Teja sering menjadi perebutan sehingga kalung tersebut terbelah dua. Sehingga hari ini, ramai waris mahu mencari kedua-dua kalung Teja untuk dicantumkan semula bagi mencungkil rahsia tersembunyi dan seterusnya menjadi manusia yang menyamai kuasa luar biasa dimiliki Hang Tuah.

Pertemuan dua keluarga yang memiliki kalung Teja telah menyebabkan sepasang adik-beradik daripada dua keluarga yang berketurunan Kesultanan Melayu Melaka mendapat kuasa luar biasa.

Mereka adalah Zack dan Hana yang berada di bawah jagaan Nenek Munah, serta Hairy dan Yasmin yang merupakan anak kepada Datuk Sabri.

Zack memiliki kuasa pendengaran luar biasa, Hana pula memiliki kuasa penglihatan yang tajam. Manakala Yasmin mampu mengawal pergerakan dengan perlu menyentuh sesuatu objek dan Hairy pula mampu mengubah dirinya menjadi orang lain.

Konflik mula timbul apabila Datuk Zabri ingin memulihkan isterinya dari koma dan lantas meminta Profesor Musa mengklonkan kalung tersebut. Namun, 'Klon Teja' itu memiliki kuasa sakti yang jahat.

Zack, Hana, Yasmin dan Hairy akhirnya bersatu untuk memusnahkan klon Teja setelah ia dicuri oleh waris keturunan Puteri Hang Li Po yang ingin mencungkil rahsia harta tersembunyi itu.

Mengulas lanjut tentang drama tersebut, kata pengarahnya pula, Arab, untuk memastikan kuasa luar biasa itu dilihat menarik, teknik CGI (imej penjanaan komputer) akan digunakan juga.

"Ia akan membabitkan antara 15 hingga 20 peratus CGI. Tetapi akan ada efek-efek khas lain yang akan dimasukkan juga. Dari segi CGI, saya rasa ia tidak begitu sukar untuk dibuat kerana kita ada mereka yang pakar di dalam bidang ini.

"Kita akan bekerjasama dengan sebuah syarikat yang mahir dengan teknik ini supaya kita dapat capai satu standard yang bagus untuk penghasilan CGI ini," kata Arab yang menambah proses penghasilan drama ini mungkin memakan masa sehingga tiga bulan.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan