Dayangku Intan akui kecewa dengan industri hiburan

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEKITAR era 80an, nama Dayangku Intan cukup popular di persada hiburan tempatan, sebaris dengan penyanyi-penyanyi wanita seperti Khatijah Ibrahim dan Ramlah Ram.

Karam Di Lautan Sepi, Semakin Rindu Semakin Sayang dan Kita Insan biasa (duet bersama Jay Jay) adalah antara lagu yang menyinarkan karier seni penyanyi idola ramai ini ketika itu.

Hampir 15 tahun berlalu, Dayang akhirnya menyerahkan 'takhta' kepada artis-artis baru yang semakin ramai memenuhi industri ini.

Akui wanita berusia 42 tahun ini, sudah banyak perkara yang telah dilalui olehnya sepanjang bergelar anak seni dan justeru, biarlah bakat-bakat baru pula mengambil alih arena hiburan tempatan ini.

Berpeluang menemui Dayang baru-baru ini, wanita ini dilihat tetap rancak berbicara mengenai muzik tanahair meskipun dia sudah tidak lagi aktif di dalam bidang ini.

Sesekali, Dayang melahirkan rasa kecewanya melihat sesetengah bakat baru yang dianggapnya mempunyai potensi cerah, tetapi gagal menerima peluang sebaik mungkin.

Malah, akui ibu kepada empat orang anak ini, faktor itu juga menjadi salah satu penyebab mengapa dirinya mengambil keputusan nekad untuk bersara dari bidang nyanyian tidak lama dulu dan ketika ini lebih senang memfokuskan kepada syarikat miliknya bersama suami, In Man Productions.

"Saya memang kecewa dengan industri hiburan kita. Jadi, saya tidak nampak sebab mengapa saya perlu terus berada di dalam industri ini.

"Kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira 15 tahun yang lalu dan saya rasa cukuplah.

"Apa yang saya lihat, industri kita takut untuk membuat sesuatu yang baru. Kita tidak boleh terlalu mengikut kehendak pasaran, adakalanya kita kena berani tampilkan pembaharuan kerana peminat muzik di luar sana inginkan benda baru.

"Kita mempunyai banyak bakat-bakat muda yang mampu mencipta lagu yang bagus, tambahan pula dengan kecanggihan komputer yang boleh digunakan untuk penghasilan lagu. Tetapi peluang itu tidak mereka peroleh.

"Saya berpendapat, daripada kita sekat lagu-lagu luar masuk ke dalam negara ini, apa kata kita mencabar diri kita sendiri untuk buat kelainan. Susah nak jumpa lagu yang betul-betul bagus sekarang.

"Lagu yang saya suka sampai sekarang adalah lagu-lagu nyanyian Hattan. Bagi saya, lagu-lagunya boleh 'bertahan' sehingga hari ini," kata Dayang yang cukup mengagumi bakat artis baru seperti Faizal Tahir.

Sambil menambah dirinya ketika ini lebih terisi dengan kerja-kerja yang dikendalikan di bawah syarikat produksinya, kata Dayang lagi, dia bagaimanapun tidak pernah melupakan terus bidang nyanyian.

Sesekali, Dayang turut memenuhi undangan menjayakan persembahan jika mempunyai masa terluang.

"Sekarang ini, saya lebih selesa dengan tugas baru saya memberi motivasi kepada remaja-remaja yang bermasalah selain mengendalikan tugas pengurusan acara yang mana semuanya adalah projek di bawah In Man Productions.

"Sudah lebih lima tahun saya aktif dengan kerja seperti ini dan saya akui lebih seronok dengan kerjaya ini.

"Jika ada tawaran menyanyi di mana-mana, Insya-Allah saya akan buat jika ada masa. Kadang-kadang, saya ada juga menyanyi di hadapan remaja-remaja yang menghadiri motivasi saya anjurkan itu.

"Memang kebanyakan mereka tidak mengenali saya sebagai penyanyi.

"Tetapi jika ibu bapa mereka turut hadir, hanya mereka saja tahu saya adalah seorang penyanyi dulu. Tak kisahlah... asalkan saya gembira dengan kerja saya ini," tutur Dayang, tersenyum.

Tambahnya, dia senang dapat membantu golongan remaja 'tersasar' ini kembali pada jalan yang betul walaupun sedar usaha yang ditaburnya itu mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai satu langkah yang kecil sahaja.

"Bagi saya, mana yang saya mampu tolong, saya akan buat. Untuk 'melembutkan' golongan muda ini, kena ada cara yang betul. Tidak boleh hanya menyalahkan mereka 100 peratus.

"Sama seperti mat-mat rempit. Kita tidak boleh terus melabelkan mereka orang jahat. Itu cara yang salah," kata Dayang.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan