Ketentuan Farah Asyikin

Diterbitkan: Rabu, 8 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ENGGAN memotretkan dirinya masih berada di belakang, penyanyi Farah Asyikin Zulkifli kini cuba untuk tidak terlalu menceritakan perihal bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya.

Kata Farah, bukanlah bermakna dia akan mengelak terus daripada menjawab soalan-soalan berhubung Fariz. Namun, semuanya bergantung kepada soalan tersebut. Jika dia rasakan tidak boleh menjawabnya, jadi lebih baik berdiam sahaja.

Seperti baru-baru ini, dia rasa sungguh kecewa apabila dikatakan terkenang bekas suami untuk menyambut Hari Raya.

"Saya tak nak nanti orang kata saya terhegeh-hegeh pula. Kalau boleh selepas ini saya inginkan sesuatu yang lebih menarik dan bukannya menuduh saya yang bukan-bukan lagi.

"Saya faham yang cerita sebegitu lebih mendapat perhatian pembaca. Namun, mereka yang membacanya akan fikirkan berlainan daripada apa yang saya fikirkan. Itu yang susah dan saya tak tahu nak terangkan bagaimana lagi.

"Saya tak nak orang gambarkan diri saya masih di belakang. Saya hanya ingin terus bergerak ke hadapan.

"Bagaimana saya nak mara ke hadapan jika hal seperti ini masih menahan saya dari bergerak? Benda yang lepas biarkanlah berlalu," luah Farah yang tertekan dengan situasi tersebut.

Sebelum penyanyi berusia 29 tahun ini memenangi anugerah Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008, dia akui kurang cerita mengenainya dihebahkan media.

Selepas berita Farah bercerai dengan Fariz pada 26 Mei lalu mula tersebar, namanya kembali menjadi sebutan.

"Kalau boleh saya tak nak terlibat dengan semua cerita sebegini. Saya nak orang kenal saya sebab muzik," ujar Farah yang kini sibuk dengan road tour jam tangan Roscani.

Tambah wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini, dia juga mendapat tawaran melakukan show yang tidak putus-putus sejak bulan Mei lalu hingga sekarang.

Selain itu, Farah juga sibuk mengumpul material album keduanya di mana turut memuatkan single Hello yang sedang diputarkan di corong-corong radio tempatan sekarang.

"Saya memang nak sibukkan diri," tutur Farah yang turut meluangkan masa melakukan kerja amal.

Menurut Farah, sudah lama dia melakukan kerja amal untuk anak-anak yatim dan ibu-ibu tunggal.

"Pada minggu kedua raya saya menziarahi kanak-kanak yang menghidap kanser. Saya seronok apabila melihat mereka gembira," ulas penyanyi lagu Tak Ingin Akhiri ini.

Dalam pada itu, penyanyi yang ingin menguatkan asasnya dalam bidang nyanyian terlebih dahulu ini turut meluahkan rasa syukurnya apabila dirinya semakin diterima ramai dalam industri hiburan tanahair selepas kembali pada tahun 2005 melalui program realiti Malaysian Idol 2.

Sebelum itu, Farah pernah menyertai industri ini pada tahun 1999 sehingga 2002.

"Saya bersyukur sebab orang dah tak cerita lagi tentang gosip saya dengan Mark One In A Million dan Maya Darina yang mengganggu saya dulu. Saya nak kaitkan diri dengan benda lain yang mendatangkan untung. It comes with a price.

"Jika saya dikaitkan dengan gosip-gosip ini, nama saya memang naik tetapi buat apa kalau rapo saya tak bagus. Negatif ada la.

"Orang perlu fikir juga yang saya perlu menjaga nama. Contohnya sekarang ini saya bergelar duta Roscani. Saya perlu juga menjaga amanah untuk mempromosikan produk tersebut," beritahu penyanyi yang berzodiak Scorpio ini lagi.

Di sebalik semua cerita baik dan buruk mengenainya, Farah menerima setiap perkara yang berlaku kerana dia pasti segala-galanya mempunyai hikmah tersendiri.

"Saya nak kata ketentuan jalan cerita tu, ia dah jadi macam tu. Dugaan tu datang menimpa-nimpa dan saya menerimanya. Walaupun saya tak bersemangat lagi, tetapi saya pasti ada hikmah untuk mengelaknya.

"Bagi saya, akan ada keseimbangan di sebalik setiap cerita. Walaupun cerita peribadi artis dihebahkan, ada juga sesuatu untuk menolong dan membina karier artis itu," jawab Farah yang cuba untuk tidak membaca akhbar bagi mengelakkan dirinya beremosi lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan