Awie tidak abai kebajikan anakanak

Diterbitkan: Selasa, 7 Oktober 2008 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PERPISAHANNYA dengan pelakon dan penyanyi Arni Nazira Anuar sudah menjangkau usia lebih tiga tahun.

Bagaimanapun, kebajikan anak-anak tetap dijaga memandangkan anak-anaknya bersama Arni itu semakin membesar.

Hakikatnya, Awie atau pelakon dan penyanyi berbadan sasa ini menyedari bahawa bukan mudah untuk menjaga anak perempuan berbanding anak lelaki.

Sebagai persediaan untuk memastikan anak-anak perempuannya iaitu Puteri Aleeya Antasha, 8, dan Puteri Aleefa Antasha, 6, tidak terabai di kemudian hari, Awie telah merancang persiapan untuk mereka dari peringkat awal.

"Merancang dari sudut kebajikan anak-anak adalah perkara wajib di mana saya menerapkan asas fardhu ain dari kecil.

"Tetapi apabila dewasa nanti saya beri peluang kepada mereka untuk memilih jalan yang mana.

"Pada peringkat sekarang saya belum nampak kedegilan mereka. Hubungan antara kami baik dan begitu juga dengan ibu tiri mereka," jelas Awie.

Awie juga menegaskan hubungan yang baik berlaku antara anak-anak, isterinya Rozana dan bekas isteri.

"Dalam keluarga saya tiada istilah anak tiri. Anak saya adalah anak Rozana juga. Anak-anak saya pun panggil dia mummy," ujar Awie yang berpeluang menyambut hari bersama dua puterinya itu pada tahun ini.

Menurut Awie, tahun ini merupakan gilirannya menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama Aleeya dan Aleefa.

"Pada hari raya lalu, saya bawa anak-anak bercuti selama enam hari iaitu sehingga hari raya keempat. Pada hari raya kelima, giliran anak-anak beraya dengan Arni pula," kata vokalis kumpulan Wings ini lagi.

Pastinya Aidilfitri Awie kali ini lebih seronok apabila dia juga meraikan perayaan ini bersama anak barunya iaitu Putra Ahmad Rezzki yang dilahirkan pada 8 Ogos lalu.

Awie yang menikahi Rozana Misbun yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun pada 2005 turut beraya bersama anak sulung mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 2.

"Setiap tahun saya dan keluarga menyambut Hari Raya secara sederhana. Yang penting kami beraya. Anak-anak perlukan pembaharuan hari demi hari.

"Jadi, saya lebih fokuskan kepada anak-anak dan isteri apabila hari raya ini," akhiri Awie yang juga pulang beraya di rumah ibu bapanya di Cheras, Kuala Lumpur pada Hari Raya pertama lepas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan