Heliza tidak senang duduk kerana Syurga Cinta

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERCUBAAN sulung pemenang tempat keempat Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini sebagai pelakon bakal disaksikan sekitar penghujung tahun ini apabila filem pertamanya, Syurga Cinta arahan pengarah tersohor Ahmad Idham akan ditayangkan di seluruh pawagam tempatan.

Itulah langkah pertama Nur Heliza Helmi atau lebih dikenali dengan panggilan Heliza di dalam bidang lakonan.

Meskipun tiada langsung asas sebagai pelakon, gadis yang cukup manis dengan imej bertudung ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri di mata penerbit filem tersebut, David Teo.

Lantas, Heliza 'dilamar' Metrowealth Movie Productions untuk memegang watak heroin bernama Cikgu Syuhadah di dalam filem berunsurkan keislaman itu, bergandingan bersama aktor dan pengacara popular Awal Ashaari.

Tidak mahu mempersia-siakan peluang yang datang dan sekaligus ingin cuba mendalami cabang seni itu, Heliza menerima tawaran tersebut dengan hati terbuka dan akhirnya berjaya menyempurnakan penggambaran bagi keseluruhan babak dalam filem tersebut pada Julai lalu.

Akui gementar menantikan reaksi ramai terhadap lakonannya itu, kata gadis berusia 22 tahun itu, dia cuba menguatkan keyakinan diri dan bernekad untuk menerima segala kritikan yang singgah kelak secara positif.

"Sejujurnya, saya memang takut untuk lihat hasil lakonan saya itu.

"Ketika ini pun, memang saya dah tidak senang duduk dibuatnya. Tetapi, jalan itu saya yang pilih.

"Suka atau tidak, saya kena menerima kritikan yang datang nanti dengan positif untuk kebaikan diri saya juga.

"Proses dubbing (memasukkan suara) akan dibuat pada 28 Oktober nanti. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan filem itu nanti akan ditayangkan akhir tahun ini. Jadi nanti tengok sendiri lah macam mana lakonan saya itu," kata Heliza dalam nada ceria.

Bercerita tentang pengalaman pertamanya membintangi filem, kata penuntut Sarjana Muda Pendidikan Sains di Universiti Malaysia Sabah (Unimas) ini, dia sememangnya tidak dapat menangkis perasaan kekok pada hari pertama berada di lokasi penggambaran.

Lebih mencabar dirinya ialah karektor wanita muslimah bernama Syuhadah itu memerlukan penghayatan emosi yang tinggi.

"Sudahlah saya tidak pernah berlakon, dapat pula watak yang cukup berat seperti ini memang cukup sukar, lebih-lebih lagi ada beberapa babak yang saya perlu menangis.

"Memang susah sangat untuk saya selesaikan adegan tersebut sehingga bukan saja Idham dan Awal, malah ramai krew juga turut membantu saya menghayati babak itu.

"Tetapi, pengalaman baru itu amat menyeronokkan. Walaupun penat, tetapi saya tidak nafikan saya semakin berminat untuk dalami bidang lakonan ini.

"Cuma, jika berpeluang, saya teringin sangat untuk melakonkan sekali lagi filem tersebut kerana secara peribadi, saya kurang berpuas hati... maklumlah, itu merupakan lakonan pertama saya.

"Lagipun, ketika itu saya tidak mempunyai masa yang panjang untuk buat persiapan terhadap watak saya itu kerana saya perlu kembali ke kampus sebaik tamat penggambaran.

"Apapun, saya harap lakonan saya itu nanti dapat memuaskan hati penonton. Insya-Allah, jika ada peluang berlakon yang lain... saya harap saya mampu membaiki kelemahan tersebut," kata Heliza yang mengimpikan watak remaja andai kata tawaran berlakon diterima lagi.

Karier seni dan pelajaran bergerak seiring

Setelah tamat penggambaran Syurga Cinta kira-kira dua bulan lalu, gadis berasal dari Kuala Terengganu ini terus kembali sibuk dengan jadual hariannya sebagai penuntut di Unimas.

Malah, kata Heliza, dia sememangnya kini tidak menang tangan menyiapkan tugas-tugas yang diberikan oleh pensyarah selain sibuk mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan akhir penggal tidak lama lagi.

Namun begitu, kata penyanyi dan pelakon kecil molek ini, kesibukan sebagai pelajar universiti tidak langsung membataskan karier seninya.

Heliza seboleh mungkin akan cuba membahagikan masa dengan baik di antara pelajaran dan memenuhi undangan menjayakan persembahan.

Walaupun hampir saban minggu terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Heliza tidak pernah merasakan itu satu beban apatah lagi dia sendiri yang memilih untuk berbuat demikian.

"Adakalanya saya tidak nafikan perasaan tertekan tu memang ada. Tetapi setelah memikirkan jalan ini yang saya pilih sendiri, jadi saya kena teruskan.

"Sehingga hari ini, 'show' masih ada yang saya terima tetapi hanya ketika hujung minggu. Jadi, tidaklah mengganggu jadual pengajian saya.

"Cuma, iyalah... penat juga berulang-alik ke KL-Kota Kinabalu. Tetapi, saya masih bersemangat untuk teruskan. Insyaallah, selepas 2010 nanti sebaik saya tamat pengajian, saya akan terus 'all-out' dalam bidang seni.

"Jadi, buat masa ini, saya kena bersabar sedikit. Lagipun, saya mahukan karier dan pelajaran saya seimbang. Buat masa ini, saya letakkan keutamaan pada pelajaran saya," kata Heliza yang baru pulang menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya di Tawau, Sabah.

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan